Ketika di sekolah rendah dulu, sebahagian besar daripada kita pernah membuat karangan berdasarkan imaginasi seperti 'Aku Sepasang Kasut', 'Aku Seekor Kucing' atau 'Aku Sehelai Pakaian'. Dalam keluaran kali ini saya akan menulis kisah 'Aku Sebuah Surau' berdasarkan pengamatan saya terhadap apa yang berlaku ke atas sebuah surau di sebelah rumah saya.
Dulu aku sebuah surau lama. Sebahagian besar daripada tubuh badanku diperbuat daripada kayu. Ini termasuklah bahagian dinding dan lantai. Yang berbatu hanyalah kolah, tempat wuduk dan batu-batu tapak bangunan.
Disebabkan masjid tidak jauh dari tempatku, aku hanya digunakan dua atau tiga kali seminggu. Yang pertama adalah untuk solat maghrib pada malam Jumaat. Selepas itu diadakan bacaan Yasin beramai-ramai dan solat Isyak berjemaah.
Selepas itu aku kembali sepi sehinggalah malam Isnin. Pada malam ini diadakan solat Maghrib berjemaah, diikuti pengajian agama oleh seorang ustaz tajaan kerajaan dan diakhiri dengan solat Isyak berjemaah.
Aku kembali kesepian, menunggu sehingga petang Rabu di mana diadakan kelas pengajian untuk kaum ibu. Kelas ini bukan pula selalu diadakan.
Hidup aku benar-benar sepi sehinggalah beberapa tahun lalu apabila ada jemaah muda mengesyorkan diadakan solat jemaah setiap waktu.
Idea itu diterima, maka aku benar-benar bersyukur kerana dimanfaatkan sepanjang waktu. Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak, ada saja orang solat berjemaah di tubuhku.
Selain itu, aku benar-benar dimanfaatkan pada bulan Ramadan. Jemaah yang bertarawih bukan saja memenuhi bahagian utama tetapi juga ruang tambahan di bahagian bawah. Bersyukur kerana aku dimakmurkan ketika itu.
Bagaimanapun sebelum Ramadan tidak lama dulu, aku terdengar berita amat mengejut dan menakutkan.
Kerajaan dengan sokongan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mahu meroboh dan menggantikan badan aku dengan yang baru. Sudah tentu ada yang menyokong dan membangkang. Aku menggigil mendengar perkhabaran itu.
Akhirnya aku dirobohkan juga sebelum Ramadan. Pada bulan mulia itu aku menjadi terlalu sepi. Tiada jemaah mampu beribadat di tubuhku kerana aku sudah tersungkur ke bumi.
Akhirnya aku sudah berwajah baru. Cantik dan menawan dengan bumbung tiga tingkat. Lantaiku dipasang 'tile' (jubin). Juga ada tandas dan tempat wuduk baru.
Aku kembali meriah. Setiap solat waktu ada jemaah memakmurkan aku. Sebelum masuk waktu, petugas memasang pita (tape) mengaji, maka bergemalah suara memuji kebesaran Ilahi di seluruh pelosok kampung.
Yang paling tidak dapat dilupakan, petugas memasang 'tape' dengan 'suara lantang' jam 5.30 pagi sebelum subuh. Ini dapat dijadikan panduan untuk ibu bapa yang ada anak bersekolah. Setidak-tidaknya mereka boleh bangun awal bagi menyediakan sarapan untuk anak-anak!
Kemudian, lembaga pentadbiran surau mengadakan pungutan suara bagi memilih ahli jawatankuasa (AJK) baru bagi tempoh dua tahun lagi. Sebahagian besar ahli lama dikekalkan. Aku menyaksikan sendiri jemaah mengangkat tangan menyatakan sokongan kepada calon pilihan mereka yang terdiri daripada 'ahli surau' sendiri.
Dua bulan kemudian, keluarlah surat pekeliling, bertajuk 'Garis Panduan Pelantikan Ahli Jawatankuasa Masjid/Madrasah Negeri.
Dalam surat ini disebut penaung masjid adalah Pegawai Kemajuan Negeri, Pegawai Daerah dan Pegawai Jabatan Agama Islam manakala bagi madrasah/surau, penaungnya adalah Pegawai Penyelaras Masjid/Madrasah Daerah.
Dinyatakan pelantikan AJK masjid dibuat oleh Pengerusi JKKK manakala pelantikan AJK surau/madrasah dibuat oleh Pengerusi Lembaga Masjid dan disahkan oleh Pengerusi JKKK.
Cadangan pelantikan berkenaan perlu disahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan dan jika Adunnya bukan Islam, maka pengesahkan dibuat oleh ketua kerajaan negeri.
Pekeliling itu juga menyatakan JKKK dikehendaki mengadakan mesyuarat bersama dengan AJK Lembaga Masjid bagi membincangkan pencalonan jawatankuasa baru.
Dengan keluarnya surat pekelilingnya, pemilihan AJK yang dibuat di surau (di atas tubuhku) Jun lalu dikatakan tidak sah. Ini kerana calon AJKnya bukan dikemukakan oleh Pengerusi JKKK.
Sebuah jawatankuasa baru kemudian dilantik oleh JKKK bagi mengambil alih tugas AJK lama. Aku tidak tahu di mana lantikan itu dibuat. Yang dapat disahkan ia tidak dibuat 'di atas tubuh diriku'. Ringkasnya pelantikan itu bukan dibuat di surau dengan cadangan dan sokongan jemaah surau.
Dengan adanya AJK baru ini, kebanyakan AJK lama menarik diri. Bukan apa, mereka bukanlah kaki kacau. Mereka hanya mahu beribadat di atas tubuhku. Lagipun AKJ baru sudah dilantik, buat apa mereka 'menyibuk' lagi.
Pada malam 31 Ogos tercatatlah sejarah yang tidak mungkin aku lupakan sepanjang hayatku. Selepas seharian rakyat negara ini berpesta menyambut hari kemerdekaan, pada malamnya, aku pula 'merdeka' daripada AJK lama berpindah kepada AJK baru.
Anak kunci pun diserahkan kepada peneraju baru. Selain itu akaun bank juga bertukar tangan. Aku dengar ada ribuan ringgit dalam akaun itu.
Sekalipun sudah bertukar tangan, aku teragak-agak untuk menjerit "Merdeka!, Merdeka!, Merdeka!" seperti yang biasa dibuat kanak-kanak.
Aku ragu-ragu mengenai statusku kini. Bersabarlah, aku cuba memujuk diriku. Adakah aku akan terus dimakmurkan ataupun harap saja cantik tapi tak berfaedah macam bunga tahi ayam?
Subuh esoknya, tiada orang azan di tubuhku. Tiada solat subuh didirikan. Aku terus memujuk hatiku untuk bersabar. "Mungkin mereka tertidur," bisik hatiku.
Tengah harinya, kesabaranku semakin duji. Tiada kedengaran azan dan tiada orang solat Zuhur di tubuhku.
Waktu Asar pun tiada orang pedulikan diriku. Aku terus dilanda kesepian yang amat sangat.
Waktu senja barulah seorang dua jemaah sampai. Kemeriahan sudah hilang sekalipun didirikan solat maghrib dan Isyak berjemaah.
Selepas Isyak, aku kembali sepi. Alangkah panjangnya waktu untuk menunggu Subuh. Malangnya pada keesokan harinya (Subuh) tiada juga orang pedulikan diriku. Demikian juga pada waktu Zuhur dan Asar.
Kini aku sedar aku hanya digunakan pada dua waktu saja - Maghrib dan Isyak. Satu hari dua kali saja aku digunakan sedangkan dulu, lima.
Aku tak tahulah hukum apa yang mereka pakai. Tetapi kini tahulah aku siapa yang guna masjid/surau untuk pecah-belahkan masyarakat.
* Perkembangan terkini: Selepas beberapa tahun, surau ini sudah betul-betul 'merdeka'. Tiada lagi solat waktu secara jemaah ditunaikan di surau ini.
No comments:
Post a Comment