Tanggal 31 Ogos datang lagi, dan sekali lagi pemimpin negara berbuih mulut mendesak rakyat mengibar Jalur Gemilang. Seorang menteri berkata, tidak kibar bendera bermakna tidak patriotik, tidak sayang dan cintakan negara.
Mungkinkah ini bermaksud kalau seseorang individu itu memasang 20 atau 30 bendera di kereta atau rumahnya, itu bermakna dia 20 atau 30 kali ganda cintakan negara? Atau adakah sepasang pengantin berpakaian bendera negara amat patriotik? Atau adakah pembuat kek, sate, lemang dan bendera terpanjang, terbesar di dunia, dan bermacam 'ter' lagi sebagai patriotik?
Lain padang lain belalangnya, ada orang mungkin melihatkannya sebagai mempamerkan semangat patriotik tetapi ada pula memandangnya dengan penuh jijik, menganggap individu atau pihak berkenaan mengada-ngada dan pelbagai tafsiaran negatif lain.
Memang betul, mengibarkan bendera pada hari kebangsaan adalah antara petanda bersifat patriotik. Tetapi dalam menjalankan peranan sebagai rakyat yang bertanggungjawab kepada agama, negara, bangsa dan keluarga, setiap orang yang telus dan ikhlas dalam menjalankan tugas masing-masing sudah memenuhi kehendak itu.
Seorang guru bersikap patriotik jika dia menjalankan tugasnya sebaik mungkin. Tetapi jika kerap ponteng, tidak menjalankan amanah, menyemai benih kebencian di sekolah, dia bukan saja tidak patriotik, tetapi dia seorang pengkhianat. Dia tetap seorang pengkhianat sekali pun dia mengibar sebuah bendera besar di depan rumahnya sempena Hari Kebangsaan.
Seorang tukang sapu sampah bersikap patriotik jika dia tekun dalam pekerjaannya. Dia tahu tugasnya membersihkan kota dan bandar besar manfaatnya bukan saja dari segi keduniaan tetapi juga akhirat. Bukankah Nabi Muhammad s.a.w. bersabda antara cabang iman ialah membuang duri di jalanan.
Jadi seorang tukang sapu atau pencuci tandas adalah seorang yang patriotik jika dia menjalankan tugasnya penuh amanah. Seorang tukang sapu atau pembersih adalah pengkhianat kepada agama dan bangsa jika dia gemar mencuri tulang, tidak amanah dan sebagainya sekali pun dia mengibar Jalur Gemilang dengan megah di motosikalnya.
Seorang ayah atau ibu bersikap patriotik jika menghabiskan usianya untuk mendidik anak-anaknya agar jadi insan berguna yang patuh kepada Allah SWT. Seorang ibu tidak dikelaskan sebagai patriotik jika dia mencampakkan anaknya ke dalam tong sampah atau membiarkan anak yang baru dilahirkan di tangga masjid.
Sekali pun si ibu tadi mengibar bendera pada Hari Kebangsaan, berarak penuh gaya dan menari penuh lincah di pentas hiburan pada hari tersebut atau pun muncul di TV melaungkan 'merdeka, merdeka, merdeka', dia sebenarnya adalah pengkhianat bangsa dan negara.
Seorang pemimpin bersikap patriotik jika dia menjalankan tugasnya dengan penuh amanah. Pemimpin adil yang takut balasan Allah SWT yang disegerakan di dunia dan akhirat adalah mereka yang patriotik.
Pemimpin perasuah, kaki kroni, kaki temberang, kaki 'jail'kan orang tidak bersalah, kaki maksiat dan pelbagai kaki lagi, tidak juga bersikap patriotik sekali pun mereka dengan 'muka munafik' mengibarkan bendera, menyanyikan lagu kebangsaan atau terpekik terlolong, menjerit 'merdeka! merdeka! merdeka!' Dia sebenarnya adalah pengkhianat bangsa, munafik agama dan kemungkinan besar syaitan bertopengkan manusia.
Seorang wartawan dan penulis juga bersikap patriotik jika dia menjalankan tugasnya penuh amanah. Semuanya dilakukan berpandukan hukum-hakam yang ditetapkan agama. Dia takut untuk menulis dengan tujuan mengampu, mengejar pangkat atau mencari nama seperti yang sering dititipkan orang - 'aku menulis bukan kerana nama'.
Seorang penulis tidak ada nilainya, tidak ada langsung sifat patriotiknya, jika dia menerbitkan tulisan yang menghina agama dan bangsanya. Dia sebenarnya adalah pengkhianat sekali pun dia menguar-uarkan betapa besar jasanya dengan mengibar Jalur Gemilang di pejabat akhbarnya.
Seorang ustaz bersikap patriotik jika dia mengamalkan apa yang diajarkannya. Dia mengajar bukan untuk mengejar ringgit tetapi keredaan Allah SWT. Dia takut terjatuh dalam kategori golongan munafik apabila berceramah dan bercakap tidak sama perbuatan.
Dia takut termasuk dalam golongan 'cakap tak serupa bikin'. Dia takut termasuk golongan ulama jahat yang mengejar dunia dengan segala keindahannya - pangkat, kemasyhuran, nama dan sebagainya. Ustaz jenis ini tiada sikap patriotiknya jika dia menyuruh 1,000 anak muridnya mengibarkan Jalur Gemilang.
Kesimpulannya, semua orang tidak patriotik jika lupakan Penciptanya - Allah SWT. Hanya orang yang taat perintah Tuhannya adalah orang patriotik kerana dia tahu Allah SWT sentiasa mengawasinya.
Apabila seseorang itu 'dikawal' oleh hukum-hakam yang ditetapkan Allah, tidak menjadi masalah baginya, sama ada seorang sultan, raja, perdana menteri, menteri, pegawai, ustaz, wartawan, tukang sapu, penggiat budaya atau anak wayang untuk taat dan cinta pada negara, bangsa, keluarga dan dirinya sendiri.
Akhirnya, semua orang tidak patriotik dan hidup sia-sia kecuali orang yang berpegang kepada firman Allah SWT melalui Surah Asr yang bermaksud - demi masa, sesungguhnya semua manusia dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman, beramal salih dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran.
No comments:
Post a Comment