Friday, September 26, 2008

Jika Perbankan Islam wujud, mengapa tidak Kewartawanan Islam?

Dalam saya terkial-kial, menghitung hari-hari yang berlalu pantas, saya terjumpa kembali buku 'Kewartawanan Islam - Dicabar, Tercabar, Mencabar' - ditulis H M Tuah Iskandar (terbitan 1990) yang dipinjamkan kepada seorang rakan perempuan beberapa tahun lalu tetapi tidak dipulangkan.

Buku itu amat berharga pada saya kerana ia mengandungi maklumat asas dunia kewartawanan, dan yang lebih penting lagi membicarakan keperluan dan usaha ke arah pembentukan Kewartawanan Islam.

Di institusi pengajian tinggi negara, setakat yang saya tahu, tiada lagi fakulti, sekolah, atau pun akademi Kewartawanan Islam. Perkara ini masih asing, sama seperti Perniagaan Islam atau Perbankan Islam suatu ketika dulu.

Jika Perniagaan Islam dan Perbankan Islam malah Kejururawatan Islam dapat disemarakkan dan kini diterima sebahagian besar rakyat - Islam dan bukan Islam - sebagai pengajian di institusi pengajian tinggi dan diamalkan dalam kehidupan seharian, mengapa tidak perkara yang sama digerakkan dalam memajukan Kewartawanan Islam.

Bagi melahirkan 'modal insan' cemerlang, gemilang dan terbilang seperti yang sering diuar-uarkan oleh pemimpin negara, adalah wajar bakal wartawan dibimbing dan dididik dalam sebuah institusi formal yang menawarkan 'Kewartawanan Islam'.

Untuk mengerakkan atau merealisasikan perkara ini tentulah memerlukan gerak kerja besar membabitkan pelbagai pihak. Bagaimanapun, seperti kata bijak pandai Cina, Confucius, 1,000 langkah bermula daripada langkah pertama.

Sebagai permulaan, eloklah dicatatkan sedikit sebanyak pandangan beberapa penulis dan tokoh seperti yang dicatat dalam buku berkenaan mengenai media massa dan Kewartawanan Islam

USTAZ AHMAD AWANG (ketika itu Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia): Media Islam belum lagi wujud di dunia ini. Yang dikatakan media Islam itu mestilah komited kepada Islam dan ia hendaklah menjiwai Islam.

Media Islam mesti bermatlamat untuk melahirkan masyarakat yang dapat melaksanakan tugas-tugas kepada Allah dan ia hendaklah membimbing akal fikiran manusia ke arah kebaikan di dunia dan akhirat.

Selagi pemerintah tidak tunduk kepada Islam, selagi itulah media Islam tidak dapat dilahirkan dalam erti kata yang sebenar.(Forum Media Islam dan Cabarannya, anjuran YADIM, 10 April 1989).

DATO' WIRA AHMAD NORDIN MOHD (ketika itu ADUN Sungai Udang, Melaka): Berita-berita di dalam akhbar Harakah lebih adil dan tepat jika dibandingkan dengan akhbar-akhbar pengampu yang lain di negara ini.

Akhbar-akhbar pengampu itu masih tenggelam dalam khayalan mereka, dengan menduga rakyat masih terus tertipu dengan laporan mereka yang sesat dan berat sebelah. (Harakah, 16 Disember 1988).

AHMAD LUTFI OTHMAN (penulis): Rasanya tiada sesiapa pun tidak menafikan antara wadah penting menyebarkan dakwah Islam ialah melalui media massa. Begitu juga untuk menangkis serangan musuh-musuh Islam, yang sentiasa ingin menghancurkan Islam dengan pelbagai cara dan kaedah.

Dengan tidak menafikan kebanjiran buku-buku Islam di pasaran khususnya buku-buku terjemahan dari Tanah Arab, yang ketara ialah ketandusan media cetak (apatah lagi media elektronik) sama ada di peringat antarabangsa mahupun tempatan yang popular seperti majalah atau surat khabar.

Tidak ada media di peringkat antarabangsa sama ada diterbitkan secara bulanan atau mingguan bagi memuatkan berita mahupun ulasan mengenai permasalahan ummah Islam meskipun dunia telah digemparkan bahawa era sekarang ialah zaman Islam, bukan lagi Washington ataupun Moscow.

Cuba kita lihat di pasaran, apakah impian kita untuk menatap berita yang ditulis secara jujur dalam media yang dikuasai sepenuhnya oleh orang-orang Islam yang komited dengan Islam tercapai? Kita tidak menafikan, di mana-mana akhbar ada dimuatkan ruangan khusus mengenai permasalahan dunia Islam.

Tetapi, kita juga menyatakan bahawa agensi-agensi berita seperti Reuters, AFP, UPI dan AP umpamanya dimiliki ataupun dipengaruhi oleh Yahudi. Apakah kita boleh mempercayai berita-berita yang dilaporkan oleh agen-agen musuh-musuh Islam itu sepenuhnya. (Dewan Budaya, September 1988).

HAJI HASSAN SALLEH (ketika itu Naib Presiden Persatuan Ulama Malaysia): Jihad dengan tulisan, jihad dengan harta benda, jihad dengan tenaga termasuk antara jihad-jihad yang sangat besar.

Kita hidup dalam zaman jahiliah (sekarang) dan jahiliah kini lebih dahsyat dari zaman sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. Tanggungjawab memulihkan masyarakat Islam antara lain tertanggung di atas bahu para wartawan dan penulis. (Petikan kumpulan ceramah agama di Kumpulan Karangkraf, 24 Disember 1988).

ABDUL KADIR JASIN (ketika itu Pengarang Kumpulan Berita Harian): NSTP sentiasa memastikan dasar pemberitaan akhbar-akhbarnya lebih mengutamakan unsur-unsur positif yang boleh membawa ke arah kestabilan dan kemajuan negara.

Kepemimpinan NSTP sekarang berpegang kepada falsafah bahawa NSTP maju jika negara maju, kewartawanan mantap jika negara mantap. (Petikan kertas kerja 'Perkembangan Industri Persuratkhabaran di Malaysia', Seminar Akhbar dan Majalah, UKM, 1989.)

Semoga petikan-petikan ini dapat menyemarakkan usaha ke arah merealisasikan pengajian 'Kewartawanan Islam' di universiti dan institusi media massa sekalipun ia mungkin benar bagi situasi tahun berkenaan sedangkan banyak perubahan berlaku pada abad ke-21 ini.

Berikut pula artikel lama penulis mengenai 'Kewartawanan Islam'

Merindui sebuah pusat pengajian Kewartawanan Islam

Dari Tashkent ke Timbuktoo dan dari Washington ke Wellington, kerajaan dunia dan media massa yang dikuasai mereka, terus menuding jari kepada apa yang mereka labelkan 'pelampau Islam' apabila berlaku sesuatu keganasan, termasuk kes terbaru di London.

Dan menjadi kecenderungan media massa negara Dunia Ketiga termasuk negara kita menjadi penyambung lidah kepada agensi berita asing/antarabangsa yang mempunyai agenda tersendiri, sama ada secara nyata atau sembunyi. Mereka seolah-olah menjadi burung kakatua, mengutip apa yang dituturkan tuannya dan kemudian menghamburkannya.

Laporan berita secara membabi-buta (mengulangi apa yang disebarkan) oleh agensi berita asing/antarabangsa tidak menghendaki kehendak ummah yang mahu berfikir, apatah lagi mengaku sebagai seorang Muslim.

Dalam al-Quran (Ayat 6, Surah Al-Hujurat), Allah SWT berfirman yang maksudnya: "Hai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan kecelakaan kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu."

Berdasarkan maksud firman Allah SWT ini, adalah penting untuk pengamal media dan cendekiawan mengambil iktibar untuk mewujudkan (atau jika sudah ada, memantapkan) satu cabang ilmu - 'Kewartawanan Islam'. Bidang ini kurang mendapat perhatian jika dibandingkan dengan 'Kewangan Islam', 'Perbankan Islam', 'Ekonomi Islam', 'Insurans Islam' dan pelbagai skop pengajian lain yang digandingkan dengan nama 'Islam'.

Mungkin ada pihak yang berhujah 'Kewartawanan Islam' tidak segah bidang disebutkan (seperti kewangan dan perbankan) yang membabitkan 'soal wang (fulus)' tetapi berdasarkan perkembangan teknologi maklumat yang begitu pantas, cabang ilmu ini perlu diterokai, dijelas dan diperkemaskan.

Demikian juga perkembangan semasa yang semakin menghanyutkan kebenaran sebaliknya menonjolkan kemaksiatan dan kebendaan sebagai idola, adalah penting untuk menyegerakan cabang ilmu yang dinamakan 'Kewartawanan Islam' itu.

Dua puluh atau 30 tahun lalu, tiada orang bercakap mengenai 'Insurans Islam' atau 'Perbankan Islam' sebagai satu subjek di pusat pengajian tinggi, tetapi kini ia sudah menjadi kenyataan. Begitulah diharapkan dengan 'Kewartawanan Islam', tetapi persoalannya kini, siapa dan di mana ilmu ini hendak disuburkan.

Jika pihak swasta yang terbabit dalam dunia penyiaran dapat merintis jalan dalam menubuhkan akademi kewartawanan dan penyiarannya, tidak ada sebab individu atau kumpulan orang Islam yang berkemampuan sama ada dari segi kewangan atau keilmuan untuk menubuhkan sebuah 'akademi kewartawanan Islam' ataupun sekurang-kurang menghasil sejumlah karya-karya bermutu mengenai kewartawanan Islam.

Ini setidak-tidak akan menjadi cabaran kepada perkumpulan orang Islam, sama ada yang berkaitan dengan politik atau tidak, untuk membuktikan bahawa Islam mencakupi semua aspek kehidupan, hatta dalam pemberitaan dan pelaporan (kewartawanan) kerana media sudah menjadi dominan dalam masyarakat moden.

