Monday, September 22, 2008

Ubah cara hidup untuk benam Israel, Amerika

Artikel ini ditulis sebaik saja saya kembali daripada perhimpunan aman bagi membantah keganasan rejim Zionis ke atas umat Islam Palestin di depan Kedutaan Amerika, seusai solat Jumaat, tidak lama dulu. Pada mulanya saya tidak berhajat pergi kerana berpendapat bantahan dibuat di tempat dan kepada pihak bukan sasaran tepat, kata bijak pandai 'barking at the wrong tree'.

Saya berpendapat yang mengganas kali ini ialah rejim Zionis Israel dan pembabitan Amerika, kalau boleh dikatakan ada, secara tidak langsung. Bantahan kepada Amerika sudah kerap kali dilakukan, misalnya bantahan pencabulannya ke atas Afghanistan dan Iraq.

Menjelang solat Jumaat, ketika membuka laman-laman web tertentu bagi mengetahui laporan terbaru keganasan Israel, tergamam saya apabila terlihat gambar-gambar kanak-kanak Palestin, berlumuran darah, ada daripadanya sudah menjadi mayat, terbunuh akibat bedilan dan serangan askar rejim Zionis.

Tidak sampai rasanya untuk saya tidak menyertai bantahan itu. Selepas solat Jumaat di Masjid Jamek di pusat bandar raya Kuala Lumpur, saya pun terus menaiki PUTRA ke stesen Ampang Park. Sebaik tiba di sana, saya pun menggabungkan diri dengan ribuan pembantah di persimpangan Jalan Ampang/Jalan Tun Razak.

Ketika bergerak ke Kedutaan Amerika di Jalan Tun Razak, kira-kira 500 meter dari persimpangan itu, dapatlahlah saya merasai betapa bersemangatnya anak-anak muda, memuji Allah dan junjungan besar Rasulullah s.a.w., menyatakan sokongan kepada kepimpinan Hamas, seterusnya mengutuk Israel dan Amerika.

Selain berselawat, melaungkan kata-kata semangat kepada Palestin dan kutukan kepada Israel dan Amerika, pembantah keganasan rejim Zionis membawa sepanduk antaranya menyatakan sokongan kepada Palestin dan perjuangan untuk membebaskan Baitulmaqdis.

Turut serta adalah kumpulan wanita yang tidak ketinggalan membawa sepanduk. Kumpulan yang penulis percaya bukan Islam (berdasarkan pakaian dan wajah mereka), turut membawa sepanduk dan berarak bagi menyatakan sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin.

Di depan Kedutaan Amerika, pembantah berkumpul. Sejumlah orang mengiringi pemimpin penganjur seperti Naib Presiden PAS, Dr Hasan Ali berusaha berjumpa wakil diplomatik Kedutaan Amerika bagi menyampaikan memorandum membantah keganasan Israel dengan sokongan Amerika.

Selepas itu, seorang demi seorang pemimpin penganjur berucap. Antaranya, Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub; Presiden ABIM, Yusri Mohamed, wakil JIM dan Dr Hasan.

Antara lain mereka bercakap mengenai bantuan persenjataan Amerika kepada rejim Zionis dan keperluan ummah bersatu bagi menangani permasalahan yang sudah berlarutan sejak sekian lama ini.

Ucapan Salahuddin menarik minat saya. Antara lain katanya, mana OIC, mana Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi) sebagai Pengerusi OIC.

Antara sebab mengapa pada mulanya saya keberatan untuk menyertai bantahan adalah kerana berpendapat sasaran bantahan itu sewajarnya dihalakan kepada OIC dan negara umat Islam kerana gagal menangani isu Palestin ini.

Pada pandangan saya, alangkah baiknya jika bantahan itu dilakukan di depan ibu pejabat OIC. Bagaimanapun, persoalannya di mana ibu pejabat OIC? Kalau tidak silap saya, ibu pejabat OIC terletak di Jeddah, Arab Saudi.

Saya pernah bertanya seorang cendekiawan mengapa OIC gagal berperanan mempertahankan ummah. Katanya, OIC adalah sebuah organisasi menghimpunankan negara umat Islam untuk bersidang. Itulah sebab namanya Pertubuhan Persidangan Islam (Organization of Islamic CONFERENCE). Oleh itu pelan tindakan selepas persidangan adalah samar-samar dan sebab itulah kes ummah gagal ditangani dengan baik. Ini termasuklah kes umat Islam Bosnia, Kashmir, Chechnya, Afghanistan, Iraq dan sudah pasti Palestin.

Tetapi adalah salah untuk menyatakan OIC gagal sama sekali dalam menyatupadukan ummah. Sejak penubuhannya pada 1969 selepas pencerobohan Israel ke atas Masjidil Aqsa, OIC cemerlang dalam pelbagai bidang dan sudah menganjurkan Sidang Kemuncak sebanyak 10 kali, yang terakhir di Kuala Lumpur tidak lama dulu. Tanpa OIC, ummah tidak langsung mempunyai payung selepas runtuhnya kerajaan Khalifah Uthmaniyah di Turki pada awal abad ke-20.

Tetapi antara masalah atau halangan terbesar adalah sikap umat sendiri - daripada pemerintah negara umat Islam kepada rakyat. Mereka tidak menunjukkan komitmen untuk hidup bersandarkan apa yang diperintah Allah melalui Rasul dan Kitab-Nya.

Menyertai dan memerhati anak-anak muda yang menyertai perarakan dan cara hidup sebahagian yang lain menyerlahkan sedikit sebanyak daripada sikap betapa tidak peduli dan pekanya sebahagian anggota masyarakat kepada permasalahan ummah.

Bagaimana tergamak bercakap mengenai perjuangan menyokong Palestin sedangkan di celah tangan terjepit rokok jenama Amerika, berjeans sedat mempamerkan jenama Amerika, makan minum di restoran Amerika, menyaksikan filem Hollywood mengagungkan Amerika seperti 'Superman Returns' dan akhirnya sama-sama berhibur hati menyaksikan pertarungan bola sepak Piala Dunia tajaan syarikat-syarikat gergasi Amerika dan konco-konconya?

Demikianlah betapa hampir segala dalam hidup kita berkiblatkan Amerika. Dari celik mata sampailah ke malam hari apabila mahu melelapkan mata, semuanya adalah berkisar kepada cara hidup Amerika. Sebut apa saja - daripada sumber maklumat, teknologi, makanan, hiburan - semuanya berpaksikan Amerika dan Barat. Bagi sesetengah daripada kita Amerika adalah segala-galanya - jika Amerika ada 'American Idol', kita ada 'Malaysian Idol', jika Amerika ada Las Vegasnya, kita pun ada Las Vegasnya. Laporan keganasan Zionis ke atas umat Palestin pun kita perolehi daripada sumber Amerika dan Barat - CNN, BBC, NBC, Reuters, AFP, AP dan sebagainya!

Globalisasi (penjajahan) Amerika sudah sampai ke kemuncaknya. Di seluruh dunia ada KFC, McDonald's dan seumpamanya. Malah di Moscow, yang dulunya paling kuat cuba menangkis pengaruh Amerika, akhirnya tunduk malu apabila rakyat Russia menjalani kehidupan 'lebih Amerika daripada orang Amerika sendiri'.

Jadi apa yang tinggal pada umat Islam? Jawapannya kembalilah kepada Islam, nescaya ia menjadi lawan paling ditakuti Amerika dan sekutunya. Sudah tentu pada peringkat awal bukan untuk berperang dengan Amerika tetapi berperang dengan nafsu diri, memperbaiki dan muhasabah diri, seterusnya anak pinak, saudara mara dan masyarakat. Tidak guna berdegar-degar tetapi bagai meriam buluh, bunyi kuat tetapi tiada apa-apa...Selepas meletup, keadaan menjadi senyap seketika, kemudian meletup balik, selepas itu senyap balik.

No comments: