Dua puluh lima tahun lalu, ketika saya seorang wartawan pelatih di unit ekonomi sebuah akhbar harian, pengarangnya, seorang lelaki Tionghua, mengarahkan saya mewawancara sekumpulan pelabur British yang baru sampai di negara ini.
Melihat saya ragu-ragu, beliau berkata lebih kurang begini: "Kenapa kau? Kau takut? Hoi kawan, 'mat saleh' ini manusia jugak. Tidak ada beza dengan kau. 'Mat saleh' dengan kita, sama saja. Kau berakkan tahi, 'mat saleh' pun berak tahi. Depa tak berak emas! Usah takutlah. 'Go, go'!"
Demikianlah, sebagai seorang Melayu, juga anak Timur yang sering kali dikaitkan dengan sifat lemah-lembut (berhati kecil?) dan kerap memandang hebat bangsa dari Barat, secara jujur diakui perasaan gentar berhadapan dengan orang Barat (dan juga orang besar) sentiasa bersarang di hati.
Saya percaya perasaan ini bukan saja bermain di hati saya seorang tetapi juga pada sebahagian besar penduduk rantau sebelah Timur. Apa saja didatangkan dari Barat dianggap hebat manakala pencapaian bangsa dan negara sendiri diperlekeh.
Tidak cukup dengan itu, ada saja yang datang dari Timur dianggap 'koman' dan tidak diguna pakai.
Anggapan kononnya Barat itu hebat adalah warisan peninggalan penjajah yang berjaya dikurangkan oleh Jepun yang pada awal abad lalu berjaya menewaskan kuasa besar dunia (Amerika dan Soviet Union) dalam beberapa pertempuran. Ia membawa kebangkitan rakyat di negara-negara terjajah, menyebabkan kebanyakannya mencapai kemerdekaan pada tahun 1940-an dan 50-an.
Pada era mutakhir ini, kuasa Barat terutama Amerika Syarikat menampilkan kehebatannya dan hal ini tidak berani disanggah oleh mana-mana pihak. Amerikalah menjadi paksi dunia dengan semua negara, tidak kira kecil atau besar tunduk padanya.
Presiden Amerika bagaikan Presiden dunia dan tindakannya dilihat sebagai untuk mempertahan atau menyelamatkan dunia daripada segala ancaman termasuk daripada pihak digelar pengganas dan juga oleh makhluk jahat dari angkasa lepas.
Disebabkan pengguasaan Amerika ke atas media massa, maka tersebarlah kehebatan watak-watak ini di seluruh dunia menyebabkan penduduk bumi kagum, terpesona dan tunduk kepada bangsa Amerika dan negara Barat lain yang difikirkan mereka begitu hebat sekali.
Kehebatan Amerika benar-benar ditunjukkan kepada seluruh penduduk dunia dalam episodnya menghancurkan Afghanistan dan Iraq dengan senjata-senjata terkini yang sudah pasti di luar jangkauan negara lain untuk memilikinya.
Demikianlah betapa hebatnya Amerika dari sudut pandangan penduduk dunia, apatah lagi di negara-negara Dunia Ketiga. Semua perkara termasuk dari segi agama perlu mendapat 'kelulusan' (approval) daripada Presiden di Washington.
Amerika juga boleh menamakan negara Islam contoh, negara Islam radikal, negara Islam sederhana malah ia boleh menentukan apa yang boleh dan tidak boleh dipelajari di Al-Azhar dan institusi Islam lain termasuk madrasah di seluruh dunia.
Pembunuhan ratusan ribu rakyat Afghanistan dan Iraq sama ada melalui serangan udara atau kesan daripada peperangan, seolah-olah mahu menunjukkan bahawa nilai nyawa orang awam bukan Amerika adalah murah sekali sedangkan jika rakyat Amerika 'diusik' (seperti serangan ke atas WTC di New York yang menyebabkan lebih 2,700 warganya terbunuh), Presidennya akan menuntut bela, memburu pihak disyaki seperti Osama ben Laden sampai ke lubang cacing.
Berdasarkan ini, bolehlah diandaikan rakyat Amerika 'berdarah biru' sedangkan darah merah penduduk yang kerap mengalir di bumi Palestin, Iraq, Afghanistan, Kashmir, Selatan Thai, Selatan Filipina, Bosnia, Chechnya tidak ada nilai langsung.
Amerika terus dengan keangkuhannya manakala penduduk dunia memandangnya dengan penuh rasa takjub sehinggalah mereka dikejutkan dengan bahana Taufan Katrina yang meranapkan New Orleans di Louisiana baru-baru ini.
Berdasarkan laporan betapa seriusnya masalah di New Orleans seperti pengabaian dan kelewatan bantuan yang menunjukkan keadaan di sana sama saja seperti di Dunia Ketiga (ada laporan menyebut 10,000 penduduk New Orleans mati), tahulah dan sedarlah kita bahawa Amerika termasuk rakyatnya adalah sama seperti kita. Rupa-rupanya mereka tidaklah sehebat yang kita sangkakan.
Rupa-rupanya mereka manusia biasa juga, darah mereka pun merah. Penduduknya juga ada hati, ada perasaan. Mereka adalah manusia biasa. Jadi tidak benarlah gembar-gembur kehebatan Amerika yang dihebahkan di seluruh dunia. Kita tertanya-tanya mana dia Superman, mana dia Batman, mana dia Spiderman yang dapat membantu manusia yang sengsara.
Satu pertanyaan besar, mana dia Presiden yang melalui filem-filem Hollywood digambarkan sebagai penyelamat dunia? Hairan juga kita kerana angkara Taufan Katrina tidak dapat dikendalikannya bagaimana pula dia hendak menyelamatkan dunia daripada serangan makhluk angkasa lepas yang sering digambarkan dalam filem-filem Amerika.
Hakikatnya, rakyat Amerika dan penduduk negara Barat lain yang sesetengah daripada kita sanjung-sanjung itu ada sama dengan kita. Ertinya, manusia itu serupa. Tidak ada kelompok manusia lebih hebat daripada kelompok yang lain. Manusia saling perlu memerlukan antara satu sama lain untuk meneruskan kesinambungan hidup.
Sebagai contoh mudah, setiap apa yang didambakan manusia adalah hasil kerja orang lain. Nasi yang disuap adalah daripada hasil kerja petani, ikan yang disuap datangnya daripada nelayan manakala sayur-mayurnya diusahakan oleh si petani. Demikianlah manusia itu serupa saja dan pada perkiraan Allah SWT, manusia itu dinilai dari segi takwanya.
Rakyat Amerika perlu sedar jika pemerintah mereka dengan bongkaknya mengebom dunia dengan bom atom dan nuklear, dunia akan rosak dan akibatnya juga akan ditanggung oleh mereka. Tiada tempat di dunia akan selamat jika pemerintah zalim dibenarkan bertindak sesuka hatinya.
Bagi masyarakat kita pula, penyakit memandang hebat apa yang datang dari Barat sudah 'membarah' dalam kehidupan. Sebagai contoh, jika Presiden Amerika berkata kita adalah negara Islam contoh, kita bangga. Jika pihak berkuasa Amerika berkata mereka akan contohi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kita berasa bangga kononnya kuasa besar dunia pun mencontohi kita.
Demikian juga pandangan pakar-pakar Barat mengenai negara kita akan disanjung dan disiarkan secara besar-besaran dalam media massa. Jika seorang pakar Amerika berkata, ekonomi kita adalah yang terbaik di rantau Asia Pasifik, kita pun mendabik bangga.
Kebanggaan berdasarkan pujian orang Barat ini adalah bertepatan dengan istilah 'Third World mentality' (mentaliti Dunia Ketiga). Bagi mereka apa saja dari Barat adalah bagus.
Jika pemimpin bergantung kepada apa pandangan dunia Barat terhadap kita, janganlah hairan jika rakyat terus mengganggap apa saja yang datang dari Barat adalah yang terbaik.
Ini termasuklah program realiti TV, antaranya 'Mencari Cinta' yang popular dewasa ini. Hakikatnya ia amat bertentangan dengan budaya Melayu yang dibangga-banggakan itu apatah lagi jika diukur daripada perspektif Islam.
No comments:
Post a Comment