Sekolah-sekolah kewartawanan dan komunikasi di pusat pengajian tinggi sarat dengan segala ilmu dan teori oleh tokoh-tokoh Barat (dari Amerika dan Eropah) tetapi tidak mengetengahkan langsung seorang pun sarjana Islam dalam bidang berkaitan. Tidak juga dikutip sebarang ayat-ayat al-Quran atau hadis berhubung bidang komunikasi dan kewartawanan.

Pendek kata, hari ini kita dapat saksikan betapa jauh dan terpisahnya bidang kewartawanan dan keagamaan menyebabkan ada pengamal media yang mengaku beragama Islam tidak dapat membezakan antara perkara yang dibenar dan tidak dibenarkan (halal dan haram) dalam mereka menjalankan tugas masing-masing.

Sebagai contoh dalam dunia persuratkhabaran, apa yang sering ditekankan ialah 'sale, sale and sale' (jualan, jualan dan jualan). Dalam mengejar 'sale' ini, difikirkanlah cerita dan gambar yang dapat menarik perhatian pembaca. Maka natijahnya gambar lucah dan berita sensasi tanpa bukti dihidangkan bagi memenuhi keghairahan manusia tanpa sandaran agama semata-mata bagi mengejar 'material reward' (ganjaran kebendaan).

Ilmu kewartawanan yang dicelup bulat-bulat dari Barat itulah yang telah melahirkan sebahagian besar daripada wartawan kita hari ini - daripada pengarang, penerbit sehinggalah kepada wartawan, hatta kepada pemberita daerah atau sambilan nun jauh di ceruk pedalaman.

Mereka tidak menjadikan agama sebagai pokok (dasar) dalam menjayakan profesion mereka tetapi menuruti cendekiawan besar Barat dalam bidang ini. Mereka lebih mengenali dan berbangga dengan 5W mereka daripada memahami 6 Rukun Iman.

Jika mereka 'ada 6 Rukun Iman', salah satu daripadanya percaya kepada Hari Pembalasan, tentulah mereka takut untuk menyiarkan berita bohong atau gambar lucah kerana semuanya akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Tetapi disebabkan terlalu berkiblat kepada 'tok-tok guru' komunikasi dan kewartawanan Barat, maka jadilah mereka sebagai penyambung lidah agensi berita asing yang dengan mudah melabelkan orang Islam sebagai pengganas, pemberontak, militan, teroris, pengebom berani mati, fundamentalis, ekstremis, pelampau, pemisah dan sebagainya.

Dan alangkah malangnya, hati mereka tidak tersentuh langsung apabila mereka sendiri menulis, menterjemah dan mengambil secara bulat-bulat penghinaan musuh Islam dengan memberi gandingan labelan buruk kepada Islam seperti pengganas Islam, pelampau Islam, ekstremis Islam, teroris Islam dan pengebom berani mati Islam.

Jika musuh Islam melabel Islam begitu, ia difahami tetapi jika orang Islam sendiri yang berbuat begitu, alangkah malangnya nasib umat ini. Berdasarkan perkembangan ini, alangkah baiknya jika ada kumpulan umat yang prihatin dapat segera menyegerakan penubuhan sebuah sekolah atau pusat pengajian 'Kewartawanan Islam'.

_

Thursday, September 25, 2008

Anak saman bapa, bala apa yang menimpa masyarakat?

Menjelang Aidilfitri yang dianggap medan terbaik mempererat siraturahim, kian kerap kita mendengar laporan menakutkan seperti kes anak 'membuang' orang tua mereka dan lebih menghiriskan ada anak yang sanggup mengheret ayah sendiri ke mahkamah.

Dalam keadaan masyarakat yang semakin kompleks hari ini, ikatan persaudaraan semakin longgar, dan ini termasuklah hubungan antara anak dengan ibu ayahnya dan juga sesama adik beradik.

Keadaan menjadi semakin buruk apabila ada anak yang sanggup menyaman bapa sendiri seperti kes membabitkan seorang artis perempuan ternama, manakala ada gadis bertindak menyaman bapa kerana tidak membenarkan mereka mengahwini lelaki pilihan sendiri. Pendeknya perbezaan pendapat telah mengakibatkan hubungan tegang sesama anak beranak.

Perbezaan pendapat dibenarkan selagi ia tidak membabitkan hukum, tetapi memutuskan siraturahim adalah haram. Demikianlah sering kali kita diingatkan jika kita rajin mengikuti kelas-kelas pengajian di surau, masjid atau di pejabat.

Di samping itu kita juga sering diingatkan supaya memuliakan ibu bapa di samping mendoakan mereka sepanjang masa. Jalan ke syurga adalah dengan restu dan reda ibu bapa, lebih-lebih lagi si ibu.

Jika 'orang tua' sudah meninggal dunia, anak-anak terus dituntut berbakti kepada mereka seperti berakhlak mulia sehinggalah kepada amalan menziarahi sahabat taulan mereka yang masih hidup, apatah lagi layanan yang wajib diberi ketika mereka masih hidup.

Jika demikian kewajipan besar kepada ibu bapa, adalah amat memilukan jika ada anak-anak yang sanggup menyaman ibu bapa sendiri, mengadu perihal keluarga kepada wartawan, penulis dan pemimpin parti politik untuk mendapat simpati dan sedikit habuan dunia.

Ini adalah satu perkembangan yang menyedihkan kerana hal ehwal keluarga digembar-gemburkan sedangkan ada sesetengah ahli 'politik curang' dan penulis mencuri ruang untuk mencipta nama.

Selain itu ada anak-anak yang sanggup menceritakan kisah kurang menyenangkan arwah ibu bapa bagi menguatkan hujah kecondongan kegiatan mereka.

Kita ingin bertanya, apakah yang diingini anak-anak dengan mendedahkan kisah-kisah orang tua mereka yang sudah meninggal dunia?

Sewajarnya sebagai anak, kita mendoakan ibu bapa kita agar ditempatkan di kalangan mereka yang diredai-Nya.

Dalam Islam, anak-anak juga diajar untuk memuliakan ibu bapa sekalipun mereka belum memeluk Islam. Ringkasnya, hubungan kekeluargaan tetap utuh tetapi apa yang berlaku hari ini amat menyedihkan.

Melalui pelbagai ceramah termasuk forum agama di TV, sering kali panel mengingatkan mengenai betapa besarnya kewajipan dan tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa dan keluarga.

Berdasarkan perkembangan semasa, anak-anak sekarang sudah jauh terpesong daripada mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan mereka.

Jika dalam sejarah sahabat dan Sirah Nabi ada dikisahkan seorang anak yang tidak dapat mengucap dua kalimah syahadah ketika akan menghadapi sakratulmaut kerana tidak mengendahkan ibunya, anak-anak hari ini nampaknya mendengar saja kisah itu tetapi gagal menjadikannya iktibar dalam mereka menjalani kehidupan.

Demikian juga amaran Allah agar anak-anak tidak membantah ibu bapa selagi bukan dalam perkara maksiat malah berkata 'aaahhh' pun tidak dibenarkan, nampaknya dijadikan halwa telinga saja.

Dalam menghadapi perbezaan pandangan, anak-anak sewajar berhemah dalam menghadapi karenah dalam keluarga. Di sini letaknya perbezaan antara insan berilmu dan tidak berilmu.

Seseorang yang tidak berilmu akan bertindak mengikut nafsu tetapi mereka yang berilmu serta mengamalnya sudah pasti akan bertindak berdasarkan hukum-hakam yang terkandung dalam agama. Apa yang dibolehkan itulah yang dibuat dan apa yang diharamkan, perkara itu dijauhi.

Berdasarkan apa yang berlaku dalam masyarakat Islam hari ini, kita berpendapat amat penting (wajib) untuk mereka terutama ketua keluarga mendalami ilmu, terutama yang bersangkutan dengan penghidupan sebagai seorang Muslim sejati.

Jika seseorang itu sudah tahu hukum-hakam agama, kita percaya masalah masyarakat seperti perpecahan dalam keluarga, pulau-memulau dan sebagainya dapat dibendung.

Ini jika kita sudah ditunjuki 'jalan yang lurus' seperti yang kita ucapkan dalam setiap rakaat solat, insya-Allah kita akan dapati kebenaran berada di depan mata! Allahuakbar.

_

Dakwah termasuk banteras maksiat perlukan kebijaksanaan

Tidak lama dulu tindakan pihak berkuasa agama dalam keghairahan mereka menangani kes khalwat dan maksiat lain mencetuskan polemik selepas pegawai mereka mengeledah bilik sepasang suami isteri asing bukan Islam di Pulau Langkawi.

Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dilaporkan tidak menyetujui tindakan pegawai pihak berkuasa agama mengintip, seterusnya menyerbu pasangan yang disyaki berkhalwat dan melakukan maksiat lain.

Beliau berkata, kesilapan dalam kes tangkapan khalwat termasuk menangkap pasangan suami isteri yang tidur di hotel dan terhadap pasangan bukan Islam boleh memalu dan menjejaskan Islam.

Katanya, Islam tidak menyuruh umatnya melakukan serbuan khalwat berdasarkan maklumat tidak jelas dan kemudian bertindak mengaibkan pasangan terbabit.

Pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab, seorang sahabat pernah menegur beliau yang dikatakan cuba mengintip ke dalam rumah seseorang bagi mengetahui sama ada penghuninya berbuat maksiat iaitu meminum arak.

Demikianlah tidak wajar dalam sebarang tindakan pihak berkuasa semata-mata bertujuan untuk memalukan seseorang. Tindakan hendaklah berasaskan bukti yang kukuh, bukan sembarangan bagi mengiyakan fitnah seseorang atau pihak tertentu.

Namun demikian, jika ada bukti kukuh dan memenuhi syarat, ayuh laksanakan hukuman. Jika seseorang itu sudah jelas berzina dan ada bukti lagi dan didapati salah oleh mahkamah, kenapa tidak dijalankan hukuman seperti diperintahkan al-Quran.

Hukuman ke atas pesalah juga bukan bertujuan memalukannya tetapi juga agar menjadi pengajaran dan iktibar.

Seruan ke arah kebaikan dan usaha mencegah kemungkaran bukan bertujuan untuk memalukan seseorang, sebaliknya mendidik masyarakat ke arah jalan kebenaran. Sehubungan itu seruan kebajikan dan larangan maksiat hendaklah dilakukan secara bijaksana. Ringkasnya dakwah perlukan hemah.

Dari perspektif bahasa, dakwah bererti seruan atau ajakan kepada sesuatu. Menurut pengertian istilah, dakwah bererti seruan atau ajakan kepada Islam.

Seorang cendekiawan, Syeikh Ali Mahfuds pula mendefinisikan dakwah sebagai 'mendorong manusia agar melakukan kebaikan dan mengikuti pentunjuk, menyuruhnya membuat kebajikan dan meninggalkan kemungkaran agar mereka memperolehi kebahagian dunia dan akhirat'.

Agama Islam berusaha meyakinkan manusia mengenai kebenarannya dan melatih mereka menjadi penganutnya. Dalam hal ini, Islam mempunyai ciri-ciri agung untuk menarik seluruh manusia kepadanya dan mendorong mereka ke arah mencapai keadilan, kebenaran, kesucian dan keindahan.

Orang Islam menganggap diri mereka sebagai diperintahkan Allah untuk menyeru semua manusia tunduk kepada-Nya (42:15). Matlamat hidup orang Islam ialah untuk membawa seluruh makhluk manusia kepada Islam, iaitu agama bagi manusia, agama Allah yang merangkumi teologi dan syariah, etika dan institusinya (Isma'il R Al-Faruqi dan Lois Lamnya dalam buku mereka 'Atlas Budaya Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992).

Dalam al-Quran, Allah memerintahkan orang Islam: "Serulah manusia ke jalan Allah dengan bijaksana dengan nasihat yang baik. Nyatakan alasan-alasan yang munasabah (6:125). Dakwah merupakan pengisian kepada perintah ini. Dakwah melibatkan usaha mengajar kebenaran kepada mereka yang lalai; membawa berita yang baik tentang nikmat dunia dan tentang nikmat syurga; memberi amaran tentang balasan neraka di akhirat dan tentang kesengsaraan di alam ini (22:67).

Tugas memenuhi perintah ini dinyatakan oleh al-Quran sebagai puncak kebaikan dan kebahagiaan. "Siapakah yang lebih baik pertuturannya daripada mereka yang menggunakannya untuk menyeru manusia ke jalan Allah." (41:33). Rasulullah (s.a.w.) juga menganggap bahawa dakwah merupakan usaha paling mulia dan hasilnya, iaitu penganutan kepada Islam sebagai kesan paling agung.

Satu aspek perspektif Islam dalam komunikasi ialah penekanannya ke atas nilai - sosial, agama dan kebudayaan - dan penyelidikan melalui penglibatan. Hasil daripada konsep pendekatan penyelidikan melalui penglibatan ini ialah satu aspek komunikasi antara perseorangan, yang mungkin merupakan suatu aspek komunikasi yang paling mengarah kepada sosio - agama - budaya (Pandangan Imtiaz Hasnain dalam buku Rahmah Hashim 'Komunikasi: Suatu Pendekatan Islam', DBP 1992).

Al-Quran dan hadis menyatakan di beberapa tempat mengenai prinsip dan kaedah komunikasi. Antara ayat-ayat al-Quran yang menyatakan perkara ini ialah:

1. "...dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik..." (Surah 2:83).

2. "(Menolak peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan) yang menyakitkan hati." (2:263).

3. "...dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras, tentulah mereka akan lari dari kelilingmu..." (3:159).

4. Allah tidak suka kepada perbuatan buruk yang dikatakan dengan berterus terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan." (Surah 4:148)

5. "Dan katakan (wahai Muhammad) kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata-kata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia." (17:53).

6. "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata yang lemah lembut semoga ia beringat atau takut." (20:44).

7. "Dan janganlah kamu berbahas dengan ahli kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang yang berlaku zalim di antara mereka..." (29:46).

8. "Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredai-Nya), ialah mereka yang berjalan di muka bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat daripada perkara yang tidak diingini." (25:63).

9. "Wahai orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang tidak kamu lakukan! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya." (Surah 62:2-3).

Dalam hadis juga terdapat beberapa prinsip komunikasi yang disabdakan oleh Rasulullah (s.a.w.). Dalam kita membicarakan mengenai bentuk komunikasi, Rasulullah (s.a.w.) telah bersabda - seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Dunya yang bermaksud: "Sebutkan perkara baik mengenai saudara kamu yang tidak hadir dalam perjumpaan, terutama sekali perkara yang kamu suka diperkatakan oleh saudara kamu ketika kamu tidak hadir bersama."

Mengenai perkara yang perlu dijauhi seseorang, Dunya meriwayatkan dalam hadis yang sama, bagaimana Rasulullah (s.a.w.) meminta seorang pengulas supaya menjauhi memperkatakan apa juga yang tidak ada kena mengena dengan diri sendiri dan mengatakan apa juga tentang diri sendiri pada majlis yang salah.

Rasulullah (s.a.w.) juga bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Tuhan tidak suka orang seperti itu...yang memutarbelitkan (fakta) dengan lidah mereka seperti seekor lembu yang memusing-musingkan rumput dalam lidahnya."

Monday, September 22, 2008

Ruqaya: 'Come on SIS, you can do it too'

Tanggal 11 Disember 2005 penulis berangkat ke Tanah Suci, menunaikan haji. Beberapa tahun sudah berlalu, rasanya seolah-olah baru semalam berlaku. Musim haji 2006, ketika jutaan jemaah berpusu-pusu di kota suci Makkah dan Madinah, di Doha, Qatar berlangsung Sukan Asia yang menyaksikan seorang Muslimah gigih empertahankan 'maruah Islamnya' dari segi berpakaian. Beliau adalah pelari pecut Bahrain, Ruqaya Al-Ghasara yang menang emas larian 200 meter dan gangsa larian 100 meter.

Tidak menghairankan jika semua jemaah haji wanita 'berkelubung' di Tanah Suci. Yang menghairankan jika ada jemaah wanita yang tidak bertudung litup. Di pentas sukan pula terutama di peringkat antarabangsa, tidak menghairankan jika semua peserta wanita bagaikan tidak cukup kain ketika mengambil bahagian. Yang menghairankan ialah jika ada wanita berpakaian macam Ruqaya.

Sesudah beberapa tahun penulis ke Tanah Suci, di ruang ini penulis mengambil kesempatan bermuhasabah diri, mengakui betapa tidak berdayanya diri untuk mengikuti dan mencontohi insan-insan gemilang seperti Ruqaya Al-Ghasara. Ruqaya adalah sebutir permata yang bersinar dalam selutan lumpur. Mungkin ada seorang Ruqaya dalam 1,000 atau satu juta insan yang mendabik dada mengaku Muslim.

Ruqaya yang aktif membabitkan diri dalam masyarakat adalah lebih baik daripada Ruqaya yang beruzlah - menjalankan tanggungjawab agama tetapi menyepikan diri, tidak bercampur gaul dengan masyarakat.

Penulis percaya untuk menjadi Ruqaya yang muncul di kaca TV dan dada-dada akhbar sebagai seorang juara lengkap dengan identiti Muslimahnya, pasti melalui 1,001 ranjau dan duri. Biarlah Ruqaya menjadi idola baru, menjadi contoh kepada anak-anak termasuk anak gadis penulis sendiri dalam bidang sukan. Tidak salah untuk bersukan - renangkah, gimramakah, larian pecutkah, bola jaringkah, bola tampar pantaikah - semuanya boleh dengan syarat mematuhi syariat agama.

Dua puluh tahun lalu, buat pertama kalinya penulis diperkenalkan dengan sukan renang. Di sekolah menengah penulis dulu, renang menjadi sebahagian daripada mata pelajaran PE (PJ-Pendidikan Jasmani). Biasalah untuk acara renang, budak lelaki kena pakai seluar katuk.

Penulis tahu ini bertentangan dengan agama. Tetapi tidak seperti Ruqaya yang mampu mempertahanan identiti Muslimnya sekalipun di peringkat begitu hebat (seperti Sukan Asia), penulis 'kantoi' - tidak berupaya mempertahankan kehendak agama.

Tetapi untuk mengelak daripada terus beraksi dalam seluar katuk, penulis sering ponteng dengan pelbagai alasan seperti bontot berkurap. Suatu hari guru berkenaan menyuruh penulis membuka seluar bagi membuktikan perkara itu. Penulis enggan, maka terpaksalah terjun ke dalam kolam dengan seluar katuk.

Ketika remaja, penulis seronok melihat aksi Misbun Sidek. Tetapi ketika asyik menyaksikan pukulan pancung jagoan badminton dari Banting ini, terfikir pula penulis alangkah bagus jika Misbun pakai seluar panjang. Kalau pakai seluar panjang, aurat dapat jaga, juara pun boleh dapat. Pada fikiran penulis, sebagai juara tentulah Misbun ada suara untuk memakai pakaian menutup aurat. Ketika 'top', dia boleh 'demand', tentulah pegawai-pegawai sukan dan penganjur kejohanan akan ikut cakapnya. Penulis fikir Misbun layak berseluar panjang sebab ketika dia 'top' dulu ramai orang cakap Misbun ini warak orangnya. Kalau dah warak, tentulah dia akan fikirkan penampilannya.

Demikian juga masa bersukan. Kalau dah warak, takkan boleh 'start' permainan jam 7.00malam. Solat maghrib bagaimana? Masa tengah 'top' buatlah 'demand'. Desak agar permainan dimulakan lebih lewat lagi bagi memberi peluang pemain, pegawai dan penonton Muslim untuk solat. Tetapi ahli sukan Muslim kita tidak buat begitu, tidak 'demand', jadi dari dulu sampai sekarang ada permainan bermula jam 7.00 atau 8.00 malam.

Baru-baru ini ada orang 'complain' pertandingan bola sepak FAM bermula jam 8.00 malam. Tetapi FAM tidak peduli pun. Bermakna pihak berkenaan tidak sensitif dan tidak ada toleransi dalam memberi peluang kepada pemain, pegawai dan peminat untuk solat. Kalau waktu maghrib masuk jam 7.30 petang, bagaimana pemain dan penonton mahu solat dengan selesa. Pemain kena 'warm up' sedangkan penonton kena cari tempat untuk solat. Tetapi kalau, pemain bola sepak Malaysia ada semangat keislaman seperti Ruqaya, tentulah hal ini dapat diatasi. Kecintaan mereka untuk menunaikan suruhan agama akan mencairkan pembuat dasar dan peraturan yang bersikap kuku besi.

Hakikatnya dalam kehidupan harian seorang Muslim, kebanyakan daripada kita pandai 'menyesuaikan' dirinya dengan suasana, hidup bagaikan sumpah-sumpah. Apabila suasana memerlukan kita jadi baik, maka kita jadi baik. Tetapi apabila suasana memerlukan kita jadi jahat, kita pun jadi jahat.

Ambil kisah haji dan umrah sebagai contoh. Semua jemaah baik-baik belaka. Semua bertudung litup. Yang lelaki pula ramai yang berjubah macam syeikh Arab. Tidak ada yang dedah aurat.

Tetapi apabila kembali ke tanah air, lain halnya. Ada sesetengah itu, sudah tidak lagi memakai tudung. Bukan saja tidak bertudung, ada yang berani dedah sana, dedah sini. Di Makkah kenapa tak buat benda yang sama, bukankah Tuhan itu ada di mana-mana saja.

Di masjid orang patuh suruhan agama. Yang perempuan bertudung. Yang lelaki juga menutup aurat. Tiada orang perempuan yang pergi masjid dalam keadaan 'togel'. Tetapi itu di masjid saja. Keluar masjid, seolah-olah peraturan agama sudah tak ada lagi.

Orang pergi kelas agama pun baik-baik belaka. Tetapi kenapa di kelas agama saja, tidak di pejabat dan tempat lain seperti pasar, kompleks beli belah dan stesen bas dan jalan raya.

Kerana mengamalkan hidup bagai sumpah-sumpah ini, ketika membicara hal agama, kita macam orang baik-baik tetapi di pejabat dan jalan raya, kita melakukan perkara mungkar seperti rasuah. Kemungkaran ini berleluasa seolah-olah agama itu terkurung dalam masjid, dalam amalan khusus seperti solat, haji dan puasa. Selain daripada itu, kita tidak terikat kepada hukam-hakam agama.

Berhubung tindakan terpuji Ruqaya, penulis syorkan kepada Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) supaya memperjuangkan hak wanita Islam untuk berpakaian serupa (menutup aurat) dalam kejohananan antarabangsa lebih besar seperti Sukan Dunia, Olimpik dan Komanwel. Kalau hal ini pun tidak dapat diperjuangkan oleh OIC, entahlah, OIC mahu perjuangkan apa agaknya.

'Come on, Malaysia' - anda boleh! Malaysia Boleh! Pertubuhan wanita pun boleh sertai sama. Perjuangkan nasib wanita Islam yang mahu berpakaian menutup aurat di pentas antarabangsa, terutama sukan seperti di kolam renang dan lantai gimnasium. 'Come on SIS, you can do it too!'

Ubah cara hidup untuk benam Israel, Amerika

Artikel ini ditulis sebaik saja saya kembali daripada perhimpunan aman bagi membantah keganasan rejim Zionis ke atas umat Islam Palestin di depan Kedutaan Amerika, seusai solat Jumaat, tidak lama dulu. Pada mulanya saya tidak berhajat pergi kerana berpendapat bantahan dibuat di tempat dan kepada pihak bukan sasaran tepat, kata bijak pandai 'barking at the wrong tree'.

Saya berpendapat yang mengganas kali ini ialah rejim Zionis Israel dan pembabitan Amerika, kalau boleh dikatakan ada, secara tidak langsung. Bantahan kepada Amerika sudah kerap kali dilakukan, misalnya bantahan pencabulannya ke atas Afghanistan dan Iraq.

Menjelang solat Jumaat, ketika membuka laman-laman web tertentu bagi mengetahui laporan terbaru keganasan Israel, tergamam saya apabila terlihat gambar-gambar kanak-kanak Palestin, berlumuran darah, ada daripadanya sudah menjadi mayat, terbunuh akibat bedilan dan serangan askar rejim Zionis.

Tidak sampai rasanya untuk saya tidak menyertai bantahan itu. Selepas solat Jumaat di Masjid Jamek di pusat bandar raya Kuala Lumpur, saya pun terus menaiki PUTRA ke stesen Ampang Park. Sebaik tiba di sana, saya pun menggabungkan diri dengan ribuan pembantah di persimpangan Jalan Ampang/Jalan Tun Razak.

Ketika bergerak ke Kedutaan Amerika di Jalan Tun Razak, kira-kira 500 meter dari persimpangan itu, dapatlahlah saya merasai betapa bersemangatnya anak-anak muda, memuji Allah dan junjungan besar Rasulullah s.a.w., menyatakan sokongan kepada kepimpinan Hamas, seterusnya mengutuk Israel dan Amerika.

Selain berselawat, melaungkan kata-kata semangat kepada Palestin dan kutukan kepada Israel dan Amerika, pembantah keganasan rejim Zionis membawa sepanduk antaranya menyatakan sokongan kepada Palestin dan perjuangan untuk membebaskan Baitulmaqdis.

Turut serta adalah kumpulan wanita yang tidak ketinggalan membawa sepanduk. Kumpulan yang penulis percaya bukan Islam (berdasarkan pakaian dan wajah mereka), turut membawa sepanduk dan berarak bagi menyatakan sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin.

Di depan Kedutaan Amerika, pembantah berkumpul. Sejumlah orang mengiringi pemimpin penganjur seperti Naib Presiden PAS, Dr Hasan Ali berusaha berjumpa wakil diplomatik Kedutaan Amerika bagi menyampaikan memorandum membantah keganasan Israel dengan sokongan Amerika.

Selepas itu, seorang demi seorang pemimpin penganjur berucap. Antaranya, Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub; Presiden ABIM, Yusri Mohamed, wakil JIM dan Dr Hasan.

Antara lain mereka bercakap mengenai bantuan persenjataan Amerika kepada rejim Zionis dan keperluan ummah bersatu bagi menangani permasalahan yang sudah berlarutan sejak sekian lama ini.

Ucapan Salahuddin menarik minat saya. Antara lain katanya, mana OIC, mana Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi) sebagai Pengerusi OIC.

Antara sebab mengapa pada mulanya saya keberatan untuk menyertai bantahan adalah kerana berpendapat sasaran bantahan itu sewajarnya dihalakan kepada OIC dan negara umat Islam kerana gagal menangani isu Palestin ini.

Pada pandangan saya, alangkah baiknya jika bantahan itu dilakukan di depan ibu pejabat OIC. Bagaimanapun, persoalannya di mana ibu pejabat OIC? Kalau tidak silap saya, ibu pejabat OIC terletak di Jeddah, Arab Saudi.

Saya pernah bertanya seorang cendekiawan mengapa OIC gagal berperanan mempertahankan ummah. Katanya, OIC adalah sebuah organisasi menghimpunankan negara umat Islam untuk bersidang. Itulah sebab namanya Pertubuhan Persidangan Islam (Organization of Islamic CONFERENCE). Oleh itu pelan tindakan selepas persidangan adalah samar-samar dan sebab itulah kes ummah gagal ditangani dengan baik. Ini termasuklah kes umat Islam Bosnia, Kashmir, Chechnya, Afghanistan, Iraq dan sudah pasti Palestin.

Tetapi adalah salah untuk menyatakan OIC gagal sama sekali dalam menyatupadukan ummah. Sejak penubuhannya pada 1969 selepas pencerobohan Israel ke atas Masjidil Aqsa, OIC cemerlang dalam pelbagai bidang dan sudah menganjurkan Sidang Kemuncak sebanyak 10 kali, yang terakhir di Kuala Lumpur tidak lama dulu. Tanpa OIC, ummah tidak langsung mempunyai payung selepas runtuhnya kerajaan Khalifah Uthmaniyah di Turki pada awal abad ke-20.

Tetapi antara masalah atau halangan terbesar adalah sikap umat sendiri - daripada pemerintah negara umat Islam kepada rakyat. Mereka tidak menunjukkan komitmen untuk hidup bersandarkan apa yang diperintah Allah melalui Rasul dan Kitab-Nya.

Menyertai dan memerhati anak-anak muda yang menyertai perarakan dan cara hidup sebahagian yang lain menyerlahkan sedikit sebanyak daripada sikap betapa tidak peduli dan pekanya sebahagian anggota masyarakat kepada permasalahan ummah.

Bagaimana tergamak bercakap mengenai perjuangan menyokong Palestin sedangkan di celah tangan terjepit rokok jenama Amerika, berjeans sedat mempamerkan jenama Amerika, makan minum di restoran Amerika, menyaksikan filem Hollywood mengagungkan Amerika seperti 'Superman Returns' dan akhirnya sama-sama berhibur hati menyaksikan pertarungan bola sepak Piala Dunia tajaan syarikat-syarikat gergasi Amerika dan konco-konconya?

Demikianlah betapa hampir segala dalam hidup kita berkiblatkan Amerika. Dari celik mata sampailah ke malam hari apabila mahu melelapkan mata, semuanya adalah berkisar kepada cara hidup Amerika. Sebut apa saja - daripada sumber maklumat, teknologi, makanan, hiburan - semuanya berpaksikan Amerika dan Barat. Bagi sesetengah daripada kita Amerika adalah segala-galanya - jika Amerika ada 'American Idol', kita ada 'Malaysian Idol', jika Amerika ada Las Vegasnya, kita pun ada Las Vegasnya. Laporan keganasan Zionis ke atas umat Palestin pun kita perolehi daripada sumber Amerika dan Barat - CNN, BBC, NBC, Reuters, AFP, AP dan sebagainya!

Globalisasi (penjajahan) Amerika sudah sampai ke kemuncaknya. Di seluruh dunia ada KFC, McDonald's dan seumpamanya. Malah di Moscow, yang dulunya paling kuat cuba menangkis pengaruh Amerika, akhirnya tunduk malu apabila rakyat Russia menjalani kehidupan 'lebih Amerika daripada orang Amerika sendiri'.

Jadi apa yang tinggal pada umat Islam? Jawapannya kembalilah kepada Islam, nescaya ia menjadi lawan paling ditakuti Amerika dan sekutunya. Sudah tentu pada peringkat awal bukan untuk berperang dengan Amerika tetapi berperang dengan nafsu diri, memperbaiki dan muhasabah diri, seterusnya anak pinak, saudara mara dan masyarakat. Tidak guna berdegar-degar tetapi bagai meriam buluh, bunyi kuat tetapi tiada apa-apa...Selepas meletup, keadaan menjadi senyap seketika, kemudian meletup balik, selepas itu senyap balik.

Friday, September 19, 2008

Siapa hina siapa?

Tidak lama dulu, ummah diuji dengan tindakan sesetengah pihak menghina Nabi s.a.w.
Umat Islam seluruh dunia bangun membantah penyiaran 12 karikatur menghina Nabi s.a.w. oleh akhbar Jyllands-Posten, Denmark, kemudian diulang siar akhbar-akhbar lain di Eropah seperti di Norway, Jerman dan Perancis dan di negara kita oleh 'Sarawak Tribune'.

Pada era teknologi maklumat masakini, dengan mudah saja seseorang itu dapat mengakses 12 karikatur itu, seterusnya membuat penilaian sendiri.

Memanglah karikatur itu teruk dan jahat betul. Satu kartun menggambarkan Nabi bertanduk, Nabi bermuka bulan bintang dan ada pula mengandungi sketsa bagaimana mahu memerangi 'jihad global' dengan seorang lelaki berjubah (Nabi) berkata: "Stop stop. We have run out of virgins."

Kejahatan dan kebencian sesetengah orang bukan Islam terhadap Islam sudah jelas.

Mungkin tiada apa yang perlu dibahaskan mengenai perkara ini. Ketika Nabi hidup pun, mereka mempamerkan kejahatan itu, apatah lagi apabila Nabi tiada, dan umat pun, dari sehari ke sehari semakin jauh daripada zaman itu.

Umat Islam kini semakin jauh daripada Rasulullah s.a.w., sahabat-sahabat dan seterusnya ulama-ulama zaman silam.

Pada ketika kita memperkatakan mengenai penghinaan orang kafir terhadap Islam (termasuk junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.), dirasakan elok juga kita mencermin (bermuhasabah) diri, entah-entah (nauzubillah), kita termasuk juga golongan yang menghina agama sendiri.

Penulis tertarik benar dengan tulisan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyatakan sesetengah daripada orang yang mengaku Islam sudah lama terbabit dalam penghinaan ke atas agama suci ini, lama sebelum penyiaran kartun menghina Nabi oleh akhbar orang bukan Islam berkenaan.

Antara lain Tuan Guru Nik Abdul Aziz menulis mengenai keceluparan seorang bekas pemimpin tertinggi negara yang memperlekehkan hukum-hakam Islam seperti hudud dan juga amalan sunnah seperti berjanggut dan berserban.

Sebagai pemimpin jemaah, agama dan politik, adalah bertepatan untuk Tuan Guru menyatakan sedemikian dan sebagai rakyat biasa dirasakan wajar pula untuk penulis mengetengahkan perkara-perkara yang berlaku dalam masyarakat yang menunjukkan betapa sesetengah daripada kita menghina agama sendiri.

Apabila orang Islam sendiri menghina agama mereka, sudah pasti ia membuka peluang dan ruang kepada orang bukan Islam yang tidak mengerti langsung mengenai Islam, untuk menunjukkan tembelang mereka.

Perkara terbesar yang hendak disentuh di sini berkaitan nasihat dan panduan sesetengah pemimpin negara. Selalunya dalam majlis-majlis keagamaan mereka akan berkata: 'Kembalilah kepada Islam sebenar', 'Jadikan al-Quran sebagai panduan', 'Hayatilah al-Quran' dan 'Jadikan Rasulullah sebagai ikutan'. Hakikatnya, benarkah dalam kehidupan, mereka (dan kita) menjadikan al-Quran sebagai ikutan dan panduan?

Sebagai contoh mudah, dalam al-Quran dinyatakan semua perkara wajib diputuskan mengikut apa yang diturunkan Allah dalam kitab-Nya, tetapi adakah kita melakukannya?

Dalam Surah Al-Maa-idah, Ayat 47 dan 48, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan hendaklah orang-orang pengikut Injil memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah di dalamnya. Barangsiapa yang tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik.

"Dan Kami telah turunkan al-Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, yaitu kitab-kita (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu..."

Berdasarkan apa yang berlaku hari ini, amatlah menyedihkan kerana perintah Allah dalam al-Quran tidak ditunaikan sepenuhnya. Ada perintah dan hukum-Nya diambil, ada pula diabaikan. Pengabaian dilakukan oleh individu dan juga oleh kerajaan yang mengaku sebagai negara Islam.

Sebagai contoh, dalam surah yang sama melalui Ayat 38 Allah SWT berfirman bermaksud: "Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan kedua-duanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai seksaan dari Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."

Seluruh dunia Islam tahu bahawa perintah dan hukuman ini tidak terlaksana sepenuhnya. Nampaknya, sebahagian orang Islam lebih cinta kepada hukum-hakam yang dibawa oleh 'tuan penjajah' yang telah memporak-perandakan negara mereka selama beberapa abad.

Tetapi mereka yang mengikuti dan menghayati surah berkenaan, tentulah berasa takut dan gementar, menangis tersedu-sedu, mengenangkan nasib mereka di akhirat kelak apabila Allah SWT berfirman melalui ayat ke-68 yang bermaksud: Katakanlah: 'Hai Ahli Kitab, kamu tidak dipandang beragama sedikitpun hingga kamu menegakkan ajaran-ajaran Taurat, Injil dan al-Quran yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu. Sesungguhnya apa yang diturunkan kepadamu (Muhammad) dari Tuhanmu akan menambah kedurhakaan dan kekafiran kepada kebanyakan dari mereka; maka janganlah kamu bersedih hati terhadap orang-orang kafir itu."

Orang bukan Islam sudah jelas dengan kekafiran mereka, termasuk menghina Islam dan Nabi Muhammad s.a.w. Tetapi bagaimana pula perbuatan orang Islam dalam kehidupan seharian yang juga jelas menghina Islam?

Sebagai contoh, berjudi adalah haram dalam Islam. Di bandar-bandar besar hatta kecil di negara kita yang kini bergelar negara Islam contoh dan memimpin organisasi ummah terdiri daripada lebih 55 negara mewakili 1.5 bilion manusia (Pertubuhan Persidangan Islam - OIC), ada banyak kedai judi (ekor) yang dibuka kepada semua.

Di dinding premis kedai judi, terpampang kenyataan bahawa orang Islam dilarang berjudi. Tetapi berdasarkan pemerhatian penulis, ramai orang yang mengaku Islam pun turut sama berjudi. Apabila hal ini terjadi, Islam itu secara automatiknya dihina, bukan saja membabitkan penjudi, tetapi juga mengheret sama kerajaan, pihak berkuasa dan semua orang Islam.

Senarai penghinaan terhadap Islam dan ajarannya panjang. Cukuplah untuk menyatakan di sini contoh-contoh utama yang juga boleh dibahaskan secara panjang lebar.

Antaranya pertandingan ratu cantik yang kini dikelabui dengan 'jenama' seperti 'Most Beautiful' yang membolehkan penyertaan gadis Melayu/Islam, segala macam anugerah hiburan, penerbitan akhbar dan majalah lucah dan separuh lucah dan penyiaran bahan-bahan lucah di media massa terutama TV.

Akhirnya, renung-renunglah 'gurauan' seorang sahabat penulis yang membawa maksud begitu mendalam. Beliau mengulas isu sekumpulan wanita Melayu/Islam ditangkap membuat persembahan bogel di sebuah kelab malam.

"Budak yang ditangkap menjual tubuh itu, namanya Rabiahtul Adawiyah. Agak-agaknya, tahu tak dia, siapa dia Rabiahtul Adawiyah yang sebenar?"

Mansuhkan unsur tidak Islamik dalam dunia persuratkhabaran

Sebagai bekas kakitangan The New Straits Times Press Sdn Bhd (NSTP) selama 12 tahun, tentulah gembar-gembur mengenai akhbar NST masa kini, menarik minat saya untuk menulis mengenainya.

Sekalipun sudah bertahun-tahun meninggalkan NSTP, kenangan di Balai Berita dan Jalan Riong akan sentiasa bermain di mata - mungkin untuk sepanjang hayat.

Masakan tidak, di Balai Beritalah saya belajar selok belok dunia kewartawanan - daripada 'pemberita kadet' (cabuk) kepada ke peringkat pentadbiran, menguruskan wartawan-wartawan di bawah saya.

Oleh kerana NSTP kini menjadi perhatian negara, terluanglah kesempatan untuk 'refresh' (mengingatkan kembali) pengurusan NSTP, tauke-tauke media dan juga kepada peneraju negara mengenai 'satu dua perkara yang tidak Islamik' dalam industri persuratkhabaran.

Jika dewasa ini heboh 'NST dengan penyiaran karikatur menghina Islam', alangkah baiknya jika pihak NSTP dapat 'berfikir lagi jauh ke depan' untuk sama-sama memansuhkan unsur-unsur tidak Islamik dalam akhbar terbitannya - sama ada dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu.

Akhbar-akhbar berbahasa Melayu, terutamanya terbitan hari minggu - dalam usaha bersaing untuk muncul sebagai akhbar No 1 negara, menyajikan ruangan dan gambar-gambar artis wanita dalam keadaan tidak senonoh sama sekali.

Gambar wanita mendedahkan pangkal buah dada, kadang-kadang terlondeh dengan hanya menutup 'benda itu' saja, nampaknya sudah menjadi perkara biasa, seolah-olah ia sudah diterima masyarakat.

Seorang tuan guru pernah menegur dengan berkata: "Nampaknya semua orang sudah jadi syaitan bisu, tidak ada orang berani menegur, hatta sekalipun anaknya berpakaian tidak senonoh."

Jika bahan bacaan berkenaan dikhaskan untuk pembaca dewasa, 'damage' (kerosakan)nya tidaklah sebegitu besar berbanding statusnya sebagai akhbar untuk seisi keluarga.

Alangkah malunya seorang bapa apabila si anak terikut-ikut mahu memperagakan pakaian yang digayakan artis dalam akhbar ataupun bertanyakan soalan sensitif apabila tidak faham sesuatu yang dibacanya dalam ruangan seks dan rumahtangga.

Selain menyiarkan gambar-gambar tidak senonoh, sesetengah akhbar masih bebas menyiarkan iklan arak malah semua akhbar menyiarkan keputusan empat nombor ekor (judi) sekalipun dalam akhbar yang sama mungkin ada rencana yang menyatakan haram dan padahnya berjudi atau minum arak.

Seorang wartawan NSTP pernah menghubungi saya, mengemukakan soalan dan meminta nasihat: "Saya kerja di NSTP sebagai penyunting bahagian sukan. Apabila saya 'buat page tu, di tepinya ada 'ad' (advertisement) 'empat nombor ekor'. Macam mana ni bang, pendapatan saya ni haram ke halal, atau saya dikira syubahat ke bang?"

Saya katakan kepadanya, tanyalah ustaz, tentulah ustaz lebih arif.

Demikian betapa serba salahnya seseorang Muslim yang bekerja dalam suasana (environment) demikian kerana apabila dia mendirikan solat, dia akan memohon - ya Allah, Kau tunjukkanku jalan yang lurus - jadi kalau Allah sudah bukakan pintu hatinya untuk mengikuti jalan lurus, tentulah suasana tidak Islamik itu tidak akan mententeramkan jiwanya.

Media dilihat sebagai perakam peristiwa anak bangsa. Sebahagian peristiwa, besar atau kecil tidak terlepas daripada jangkauannya. Malangnya, dalam isu penghinaan ke atas Nabi Muhammad s.a.w., media Melayu nampaknya terlalu mementingkan nafsu-nafsi politiknya sehingga satu peristiwa besar - 10,000 orang berarak menyatakan bantahan ke atas akhbar Denmark dan sekutu-kutunya, tidak disiarkan secara wajar.

Disebabkan tindakan 'menggelapkan' berita ini, timbul andaian umat Islam Malaysia tidak mempunyai sikap prihatin atau peduli ke atas apa yang menimpa ke atas saudara seagamanya.

Buktinya, sebuah akhbar harian menerbitkan rungutan seorang pembaca yang berbunyi: "Hairan, tak ada pun parti Islam atau organisasi Islam yang membantah penghinaan ke atas Nabi Muhammad s.a.w. terhadap Kedutaan Denmark! Bangun semua!"

Ertinya, akhbar Melayu telah mengkhianati kepercayaan pembacanya. Sesuatu perlu dibuat bagi mengubah senario malang ini.

Thursday, September 18, 2008

Sains, Matematik dalam BI: Kajian Unesco tidak dipeduli

Pertukaran bahasa bagi mata pelajaran Sains dan Matematik, yang diilhamkan oleh Perdana Menteri ketika itu (2003), Dr Mahathir Mohamad, dilaksanakan tanpa sebarang kajian perintis (pilot study) atau perbincangan.

Sehubungan itu, ia dikhuatiri akan menuju kegagalan sekalipun ada pihak mendakwa negarawan yang memperkenalkannya mempunyai prihatin iklas berhubung kemerosotan mutu bahasa Inggeris di kalangan rakyat Malaysia.

Selepas hampir enam tahun dilaksanakan, rakyat dan pemimpin Malaysia masih kabur mengenainya. Bayangkan di Parlimen baru-baru ini seorang wakil rakyat BN bertanya apakah kemerosotan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) disebabkan oleh penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

Jelas sekali wakil rakyat ini tidak membuat 'homework'nya. Dia seolah-olah tidak meneliti perkembangan semasa sebelum melontarkan pertanyaannya kepada Menteri Pelajaran atau wakilnya. Dia juga hampir pasti tidak mempunyai anak di sekolah rendah, jika tidak masakan dia bertanyakan soalan itu. Jika dia ada anak di sekolah rendah, dikhuatiri dia tidak mengambil tahu perkembangan anak-anak di sekolah rendah.

Sebenarnya UPSR tahun 2006 tiada kaitan langsung dengan pelaksanaan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. UPSR tahun 2006 (dari segi penggunaan bahasa) adalah sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Jadi soalan wakil rakyat BN itu tidak relevan sama sekali.

Timbalan Menteri Pelajaran ketika itu, Noh Omar, yang menjawab soalan itu berkata kemerosotan mutu UPSR tahun ini tidak ada kaitan dengan penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Ini kerana murid Tahun Enam yang mengambil ujian itu masih mengikuti mata pelajaran itu dalam bahasa Melayu dan bahasa ibunda di sekolah Cina dan Tamil (hanya mulai tahun 2008, barulah pelajar perintis menduduki kertas Sains dan Matematik UPSR dalam bahasa Inggersi).

Jika wakil rakyat BN itu membuat 'homework'nya, mungkin dia tidak akan bertanyakan soalan itu. Seorang guru atau bapa yang prihatin tentulah tahu bahawa subjek bahasa Inggeris diperkenalkan pada tahun 2003 kepada murid-murid Tahun Satu dan Tingkatan Satu.

Jadi kumpulan pertama dari sekolah rendah akan menduduki UPSR dengan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris pada tahun 2008 manakala kumpulan pertama sekolah menengah menduduki PMR dengan subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tahun 2005.

Kumpulan pertama di sekolah menengah itulah yang kini menghempas pula belajar bukan saja subjek Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tetapi juga subjek berkaitan seperti Matematik Tambahan, Fizik, Biologi dan Kimia.

Berdasarkan artikel, surat pembaca dan laporan akhbar, sejumlah orang yang tidak peka tentang perkara ini turut mengulas isu Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris ini.

Contohnya pada 24 November, dalam sepucuk surat pembaca dalam Berita Harian dengan tajuk 'Usah pertikai kepentingan bahasa Inggeris', penulisnya antara mencatatkan: "Walaupun penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik kini hangat diperkatakan, ia lebih menjurus kepada kemerosotan mata pelajaran berkenaan dan pencapaian murid yang menduduki UPSR tahun ini."

SMI bermula dengan murid Tahun Dua, Tingkatan Dua?

Rencana tulisan Ku Seman Ku Hussain dalam Mingguan Malaysia pada 12 November 2006 dengan tajuk 'Jangan separuh jalan' lebih teruk apabila beliau antara lain menulis: "Dasar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (SMI) diperkenalkan tahun 2003, bermula dengan murid tahun dua bagi sekolah rendah serta tingkatan dua dan enam bagi sekolah menengah dan matrikulasi."

Bagaimana Ku Seman mendapat maklumat ini tidaklah diketahui. Hakikatnya SMI bermula pada tahun 2003 membabitkan murid-murid Tahun Satu dan Tingkatan Satu. Kalau fakta yang penting ini pun salah, bagaimana Ku Seman dapat berhujah dengan meyakinkan dalam rencananya itu.

Pada 'intro'nya beliau menulis: "Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan dasar pengajaran SMI dikekal seperti dirancang. Eloklah selepas tidak ada pihak yang cuba membangkitkan isu dasar SMI yang pernah dipersetujui sebelum ini.

Persoalannya siapa persetujui perkara ini? Seperti dinyatakan sebelum ini, ia adalah idea perdana menteri yang kini tidak lagi berkuasa. Banyak pihak menentangnya tetapi kebanyakannya tidak disiarkan akhbar berbahasa Melayu. Yang disiarkan ialah persetujuan pak turut dan kaki ampu pemimpin politik Umno, yang kini mulai sedar seperti yang dibuktikan melalui resolusi Umno Johor.

Berbanding rencana dan surat pembaca yang kurang kritis yang disiarkan akhbar berbahasa Melayu, pandangan pembaca bukan Melayu dalam akhbar bahasa Inggeris lebih rasional dan kritis.

Kajian Unesco

Dalam surat kepada pengarang di akhbar the Star, bertarikh 14 November 2006, penulisnya K Arumugam dari Petaling Jaya antara lain menulis: "After three years of implementation, questions are being raised if the language switch has been effective. There are now calls for the move to be reviewed.

"Everyone is free to discuss the issue. But one must comment with honesty and substantiate any argument with some base findings.

"WE ARE TALKING ABOUT OUR CHILDREN AND THE FUTURE GENERATIONS OF OUR COUNTRY. IT IS CERTAINLY NOT AN ARENA FOR POLITICAL MILEAGE AND PATRONAGE.

"Three years is too short to determine the full impact of the switch in primary schools. On the other hand, if we wait to realize the full impact of the move, it may be too late to remedy the situation.

"It will be a sad case of missed opportunities and a costly waste in HUMAN CAPITAL (modal insan?) and material. Unesco's findings include a comprehensive research review carried out for the World Bank in 1997.

"The most important conclusion drawn from this research says: "...when learning is a goal, including that of learning a second language, the child's first language (i.e. his or her mother tongue) should be used as the medium of instruction in the early years of schooling.

"The first language is essential for the initial teaching of reading, and for comprehension of subject matter. It is the necessary foundation for the cognitive development upon which acquisition of the second language is based.

"Unesco quotes from 'Education for All: Policy Lessons From High-Achieving Countries (Staff Working Papers, New York, Unicef': "In a situation where the parents are illiterate...if the medium of instruction in school is a language that is not spoken at home the problems of learning in the environment characterized by poverty are compounded, and the chances of drop-out increase correspondingly."

Penulis K Arumugam mengemukakan hujahnya berdasarkan kajian Unesco, tetapi adalah amat malang sekali pemimpin negara dan kuncu-kuncunya termasuk penulis Melayu membuat sesuatu tindakan tanpa sebarang kajian. Selepas itu ia disokong bulat-bulat tanpa sebarang rujukan.

Kementerian Pelajaran melalui Menterinya, Hishammuddin Hussein selepas diasak oleh cendekiawan Melayu dan Umno Johor, berkata dasar SMI mungkin akan dikaji selepas kumpulan pertama pelajar UPSR menduduki peperiksaan itu pada 2008.

Tahun 2008? Ohh, tidak tahulah penulis betapa lambatnya Melayu bertindak. Jika prestasi bagus, dasar akan diteruskan; jika tidak, akan berpatah balik? Ohh, alangkah malangnya Melayu, hasil kajian Unesco sudah ada di depan mata tidak dipedulikan tetapi pemimpin Melayu bertindak berdasarkan rasa syok sendiri.

Kepilan artikel sebelum ini

Kembalikan penggunaan bahasa Melayu dalam Sains, Matematik

Sebagai seorang bapa yang mempunyai beberapa anak di sekolah rendah dan menengah, penulis begitu prihatin dengan prestasi mereka terutama apabila mata pelajaran Sains dan Matematik mula diajar dalam bahasa Inggeris mulai tahun 2003.

Ketika cuti raya baru-baru ini penulis berpeluang berinteraksi dengan sejumlah guru yang terbabit dalam pengajaran subjek berkenaan dan cabangnya seperti Biologi, Kimia, Fizik dan Matematik Tambahan.

Seorang guru Biologi memberitahu daripada tujuh kelas Tingkatan Empat di sekolahnya, hanya sebuah kelas saja yang murid-muridnya berupaya menjawab kertas ujian Biologi dan Sains dalam bahasa Inggeris. Kelas ini menempatkan pelajar-pelajar terbaik. Enam lagi kelas, pelajarnya tidak dapat menjawab langsung.

Ertinya, yang boleh menjawab hanya 1/7 iaitu kurang 15 peratus. Itu yang boleh menjawab, belum lagi yang 'pass' kertas itu. Demikian betapa buruknya senario yang melanda dunia persekolahan anak-anak masa kini.

Seorang guru lain memberitahu, seorang guru Matematik sekolahnya tergigil-gigil dan menjadi kaku, tidak dapat berkata apa-apa ketika mengajar apabila menyedari sekumpulan pemerhati daripada jabatan pendidikan negeri sedang memantau kelasnya.

Akibatnya dia terpaksa dikaunseling dan dihantar berkursus untuk 'menajamkan' lagi bahasa Inggerisnya yang lintang pukang. Jika guru tidak mahir dalam bahasa Inggeris, bagaimana dia mahu mengajar anak muridnya dengan berkesan.

Seorang lagi guru memberitahu, kebanyakan pelajar yang menduduki peperiksaan awam seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR), memilih menjawab menggunakan bahasa Melayu dalam subjek Sains dan Matematik.

Ketika ini kertas peperiksaan masih menggunakan dwi-bahasa (Inggeris dan Melayu) sebelum bahasa Melayu 'dihapuskan sepenuhnya' dalam tempoh beberapa tahun lagi. Beliau berkata sekalipun menghadapi masalah istilah dan terma (di sekolah subjek berkenaan diajar dalam bahasa Inggeris), kebanyakan pelajar tidak peduli, mereka 'pakai hentam saja', asalkan boleh jawab soalan menggunakan bahasa Melayu.

Masalah guru dan murid-murid yang 'merana' akibat pembelajaran subjek Sains dan Matematik semakin kronik, tetapi anehnya pegawai dan orang politik terus menghebahkan bahawa rancangan Dr Mahathir Mohamad itu mendapat kejayaan cemerlang, gemilang dan terbilang. Apa yang cemerlang itu tidak tahulah, tetapi yang jelas anak-anak Melayu semakin ramai menuju 'ke longkang'.

Apa tidaknya, kata guru Biologi tadi, apabila murid-murid tidak memahami apa yang diajar, mereka jadi bosan. Mereka tidak ada minat untuk belajar dan bagi menghabiskan masa di sekolah, mereka terbabit dalam gejala kurang sihat seperti menjadi samseng, kaki pukul, kaki buli, mat rempit dan kaki rokok.

Beliau terlalu bimbang anak-anak Melayu sekarang semakin parah. Beliau ketawa apabila diberitahu bahawa Timbalan Menteri Pelajaran, Noh Omar, mencadangkan pihak sekolah mendenda, menggantung persekolahan atau membuang pelajar-pelajar yang terbabit dalam aktiviti mat rempit.

Katanya, budak-budak sekarang ini lebih suka jika pihak sekolah menggantung atau membuang mereka daripada sekolah. Perkara ini ketara di kalangan pelajar Tingkatan Tiga, Lima dan Enam Atas.

Selepas mereka mendaftarkan diri untuk menggambil peperiksaan PMR, SPM atau STPM, mereka masih boleh menduduki peperiksaan berkenaan sebagai calon sekolah sekalipun mereka telah digantung persekolahan.

"Akibatnya," kata guru berkenaan, "pada hari peperiksaan, akan muncullah calon-calon yang berpakaian tidak senonoh, berambut panjang dan penampilan yang teruk, duduk di kerusi sebagai calon."

Katanya, jika tidak digantung pun, ramai pelajar tidak lagi hadir ke sekolah terutama pada penghujung tahun ini. Pelik tetapi benar kerana ada yang sudah bekerja, ada yang 'sekejap ada, sekejap tiada', ada yang jika datang ke sekolah pun hanya menyakitkan hati guru dengan mempamerkan gelagat samseng mereka.

Sementara itu, seorang bapa yang ditanya melahirkan rasa kecewanya, kerana anaknya yang kini bersekolah di sebuah sekolah yang kerap melahirkan bilangan ramai pelajar UPSR yang cemerlang sudah mula tidak terbawa subjek Matematik dan Sains.

Menurutnya, sebelum ini anaknya dalam kelas-kelas persendirian, tuisyen serta latih tubi yang diberikan dapat menjawab soalan-soalan subjek berkenaan dengan cemerlang, tetapi apabila dihadapkan dengan versi alih bahasa, semua soalan berkenaan tidak dapat difahaminya.

"Bukan dia tak tahu nak jawab, cuma bahasa dan istilah yang menjadi penghalang. Guru pula kerap mengajar dalam dalam bahasa Melayu dan pihak sekolah tidak mahu mengadakan sebarang kelas tambahan terutamanya dalam meningkatkan mutu penguasaan bahasa Inggeris para pelajar.

"Itu kelas pertama, kelas yang diletakkan harapan oleh sekolah, murid-murid yang memang telah dipilih, macamana pula dengan nasib rakan-rakannya di kelas-kelas yang lain,"jelasnya panjang lebar sambil melahirkan kebimbangan dengan situasi yang berlaku.

Guru-guru ini berharap Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi dapat berbuat sesuatu dengan segera bagi menyelamatkan generasi muda, terutama anak-anak Melayu yang hanyut selepas tidak dapat menguasai pembelajaran di sekolah disebabkan penggunaan bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik.

Kata mereka, jika Abdullah 'berani' menyanggah sesetengah tindakan Mahathir, tidak ada sebab beliau tidak dapat berbuat perkara yang sama mengenai bahasa dalam dunia pendidikan, apatah lagi hampir semua pihak termasuk cendekiawan tidak menyetujui langkah drastik penggunaan bahasa Inggeris yang dipaksakan oleh bekas Perdana Menteri itu.

Mahathir sebelum melaksanakan rancangan 'syok sendiri'nya itu tidak pun mengarahkan pakar membuat kajian impirikal, cuma berdasarkan pandangannya mengenai kepentingan penguasaan bahasa Inggeris.

Selain guru, ibu bapa juga berpendapat, Abdullah perlu bertindak segera kerana jika hal ini dibiarkan berlarutan, semakin hanyut dan rugilah anak-anak Melayu. Tidak ada sebab untuk tidak kembali ke pangkal jalan.

Kata mereka, jangan biarkan ego menguasai diri sedangkan anak-anak Melayu semakin tersisih dan tidak mendapat tempat di negara sendiri. Apakah pemimpin Melayu mahu semakin ramai anak-anak Melayu menjadi mat rempit, mat 'fit', mat 'stone' serta kaki buli, kaki botol, kaki ganja dan macam-macam kaki lagi disebabkan mereka tidak berminat dan bosan untuk ke sekolah? tanya mereka.

RM38,000 hangus jika merokok 20 tahun!

Ramadan adalah saat terbaik untuk memulakan jihad berhenti merokok. Ikuti pengalaman penulis. Dulu penulis seorang perokok. Sekarang, alhamdulillah tidak lagi. Sudah lebih enam tahun penulis meninggalkan tabiat berkenaan yang bermula sejak di bangku sekolah lagi.

Ketika rakyat kecoh dengan kenaikan harga minyak, barang-barang dan perkhidmatan sekarang ini, penulis terpanggil untuk menulis mengenai bahana merokok dan faedah diperolehi jika tabiat itu dikikis.

