Perkahwinan puteri Perdana Menteri Turki, Esra Erdogan dengan pasangannya Berat Albayrak tidak lama dulu menarik perhatian. Ini kerana anak PM Turki, Recep Tayyip Erdogan itu bertudung litup dalam majlis perkahwinannya yang dihadiri pemimpin Timur dan Barat.
Malahan Erdogan sendiri mengisytiharkan perkahwinan itu sebagai contoh keharmonian antara Timur dan Barat dan sebagai pertemuan dua tamadun. Perkahwinan ini berlangsung ketika Turki berusaha untuk menyertai Kesatuan Eropah (EU).
Seperti dakwaan Erdogan, Turki sebenarnya terletak dalam dua benua - Eropah dan Asia. Berdasarkan perkembangan mutakhir, Turki lebih selesa menganggap dirinya sebahagian daripada Eropah dan dunia Barat.
Komitmennya untuk menyertai EU, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), pembabitannya dalam dunia sukan Eropah termasuk bola sepak serta gaya hidup sebahagian penduduknya menunjukkan Turki lebih cenderung 'menjadi Eropah daripada Asia'.
Bagaimanapun satu hal yang mungkin mengingatkan Turki bahawa ia adalah sebahagian daripada Asia ialah hakikat lebih 90 peratus daripada penduduknya beragama Islam.
"Heretan'nya kepada Islam membuatkan Turki tersisih daripada Eropah malah digelar 'The Sick Man of Europe' (Orang Sakit Eropah). Eropah sebenarnya 'tidak menyukai' Turki dan itulah antara sebab permohonannya untuk menyertai EU 'masih belum selesai'.
Satu hal yang menarik mengenai Turki sekarang ialah apabila Presiden Amerika Syarikat, George W Bush yang mengunjungi negara itu tidak lama dulu mengumumkan negara itu adalah contoh atau model negara Islam yang perlu diikuti oleh negara majoriti umat Islam yang lain.
Dakwaan itu dilihat amat menarik ketika Turki pernah memegang amanah ummah apabila wakilnya dilantik sebagai Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
Ada pihak mendakwa ada kaitan antara 'pujian' Amerika kepada Turki dan kejayaan negara itu mempromosi wakilnya sehingga menjadi Setiausaha Agung OIC ketika itu, sekali gus mengetepikan lobi keras Malaysia dan Bangladesh.
Pihak terbabit mendakwa Amerika mengenakan tekanan ke atas negara Islam lain supaya memilih Turki kerana dengan cara ini hubungan Amerika dengan negara Islam akan lebih mudah berlangsung disebabkan sudah wujud hubungan akrab Washington-Ankara.
Rekod Turki dalam hubungannya dalam pembelaan umat Islam sebenarnya tidak sebaik disangka. Turki menjalin hubungan diplomatik dengan Israel malah hubungan terlalu baiknya dengan Amerika membolehkan negara itu dijadikan pangkalan untuk menyerang Iraq dan negara umat Islam lain.
Sekalipun menjadi antara negara OIC yang terbabit dalam usaha menangani konflik Bosnia tidak lama dulu, Turki tidak menunjukkan komitmen untuk membantu menyelesaikan masalah ummah, apatah lagi ia amat jelas tunduk kepada kemahuan Amerika dan kuasa besar Barat dalam usahanya mendapatkan pengiktirafan 'sebagai negara Eropah'.
Rekod dalam negara juga menunjukkan Turki tidak begitu menyenangi perkembangan kepada tuntutan rakyatnya yang mahukan Islam dijadikan adeen atau cara hidup.
Malah Turki menunjukkan 'ia lebih Eropah daripada negara Eropah lain' apabila tidak membenarkan pelajar Islam memakai tudung ke universiti. Malah kes seorang ahli Parlimen wanita yang diusir daripada institusi itu menunjukkan betapa Turki 'sudah jauh menyimpang' daripada kehendak ummah apatah lagi tuntutan Islam. Tetapi kini Turki semakin menjurus ke arah ke-Islaman termasuk membenarkan pelajar bertudung.
Berdasarkan perkembangan di Turki, kita tidak terkejut dengan langkah Amerika yang mahu negara umat Islam lain menjadikan Turki sebagai model untuk diikuti.
Jika di Turki, Mesir, Pakistan, Algeria dan negara Islam lain, pergerakan Islam seperti Ikhwanul Muslimin, Jamaet-Islam dan Barisan Pembebasan Islam (FIS) ditekan, kini hal yang sama seolah-olah sedang berlaku di tanah air kita yang pemimpinnya memegang jawatan Pengerusi OIC.
Di negara kita, pemimpin-pemimpin ummah khususnya pertubuhan yang disebutkan seperti Sayyid Qutb dan Abul A'Ala Maududi, mulai dikecam dan didakwa sebagai pencetus fahaman radikal di kalangan umat Islam.
Dalam keadaan ummah sekarang ini cuba dipesongkan mengenai negara Islam contoh (Turki), sama ada melalui dakwaan Amerika dan pengisytiharan 'sendiri-sendiri' oleh sesetengah pemimpin adalah amat bermakna jika kita meninjau pandangan pemimpin ummah seperti Maududi.
Berikut adalah pandangan Maududi mengenai 'asas-asas pemerintahan Islam':
"Prinsip asas yang ditekankan oleh Rasulullah s.a.w. ialah bahawa kekuasaan tertinggi dan mutlak hanyalah hak Allah semata-mata. Sesungguh bumi dan alam ini adalah kepunyaan Allah.
Udara, air, cahaya dan segala-galanya yang memenuhi hidup kita ini adalah diberi oleh Allah. Tubuh badan yang kita punyai ini beserta dengan tenaga dan organ-organ yang lengkap, semuanya dikurniakan kepada kita oleh Allah SWT.
Kita langsung tidak mempunyai hak untuk mengaku yang kekuasaan mutlak itu hak kita. Di samping itu kita juga mesti menolak sebarang pengakuan sedemikian rupa daripada sebarang individu atau kumpulan.
Antara perkara pertama Rasulullah s.a.w. mengajak manusia untuk percaya dan beriman ialah, kerajaan dan negara itu hanyalah kepunyaan Allah.
Hanya Allah saja yang berkuasa untuk memerintah dan tiada siapa yang berhak untuk membuat undang-undang melainkan Dia.
Perkara kedua dalam ajaran asas baginda ialah perundangan Rabbani bukannya diturunkan terus kepada manusia tetapi melalui Rasul-Nya. Rasulullah s.a.w. bukannya dipilih oleh sesiapa untuk menjadi pemimpin.
Baginda juga tidak memilih dirinya sendiri untuk menjadi pemimpin. Baginda telah dipilih oleh Allah agar dapat mendidik dan mentarbiyah manusia dengan tarbiyah Rabbani, menukar pemikiran dan peribadi manusia, menyampaikan perintah Rabbani kepada manusia dan melaksanakan urusan Rabbani itu melalui sesiapa yang menerima dan beriman kepada perintah-perintah tersebut.
Perkara ketiga dalam ajaran Rasulullah ialah supaya manusia percaya akan konsep ini di mana setiap manusia akan bertanggungjawab di hadapan Allah atas segala yang telah dilakukan semasa hidupnya.
Selama tiga belas tahun Rasulullah s.a.w. menyampaikan ajaran ini dan mereka yang menerima ajaran tersebut telah disatukan dalam satu jemaah (ummah),
Semasa tiga tahun terakhir di Makkah, sekumpulan penduduk dari Madinah telah memeluk Islam lantas menjemput Rasulullah s.a.w. bersama-sama sahabatnya ke Madinah.
Benarlah kata-kata Sayidatina Aisyah di mana beliau menyatakan yang Madinah telah ditawan oleh Quran.
Setelah mengetahui isi kandungan surah-surah yang turun di Makkah, mereka bukan sahaja menerima dan memeluk Islam tetapi mereka terus menjemput Rasulullah s.a..w. dan para sahabatnya untuk tinggal di kampung halaman mereka sendiri.
Jemputan ini bukan sahaja untuk memberi perlindungan kepada baginda, tetapi ialah supaya baginda menjadi pendidik mereka, pemimpin dan juga penyatu umat Islam di antara Makkah dan Madinah sebagai satu umat lantaran menegakkan satu sistem hidup di Madinah berlandaskan keimanan Islam yang telah mereka bulatkan. Inilah cara pemerintahan Islam yang ditegakkan pada hari pertama Rasulullah s.a.w. sampai di Madinah.
Tugas utama pemerintahan itu ialah untuk menyampaikan ajaran Islam kepada penduduk seluruhnya. Memandangkan Islam itu adalah petunjuk dan ilmu yang Rabbani, kejahilan terhadap Islam itu adalah satu halangan ke arah jalan ini.
Rasulullah s.a.w. dan para sahabat telah bekerja sepenuh tenaga dalam usaha untuk memberi kefahaman kepada penduduk Madinah ketika itu dan seterusnya beriman dengan ajaran Islam.
Apabila kefahaman itu berkembang dan penduduk Madinah berpegang kepadanya, maka lama-kelamaan Islam pun berkembang dan mula menjadi kuat.
Tugas kedua Rasulullah s.a.w. ialah memurnikan akhlak masyarakat ketika itu berdasarkan akhlak yang tinggi lagi mulia.
Tidak ada sistem pemerintahan pun yang akan berjaya jika pemimpinnya tidak mempunyai akhlak yang tinggi dan masyarakatnya tidak bertakwa dan amanah.
Keadaan ini akan terus berpanjangan walaupun sistem pemerintahan itu mempunyai perundangan yang baik dan pada zahirnya kelihatan hebat dan berkaliber.
Itulah sebabnya, setelah mengajak supaya beriman kepada ajaran Islam dan seterusnya mengembangkannya, Rasulullah s.a.w. sangat menekankan persoalan ketakwaan dan akhlak yang mulia.
Asas yang penting di dalam sistem yang ditegakkan oleh baginda ialah menganjurkan akhlak masyarakat supaya menepati akan kehendak dan ajaran sistem tersebut.
Keadaan ini tidak memerlukan penggunaan kuasa kekerasan untuk manusia tunduk dan patuh kepada undang-undang tersebut.
Cukuplah apabila dikatakan di sini bahawa semua telah diperintahkan oleh Allah, maka terpulanglah kepada masyarakat untuk mematuhinya.
Pada zaman Rasulullah s.a.w. tidak ada pasukan polis dan tidak terdapat penjara-penjara. Tidak terfikir langsung akan keadaan di mana masyarakat menerima arahan daripada Rasulullah s.a.w. tetapi tidak mematuhinya.
Contohnya, kita ambil kes mengenai larangan meminum arak itu sendiri. Apabila dikhabarkan di kota Madinah yang arak itu haram, maka tempat menyimpan arak semuanya dipecahkan dan masyarakat Madinah terus berhenti meminum minuman tersebut.
Di sini, sejarah gagal untuk memberi contoh akan kepatuhan kepada undang-undang secara spontan.
Malah, berjuta-juta dolar dibelanjakan di Amerika Syarikat untuk menjelaskan kepada masyarakat akan kesan buruk daripada arak itu sendiri.
Satu propaganda besar-besaran telah dilancarkan untuk tujuan tersebut. Dengan sambutan masyarakat, satu pembaharuan telah dibuat di dalam undang-undang Amerika Syarikat untuk meluluskan satu undang-undang mengharamkan arak.
Tetapi keesokan harinya masyarakat meminum pula minuman lain yang beracun dan berbahaya. Perbuatan ini merebak dengan cepatnya di mana akhirnya undang-undang pengharaman arak tadi terpaksa ditarik balik.
Jadi, marilah kita membuat perbandingan ke atas dua keadaan yang berlaku tadi. Pertamanya, di mana arahan yang dikeluarkan telah dipatuhi dengan serta-merta.
Keduanya di mana satu undang-undang telah digubal setelah satu perbelanjaan dan propaganda yang besar dijalankan yang disokong oleh masyarakat tetapi akhirnya mereka juga yang melanggarnya.
Ini jelas menunjukkan bahawa asas pada satu-satunya sistem pemerintahan adalah terletak kepada keimanan dan akhlak yang mulia.
Jika kedua-dua asas ini tidak ada, maka satu-satu sistem pemerintahan itu tidak akan berjaya, walaupun undang-undang itu telah digubal dengan baik."
No comments:
Post a Comment