Monday, September 1, 2008

Norlaila Othman versi Siti Zubaidah zaman moden

Awal pagi 20 Jun 2006 ketika termenung-menung dalam bas ekspres Melaka-KL, tertarik saya dengan nyanyian mendayu-dayu seorang penyanyi perempuan melalui corong radio bas. Lagu itu adalah berkaitan Siti Zubaidah, mungkin diataptasi daripada Syair Siti Zubaidah yang popular itu.

Kisahnya mengenai seorang puteri rupawan yang terpaksa menyamar seorang pahlawan (tentulah lelaki) bagi mengesan suaminya yang difitnah dan dibawa pergi. Mungkin juga suaminya jadi tawanan perang. Jadi terpaksalah Siti Zubaidah mengembara dari sebuah negara ke sebuah negara menjejaki suaminya yang tercinta.

Pencarian, perjuangan dan pengorbanan Siti Zubaidah berbaloi. Akhirnya selepas menghadapi 1,001 tribulasi, Siti Zubaidah dapat bersatu kembali dengan suaminya. Alangkah beruntungnya seorang lelaki yang memperolehi isteri sebijak, secantik dan daripada keturunan orang baik-baik dan bangsawan seperti Siti Zubaidah.

Sambil mendengar dan menghayati seni kata lagu itu, terbayang saya penderitaan, perjuangan dan pengorbanan isteri-isteri tahanan ISA, terutamanya Norlaila Othman, isteri Mat Sah Mohd Satray yang kisahnya kerap dipaparkan dalam media massa alternatif.

Saya terbaca catatan terbarunya dalam Suara KeADILan. Tajuknya 'Sebuah Catatan': Suamiku Pulang'. Kisahnya juga disiarkan dalam Harakahdaily.net dan Malaysiakini. Saya rasakan ada unsur-unsur persamaan antara kisah Siti Zubaidah dan Norlaila dan isteri-isteri tahanan ISA yang lain.

Nah, jika Siti Zubaidah sanggup berjuang dan berkorban untuk mendapatkan semula suami tercinta yang diculik dan dilarikan orang, maka isteri-isteri tahanan ISA mesti mempunyai semangat juang seperti Siti Zubaidah. Dapatkah semula suami anda masing-masing...berkorban dan berjuanglah. Pada mulanya, tiada orang percaya Siti Zubaidah akan berjaya dalam misi 'impossible'nya, tetapi terbukti beliau berjaya dalam pencariannya.

Tiada guna jika kisah Siti Zubaidah hanya dilagu-lagukan untuk menghibur hati yang lara. Atau didendangkan untuk mendodoikan anak-anak dalam buaian. Orang Melayu tidak perlu lagi dilalaikan dengan lagu mendayu-dayu tetapi tidak menjadikan apa yang dipaparkan sebagai contoh.

Contohilah semangat kental Siti Zubaidah. Jangan asyik menyanyi saja tetapi pengisiannya tiada. Sewajarnya kepahlawanan Siti Zubaidah dalam mendapatkan semula haknya dicontohi dan disemarakkan di kalangan wanita terutama isteri-isteri.

Jika Siti Zubaidah menyamar dengan berlagak seorang kesatria, gagah menunggang kuda dengan ladamnya berapi di medan perang, tiada sebab untuk isteri-isteri tahanan ISA terus meratapi si suami yang dibawa pergi tanpa berbuat apa-apa. Memang benar, doa itu senjata paling ampuh bagi orang Islam yang teraniaya tetapi semuanya hendaklah didahulukan dengan usaha dan pengorbanan.

Syair Siti Zubaidah adalah antara karya klasik Melayu yang bermutu tinggi. Tentulah ia digarap daripada peristiwa yang pernah terjadi tetapi ditambah dengan sedikit mitos atau lagenda untuk mengangkat martabat seseorang tokoh, apatah lagi dalam kes ini seorang srikandi.

Semuanya dilakukan untuk mengangkat martabat seorang perempuan, khasnya seorang isteri yang sanggup berbuat apa saja untuk kesejahteraan seorang insan istimewa bernama suami. Bagi Siti Zubaidah, si suami itu adalah lambang kesempurnaan hidupnya di dunia ini, tiada suami di sisi patahlah tangannya untuk menggendalikan kehidupan di alam fana ini.

Bagi Siti Zubaidah, pencariannya tiada kepastian. Dia menghadapi risiko dibunuh dan dia juga sedia membunuh, tetapi itu semua tidak menjadi hal padanya. Yang menjadi matlamat, suaminya perlu kembali ke pangkuannya. Haknya perlu dipulangkan dan dia akan memperjuangkannya sehingga titisan darah terakhir.

Dalam hal pahit manis rumah tangga, kasih sayang suami isteri, pedihnya menanggung rindu akibat kekasih tercinta dibawa pergi, saya 'salute' Norlaila Othman dan saya petik antara ungkapan beliau dalam catatannya - 'Suamiku Pulang'.

"Hingga saat ini, hampir empat tahun lamanya, sejak dia diambil dari rumah kami, dia tidak pernah pulang ke rumah.

"Rindu? Tiada bahasa yang dapat diucapkan untuk menyatakan perasan tersebut, hingga ada kalanya, seolah-olah aku takut untuk melihat potretnya, kerana terlalu khuatir, dia akan pulang ke rumah dalam bentuk mimpi dan akhirnya, hanya linangan air mata yang setia untuk mengubat rindu itu..."

Tidak pernah terdetikkah di hati penguasa bahawa memisahkan suami isteri adalah antara tindakan paling zalim. Ketika kecil dulu saya pernah menonton filem Hindustan, 'Naagin'. Ia menceritakan bagaimana seekor ular betina membalas dendam, membunuh manusia yang membunuh 'suaminya'. Semuanya habis dibunuhnya, demikianlah betapa hebatnya perasaan dan kuasa balas dendam pada seekor ular betina.

Seorang insan perempuan pasti mempunyai perasaan, kemahuan dan naluri hebat, apatah lagi untuk membebaskan suami tercinta yang kalau disyaki bersalah pun, hadapkanlah dia ke muka pengadilan!

Semoga akan lahirlah lebih ramai Siti Zubaidah di alam fana ini. Amin.

No comments: