Semasa remaja dulu, sekali-sekala saya memegang batang cangkul dan sabit, menolong 'orang tua' berkebun. Saya membantu menanam pokok tebu, serai dan tanam-tanaman kampung lain. Ketika itu tidaklah terasa sakit badan selepas bekerja kerana tenaga masih banyak dan badan 'fit'.
Tetapi sekarang, pada usia 40-an, apabila saya berkebun semula selepas memiliki sebidang tanah 'sekangkang kera', tidaklah dapat saya gambarkan kesakitan badan termasuk lenguh-lenguh anggota, sendi dan tulang selepas 'aktiviti' menebas atau mencangkul.
Penat sungguh berkebun atau menjadi petani ini, keluh saya. Patutlah tak ramai anak-anak muda kita nak jadi petani. Selain penat menebas, mencangkul dan menyemai, benih yang ditanam dirasa lambat pula membesar dan membuahkan hasil. Jika tanaman menjadi, kena fikir pula cara memasarkannya. Jika tidak tahu, hasil tanaman akan berlonggok atau membusuk di kebun.
Sebaliknya, jika kerja bergaji, hujung bulan insya-Allah akan dapat habuannya. Pendeknya, tidak perlu fikir apa-apa, duit sudah di'bank in'. Selesai sudah masalah perbelanjaan anak yang bersekolah, belanja dapur dan sebagainya.
Tetapi bertani banyak masalah yang memerlukan kesabaran tinggi. Penghasilannya bukan boleh ditetapkan pada setiap hujung bulan. Kalau tak berduit pada hujung bulan bagaimana mahu menyediakan belanja rumah tangga, anak-anak dan membayar bil. Pening kepala memikirkannya.
Penat menebas, saya pun beredar ke perdu serumpun pisang. Peluh membasahi seluruh anggota badan termasuk di muka. Cuaca jam 10.00 pagi itu sungguh panas. Di bawah pokok pisang keadaan redup. Saya pun mula merehatkan diri. Botol air dicapai. Pada masa yang sama tangan sebelah lagi menyelak akhbar.
Gambar seorang menteri kanan (kini bekas) menarik perhatian saya. Wanita berbaju kurung, tak bertudung itu kelihatan sedang melarikan diri daripada diburu wartawan. Dapat saya bayangkan bagaimana bunyi kasut tumit tingginya, tap, tap, tap. Nampaknya dengan tersiarnya gambar itu bermakna wartawan (jurugambar) kita hebat juga. Orang lari dari pintu belakang pun dapat dikesan mereka.
Hairan juga saya mengapa menteri yang amat 'senior' ini melarikan diri dan menutup muka. Setahu saya, yang 'buat aksi macam tu', tertuduh dalam kes berat seperti edar dadah, rogol orang dan bunuh orang.
Jadi 'apasal' menteri kanan berkenaan buat macam tu. Ooo, baru saya teringat, ada 'orang lebih hebat' daripadanya (kini bekas bos), menuduh dia bercakap tidak benar (dalam bahasa Inggeris digunakan perkataan misleading). Ini 'bahasa lembut' kalau bahasa kasar, ia bermakna 'berbohong'.
Bermakna menteri kanan itu dituduh berbohong. Ini baru tuduhan, tetapi kenapa menteri itu takut benar. Kalau setakat tuduhan, apa nak ditakutkan sangat sebab sebelum ini pun 'berbakul' tuduhan sudah dilemparkan kepadanya.
Peribahasa ada menyebut 'berani kerana benar'. Jadi kalau menteri itu faham peribahasa ini, tentulah dia tidak akan melarikan diri atau takutkan sesuatu apa pun kecuali Allah.
Saat itu saya teringat kata-kata yang sering dilontarkan oleh seorang sahabat: "Seorang cendekiawan memberitahu Rajanya, 'Tuanku, jika Tuanku hilang kerajaan, Tuanku masih ada diri Tuanku, jika Tuanku hilang kesihatan, tuanku sudah hilang separuh daripada diri Tuanku, tetapi jika Tuanku hilang harga diri, Tuanku sudah hilang segala-galanya."
