Hati mana tidak tersentuh apabila membaca rintihan dan menyaksikan gambar seorang pembantu rumah Indonesia, Nirmala Bonat,19, didera majikannya tidak lama dulu. Berita ini bukan saja mencelikkan mata masyarakat Malaysia tetapi juga di Indonesia.
Kisah malang Nirmala bukanlah kes terpencil. Sebelum ini pun kita sering didedahkan dengan berita penganiayaan majikan ke atas pembantu rumah dari negara jiran. Ada dipukul, dirogol, didera secara seksual dan tidak dibayar upah.
Selain di Malaysia, kisah malang pembantu rumah turut didedahkan di negara lain seperti Singapura, Kuwait, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.
Tidak lama dulu kisah Sarah Balagaban (pembantu rumah dari Filipina) mendapat reaksi seluruh dunia selepas dia dijatuhi hukuman mati oleh sebuah mahkamah di Arab Saudi kerana membunuh majikannya.
Di negara kita selain kisah malang pekerja wanita Indonesia, kita juga didedahkan dengan kisah sedih pekerja Bangladesh. Ketika ini dianggarkan ada lebih 300,000 pekerja Bangladesh di sini. Kebanyakannya bekerja dalam industri pembinaan, perkilangan dan peladangan.
Sering dilaporkan majikan pekerja Bangladesh ini menindas mereka, termasuk tidak membenarkan mereka solat Jumaat apatah lagi solat waktu, melengah-lengahan pembayaran gaji dan diberikan kediaman amat daif.
Hampir keseluruhan pekerja Indonesia dan Bangladesh ini beragama Islam tetapi nampaknya umat Islam negara ini tidak melakukan sesuatu pun untuk menolong saudara seagamanya yang dihina sedemikian rupa seperti disuruh memasak daging babi ataupun tidak dibenarkan solat.
Umat Islam diikat dengan tali persaudaraan yang erat, cubit paha kanan, paha kiri juga terasa sakitnya malah banyak hadis yang menjurus kepada kepentingan untuk mengetahui hal ehwal saudara seagama.
Kita nampaknya hanya pandai bercakap mengenai perpaduan dan persaudaraan yang dianjurkan oleh Islam tetapi hakikatnya kita ibarat enau melepaskan pucuk masing-masing.
Apabila bercakap mengenai jihad, ramai daripada kita terbayangkan bumi Palestin yang bermandi darah, Kashmir, Chechnya, Ambon, Iraq dan banyak lagi tempat yang jauh-jauh tetapi perkembangan yang berlaku di depan mata tidak kita pedulikan.
Apakah kerana pekerja Indonesia dan Bangladesh ini pendatang, nasib malang yang menimpa mereka tergamak kita biarkan saja? Bukankah mereka juga beragama Islam, dan apabila beragama Islam, mereka adalah saudara kita yang perlukan pembelaan.
Apakah tali persaudaraan sudah kita hulurkan kepada kepada pekerja Indonesia dan Bangladesh ini? Jawapannya hampir tiada sedangkan sekarang ini sesetengah daripada kita hebat memperkatakan mengenai perpaduan di kalangan orang Islam.
Jika orang Islam sendiri tidak peka nasib saudara seagama, apa yang boleh diharapkan daripada orang lain?
Kes pembantu rumah Islam dipaksa memasak daging babi atau didera, sewajarnya tidak berlaku di negara ini yang kerap melaungkan bahawa ia adalah contoh negara Islam terbaik di dunia.
Kita bimbang ada cacat cela dalam sistem kehidupan kita yang memungkinkan orang Islam (tidak kira pekerja Bangladesh, Indonesia atau penduduk tempatan) dihina dengan begitu teruk sekali.
Penghinaan ke atas orang Islam ini dipandang sepi oleh masyarakat negara ini - daripada pihak berkuasa membawa kepada rakyat bawahan.
Sudah sekian lama, pelbagai kezaliman ke atas pekerja asing dilaporkan, tetapi tidak kelihatan sebarang langkah konkrit dibuat bagi menanganinya seolah-olah mereka bukan manusia Islam, iaitu saudara seagama kita.
Berdasarkan fenomena inilah masyarakat Islam perlu bersatu menanganinya - bersatu dalam perkara amal makruf nahi mungkar.
Kita berpendapat inilah antara perkara yang memerlukan perpaduan di kalangan orang Islam.
Pada peringkat permulaan adalah penting untuk bersatu menangani gejala ini pada peringkat masyarakat setempat, negeri dan kemudian diperkembangkan ke peringkat lebih tinggi seperti bangsa, negara dan antarabangsa.
Tidak banyak manfaatnya jika kita bercakap berdegar-degar mengenai perpaduan umat Islam di peringkat global seperti bersatu menangani kezaliman Zionis ke atas umat Islam di Palestin, Iraq dan sebagainya sedangkan di kalangan anggota masyarakat kita sendiri ada yang tertekan dalam menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim yang baik.
Apakah kita mahu terus membiarkan saudara seagama kita dipaksa memasak daging babi, tidak dibenarkan solat, tidak boleh memakai pakaian menutup aurat dan menunaikan pelbagai kewajipan lain dalam agama? Bertindaklah sekarang sebelum terlambat!
1 comment:
Salam Tuan Haji,
Memang benar bagai ditulis. Malah, perkara ini telah lama diperhatikan tapi bila nak bersuara, takut pula ada pihak yang menyatakan kita timbulkan isu 'perkauman'. Walhal, perkara ini adalah tuntutan dan satu isu kemanusian. Namun, kerana wang ringgit, agensi penglolaan dan juga pihak kerajaan tidak menitikberatkan kebajikan tuntutan yang sebenarnya wajib diperbetulkan.
Post a Comment