Tuesday, November 11, 2008

Melayu dan PhD-nya

Tidak lama dulu saya ke Kompleks Mahkamah Melaka di Ayer Keroh. Saya mahu mengikuti perbicaraan dan keputusan kes Majlis Agama Islam Melaka (Maim) menyaman beberapa Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti). Dilaporkan Hakim Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan kes itu yang sebelum ini ditolak daripada dibicarakan di Mahkamah Majistret.

Terkejut saya ketika menguak pintu kamar Mahkamah Tinggi 1, apabila melihat 'muka-muka asing'. Selepas duduk di salah sebuah bangku di situ dan mendengar 'hujah' hakim selama beberapa minit, barulah saya tahu kes itu adalah berkaitan tuntutan keluarga seorang hartawan. Sudah pasti ini bukan kes Pasti!

Saya pun keluar dan membaca notis di luar. Daripada empat kes dibicarakan pada hari itu, tiada satu pun berkaitan Pasti. Saya pun pergi ke pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi. Saya bertanya kerani perempuan di kaunter itu.

Kes Pasti? tanyanya mahukan kepastian daripada saya. Ya, jawab saya tegas, membuatkan dia tercari-cari fail tebal dan kemudian melaung, bertanyakan rakannya, yang menjawab: "Kes itu kesalahan jenayah, dulu dibicarakan di Mahkamah Majistret tetapi sekarang sudah berada di Mahkamah Tinggi."

Tercengang saya mendengar jawapan itu. Kes jenayah? Pasti yang diusahakan secara sah mengikut Perlembagaan, dibabitkan kes jenayah. Mustahil, fikir saya. Nasib saya baik hari itu kerana ketika keraguan bermain di kepala, seorang lelaki pertengahan usia secara tiba-tiba menegur saya. Rupa-rupanya dia orang sekampung yang bekerja di kompleks mahkamah itu.

Sambil menenangkan diri saya, dia mengajak saya ke kantin. Selepas membeli makanan dan mengambil tempat duduk, dia memberitahu saya kes Pasti itu ditangguhkan. Bukan kali pertama tetapi sudah beberapa kali.

Katanya, saman Maim ke atas Pasti itu adalah berdasarkan pindaan enakmen yang menghendaki sebarang badan/institusi berkaitan Islam didaftarkan dengan pihak berkenaan sedangkan pada hakikatnya kegiatan Pasti adalah berdasarkan kebenaran kegiatan di bawah kelolaan cabang parti iaitu Pemuda PAS.

Untuk menguatkan tekanan, beberapa Pasti dituduh beroperasi di bangunan yang dibina tanpa Sijil Layak Menduduki (CF) dan di atas tanah yang bukan untuk dibina bangunan.

Demikianlah nasib orang Melayu/Islam di negara ini. Pada ketika institusi seperti Pasti berkembang dan semakin berpengaruh untuk melahirkan bibit-bibit yang dapat menyambung perjuangan menegakkan Islam, mereka dicantas dan dilumpuhkan, sebahagiannya disebabkan PhD (perasaan hasad dengki) yang bersarang di dada sesetengah pemimpin Melayu dan 'orang kampung sendiri'.

Kunjungan ke sebarang Pasti menunjukkan bahawa institusi itu menjadi pilihan penduduk setempat. Daripada bapa yang berserban kepada bapa yang 'berseluar kaki panjang', daripada ibu yang bertudung kepada yang mengerbang rambutnya, semua mahukan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang terbaik. Malah ibu bapa penyokong kuat 'parti keris' pun menghantar anak mereka ke Pasti.

Dilaporkan di beberapa Pasti, ibu bapa bukan Islam turut menghantar anak mereka mereka untuk dididik di institusi itu.

Kata seorang bapa, sejuk hatinya apabila balik daripada Pasti, anak-anaknya mengucapkan salam, apabila makan membaca doa, demikian juga ketika masuk tandas atau apabila mahu tidur.

Kalau nak harapkan 'tadika yang satu lagi tu', kanak-kanak lebih pandai menyanyi dan menari. Agaknya, tadika itu hendak didik anak-anak menjadi Mawi, katanya. Mengaji boleh, menyanyi dan menari pun boleh!

Beliau berpendapat disebabkan 'tadika yang satu lagi tu' kurang sambutan sekalipun ada yang sudah bertukar nama (supaya ada iras-iras nama Islam seperti Tabino), menyebabkan pihak berkenaan bertindak nekad menyaman Pasti.

Seorang petugas PAS berpendapat, saman Maim ke atas Pasti itu akan memakan diri sendiri. Itulah sebabnya kes itu sudah beberapa kali ditangguhkan.

Katanya, jika hakim berpendapat kes itu tidak dapat dibicarakan di Mahkamah Tinggi, ia akan dibawa ke mahkamah lebih tinggi iaitu Mahkamah Persekutuan dan Rayuan dan ini akan membawa implikasi yang besar kepada kedua-dua pihak. Positif dan juga negatif, katanya.

Seorang bapa pula bertanya mengapa pemimpin Melayu begitu berkobar-kobar untuk meruntuhkan institusi yang memberi begitu banyak manfaat kepada orang Islam/Melayu sedangkan mereka 'berkokok' kononnya memperjuang nasib orang Melayu pada setiap kali perhimpunan agung parti Melayu terbesar di dunia termasuk pada Julai lalu.

Bukankah Pasti ini salah satu institusi orang Islam/Melayu? Jika mahu runtuh dan hancurkan 'harta orang Melayu' sendiri, ia menunjukkan betapa besar PhD sesetengah orang Melayu, kata beliau sambil memberikan contoh lain; antaranya mengapa peniaga kecil Melayu di tepi-tepi jalan sering diusir, rumah setinggan Melayu kerap diroboh, tanah orang Melayu sering kali diambil dengan alasan ia untuk dimajukan dan anak-anak orang Melayu yang tidak menyokong 'parti Melayu terbesar di dunia' dinafikan hak untuk mendapat bantuan pengajian dan juga peluang pekerjaan serta tender.

Beliau selanjutnya bertanya (berdasarkan apa yang dilihatnya) mengapa peniaga bukan Melayu boleh terus berniaga di gerai-gerai senget, di tepi-tepi rumah dan di bangunan yang terlalu dekat dengan jalan raya sedangkan jika dibuka buku undang-undang pihak berkuasa tempatan, jelas kesalahan mereka.

Mengapa diam saja jika orang bukan Melayu buat pusat tuisyen, tadika, kedai malah kilang di rumah atau di taman perumahan? soalnya.

"Pada saya, ini disebabkan bangsa bukan Melayu bukan 'kaki report'. Mereka tidak dengki jika orang lain daripada bangsa mereka maju dan berjaya tetapi sesetengah orang Melayu ada PhD, mereka inilah 'kaki report'. Jika orang Melayu yang berjaya menjadi hancur, rumah tangga orang musnah, barulah puas hati mereka," katanya marah.

Dengan nada geram, beliau mendakwa pemimpin Melayu jugalah yang menghancurkan masa depan bahasa orang Melayu seperti memperkenalkan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sedangkan pada masa yang sama mereka mendakwa sebagai pendaulat bahasa.

Hakikatnya, mereka bukan saja memusnah bahasa tetapi yang lebih besar, masa depan orang Melayu jika dilihat daripada pelbagai kajian yang menunjukkan betapa merosotnya prestasi pelajar Melayu masa kini, katanya.

Demikian betapa besarnya PhD sesetengah orang Melayu ini. Jika direnungi lipatan sejarah, dengan PhD inilah kerajaan Melayu Melaka lingkup, kerajaan Melayu Singapura (ingatkah kisah Sang Rajuna Tapa) hancur, negeri-negeri Melayu dijajah Inggeris dan mutakhir ini pelbagai kes yang memalukan Melayu sampai ke pengetahuan antarabangsa.

Betapa PhD sesetengah Melayu, menyebabkan mereka 'bergelumang' dalam kes seperti AP (Approved Permit) rasuah politik, pulau-memulau, rampas dan runtuh masjid, seks bebas serta aneka maksiat lain.

Selagi Melayu tidak membuang PhD ini jauh-jauh dan kembali kepada Islam yang syumul, dari sehari ke sehari, 'pakaian' (harga diri) mereka akan tertanggal satu demi satu!

2 comments:

syahidah said...

Hanya mereka yang hidup dengan Islam yang syumul saja, dapat merasai ukhwah, sifat bantu membantu,melebihkan sahabat dari diri sendiri,...yang penting sekali kemanisan Iman.IA

cakapaje said...

Salam bang,

Kalau benarlah Dato' Hang Tuah berkata "Takkan Melayu hilang di dunia", maka saya rela tidak menjadi Melayu kerana, pada tibanya kiamat, sepengetahuan saya seorang Muslim pun tidak akan menyaksikan keadaan dasyat itu. Jadi, biarlah Melayu yang tidak mahu hilang di dunia ini saksikan bersama yang lain.