Alangkah malu dan sebalnya diri jika dituduh pembohong, bukan oleh musuh tetapi orang yang kita sanjung dan dianggap sebagai bapa sendiri. Seorang musuh menuduh kita pengkhianat, ia tidak menjadi kudis, tetapi jika tuduhan dibuat oleh sahabat baik atau pasangan hidup kita, lukanya amat dalam dan mungkin tidak sembuh sehingga ke akhir hayat. Jika dituduh pembohong, di manakah muka ini dapat disorokkan?
Dalam saya kembali meneruskan kerja menebas-nebas rumput dan lalang sebelum balik ke rumah, saya pun berfikir: "Biarlah aku penat berkebun, biarlah peluh membasahi diriku, biarlah tegang urat-urat dan sendiku, biarlah diriku berbau tanah dan busuk, jika cara ini aku dapat mencari rezeki halal daripada dituduh pembohong, dituduh tidak amanah dan pelbagai tuduhan lagi.
"Biarlah aku hidup dalam 'kemerdekaan' ini, daripada terkurung, terbelenggu dan terperangkap oleh perasaan sendiri walaupun hidup ditimbuni emas perak, wang berpeti-peti dan pangkat tinggi melangit."
Dalam perjalanan pulang, jerebu berarak membelah ruang angkasa. Pada ketika negara membilang hari dan detik untuk menyambut Hari Kebangsaan ini, saya terkenang betapa mudahnya sesetengah pemimpin melaungkan semangat patriotik dan meminta rakyat berbuat demikian, tetapi apabila jerebu melanda, mereka dan keluarga masing-masing yang pertama berangkat meninggalkan tanah air, bercuti di Los Angeles atau ke Australia dengan duit berguni-guni.
Tak tahulah apa tindakan mereka jika meletus huru-hara dan perang. Agaknya mereka yang pertama hantar keluarga masing-masing ke 'oversea', biarlah rakyat hadapi kemelut itu. Berjuanglah rakyat ke titisan darah terakhir, kata mereka.
Pada ketika kehidupan rakyat meruncing dan terpaksa mengikat perut disebabkan kenaikan harga barang-barang, ramai daripada anggota keluarga terhormat ini masih ber'shopping' di London, Paris dan Dubai.
Masih ramai yang menunjukkan kemewahan dengan kenduri kahwin macam 'pesta puteri kayangan' atau macam anak Raja Donan - 40 hari 40 malam dan wang hantaran RM20,000 - RM30,000.
Mereka terus boros berbelanja sedangkan rakyat disuruh 'jimat, jimat, jimat' dan pada masa yang sama majalah, surat khabar dan TV terus menyiarkan kisah dan gambar perkahwinan 'luar biasa' ini.
Apakah ini untuk dicontohi oleh rakyat yang saban hari bersarapan cekodok, lempeng, ubi rebus, nasi sejuk dan lauk lebihan semalam dengan kopi O panas atau pun air suam saja disebabkan gula dan kopi sudah naik harga?
Dan pada saat negara akan menyambut ulang tahun kemerdekaan, sibuklah sesetengah daripada mereka melaungkan kata-kata keramat: "Kita lupakan perbezaan dan sengketa politik, marilah kita sama-sama sambut hari kemerdekaan."
Sedapnya mulut mereka bercakap, 'bersama-sama merayakan kemerdekaan' - kemerdekaan apa yang mereka maksudkan itu? Selepas mereka puas 'menjarah sana, menjarah sini' (senarai ini panjang, antaranya dalam isu bahasa, ISA, AP, DEB, Pasti, hak asasi, penyelewengan tender, kenaikan harga minyak serta barang dan pencabulan demokrasi), rakyat diminta untuk bersama-sama berada di pentas mereka, mengibarkan bendera dan melaungkan kata-kata keramat: "Merdeka! Merdeka! Merdeka!"
Kalau hanya untuk mengibar bendera dan melaungkan kata-kata itu, anak saya yang berumur tiga tahun pun boleh, cuma sebutannya tersasar sedikit - "Mendeka! Mendeka! Mendeka!."
No comments:
Post a Comment