Sebagai langkah menyahut seruan kerajaan untuk berjimat-cermat, rakyat boleh mengunjungi klinik kerajaan dan mengurangkan lawatan ke klinik swasta. Baru-baru ini penulis turut 'mengubah selera' untuk mendapatkan rawatan di sebuah klinik komuniti.

Sebenarnya sudah lama penulis tidak mengunjungi klinik kerajaan. Ini kerana pengalaman mengingatkan untuk mendapatkan perkhidmatan di situ memerlukan kesabaran tinggi - seseorang itu perlu menunggu untuk mendaftar, mendapatkan nombor giliran, berjumpa doktor dan mendapatkan ubat.

Penulis akur menjalani pemeriksaan di klinik komuniti (kerajaan) itu kerana kesakitan penulis agak serius. Berlainan daripada sangkaan, perkhidmatan di klinik kerajaan sekarang memuaskan dan penulis dapat menyelesaikan urusan dalam masa dua jam.

Selain layanan baik, penulis juga gembira kerana caj yang dikenakan hanya RM1.00! Seperti harapan rakyat kebanyakan, penulis berdoa agar kadar ini dapat diteruskan pada ketika orang ramai mengeluh dengan kenaikan harga minyak, sekali gus membawa kepada peningkatkan kos sara hidup.

Ketika kunjungan itu, penulis sempat 'meronda-ronda' dan membaca poster di papan kenyataan bagi mengisi masa menunggu.

Poster-poster kempen anti merokok menarik perhatian penulis. Sebuah poster menyatakan: "Seorang perokok selama 20 tahun, jika menghisap 20 batang sehari, telah membelanjakan tidak kurang AS$10,000 (kira-kira RM38,000) untuk menampung tabiatnya selama itu."

Sambil membaca fakta-fakta lain dalam poster itu, penulis rasakan 'pendedahan' itu seolah-olah 'menyindir' diri sendiri - kerana penulis juga telah menghisap rokok selama 20 tahun sehinggalah berusia 40 tahun beberapa tahun lalu.

Penulis berhenti merokok kerana 'terpaksa' selepas mengalami batuk dan demam dan sakit kepala teruk, beberapa bulan sebelum menunaikan haji pada tahun 2002.

Di Tanah Suci, hidup penulis 'bebas rokok' selama lebih sebulan, dan alhamdulillah, selepas kembali ke tanah air, berjaya pula melepaskan diri daripada 'cengkaman tabiat buruk' itu sampai sekarang.

Kini, ketika 'menghadap' poster itu, ia seolah-olah 'menelanjangi' diri sendiri akibat daripada amalan tidak baik dulu. Antara lain tertulis: "Terdapat lebih 4,000 bahan kimia dalam rokok. Ia memberi kesan kepada anggota tubuh, antaranya, rambut, otak, kulit dan gigi.

Kesan pada rambut, ia cepat beruban, kesan pada otak boleh menyebabkan angin ahmar, kesan pada kulit ia cepat berkedut dan gigi pula akan menjadi kuning dan busuk.

Waduh, waduh, penulis menjadi takut dan tidak meneruskan pembacaan mengenai kesan merokok ke atas jantung, perut dan organ penting lain tetapi melirik kepada satu lagi poster yang menyatakan terdapat lapan jenis racun dalam asap rokok.

Racun itu adalah aceton (digunakan sebagai penanggal cat), toluidine (pelarut industri), ammonia (pencuci lantai), methanol (bahan api roket), naphthalene (ubat gegat), DDT (ubat pembunuh serangga), butane (minyak pemetik api) dan hydrogen cyanide (gas yang digunakan untuk hukuman bunuh).

Waduh, waduh, waduh, penulis menjadi seram sejuk, lantas melirik ke arah sebuah lagi poster yang menyatakan bahawa merokok itu hukumnya HARAM.

Antara lain poster itu memetik maksud ayat al-Quran dan diberi keterangan di bawahnya. Maksud ayat 195 surah Al-Baqarah berbunyi: "Dan belanjalah pada jalan Allah, dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah, sesungguhnya Allah sangat suka kepada mereka yang melakukan kebaikan."

Keterangan di bawahnya berbunyi: "Kajian saintifik di seluruh dunia membuktikan bahawa merokok menyebabkan sekurang-kurangnya 25 jenis penyakit yang teruk yang boleh membawa maut. Asap rokok juga boleh mendatangkan kesan buruk kepada ahli keluarga, terutamanya kanak-kanak."

Kemudian dipetik lagi ayat al-Quran yang bermaksud: "Dan berilah jiran kamu haknya dan orang miskin dan orang yang berjuang di jalan Allah, dan janganlah kamu melakukan pembaziran. Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan." (Al-Isra' 26-27).

Satu lagi petikan ayat al-Quran disertakan. Maksudnya; "Mereka menyuruh dengan kebaikan dan menegah daripada kemungkaran, dan Dia (Allah) telah menghalalkan bagi kamu segala yang baik-baik dan mengharamkan ke atas kamu segala yang jijik dan kotor." (Al-A'araf: 157).

Ketika penulis sibuk membaca dan menyalin fakta poster berkenaan, seorang lelaki Tionghua menegur dan bertanya sama ada penulis seorang guru. Katanya, dia sudah lama memerhatikan gelagat penulis dan percaya penulis menyalin fakta berkenaan untuk disampaikan kepada anak-anak murid.

C K Loh, seorang pengusaha tadika dan pusat tuisyen berpendapat bahan-bahan berkenaan amat sesuai untuk disampaikan kepada pelajar sekolah bagi mencegah mereka daripada tabiat buruk itu.

Apabila penulis memberitahunya saya seorang penulis yang dapat menyampaikan mesej kepada khalayak lebih besar, dia kelihatan begitu tertarik dan menyanjung usaha berkenaan.

Katanya, sebagai guru dia mempunyai cara dan kaedah untuk menyampaikan sesuatu maklumat itu kepada pelajar-pelajarnya. Mungkin ada persamaan antara tugas seorang guru dan seorang penulis - kedua-duanya mendidik manusia tetapi melalui cara masing-masing.

Ketika pulang dari klinik, penulis teringat beberapa artikel mengenai kaedah berhenti merokok. Antaranya seseorang perokok itu perlu mempunyai keazaman kuat.

Bagi orang Islam mereka wajar merenung-renung mengapa mereka boleh tidak merokok sepanjang waktu berpuasa pada bulan Ramadan dan ketika menunaikan ibadat haji, ramai perokok boleh menahan keinginan itu di Tanah Suci.

Beberapa teman haji penulis di Tanah Suci berjaya mengawal tabiat itu. Kebanyakannya berazam untuk terus tidak merokok sekembali ke tanah air. Penulis berpendapat, adalah wajar untuk seseorang bergelar haji bebas daripada cengkaman rokok.

Selain menjaga kesihatan diri, seseorang insan bergelar haji itu akan menjadi contoh dan ikutan kaum kerabat serta anggota masyarakat.

Kepada rakyat umum, sedarilah betapa besar faedah untuk anda berhenti merokok mulai sekarang. Mungkin dengan langkah itu, siapa tahu 20 tahun lagi anda mampu membeli sebuah banglo hasil daripada penjimatan anda tidak merokok selama tempoh itu!

Tuesday, September 16, 2008

Perjuangan secara AMAN pilihan Anwar

Pada ketika Anwar Ibrahim berusaha mendapat kuasa, disiarkan kembali rakaman peristiwa beliau kembali ke pangkuan keluarga dan rakyat pada 31 Oktober 2004 selepas kembali dari Makkah dan Jerman.

Ketika itu kira-kira 10.15 pagi. Kereta Kancil kegunaan pemberita Harakahdaily yang dipandu jurugambar Wan Zahari Salleh 'merempuh masuk' ke kawasan perkuburan Bukit Kiara daripada arah bertentangan (no entry).

Kerana sudah terlambat mendapat maklumat (kunjungan Dato' Seri Anwar Ibrahim) ke pusara ibunya di Bukit Kiara dalam perjalanan pulang dari KLIA ke rumahnya di Bukit Damansara, wakil Harakahdaily terpaksa memandu secara tergesa-gesa untuk tiba di perkuburan.

Sebalik saja meletakkan kereta di sisi jalan kecil di sisi perkuburan, daripada arah bertentangan muncul sebuah MPV putih. Apabila kenderaan berkenaan berhenti, muncul Dato' Seri Anwar Ibrahim yang terus berjalan dan duduk berteleku di pusara ibunya. Anwar kelihatan membaca sesuatu.

Kemudian Anwar disertai oleh anak-anak gadisnya. Daripada arah belakang muncul bekas Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Ustaz Ahmad Awang yang kemudian mengambil kedudukan di sisi Anwar.

Ustaz Ahmad Awang yang kini Pesuruhjaya PAS Perak kemudian mengetuai bacaan doa dan diaminkan hadirin di perkuburan berkenaan. Pada mulanya hadirin tidak ramai tetapi dalam sekelip mata kawasan itu sudah sesak dengan dianggarkan 100 orang berada di perkuburan itu.

Turut kelihatan Naib Presiden PAS, Dato' Hasan Ali yang selepas bacaan doa, bersalaman dan berpeluk-pelukan dengan Anwar. AJK PAS Pusat, Dr Hatta Ramli juga kelihatan di sisi pusara.

Sebelum Anwar memasuki kenderaannya, penulis sempat bersalaman dan mengucapkan selamat kembali ke tanah air kepadanya. Tangan beliau lembut dan kesediaan beliau menyalami hadirin di kiri kanan laluannya membuktikan Anwar kini tiada beza dengan Anwar dulu.

Selepas berdoa, Anwar memusingkan badan dan menghadap pusara abangnya, Mohd Rohani Ibrahim yang meninggal dunia pada tahun 1999. Anwar kelihatan membaca sesuatu dan kemudian beredar ke kenderaannya.

Apabila berada dalam kenderaan yang dibuka cermin sisinya, Anwar sekali lagi bersalaman dengan hadirin yang mengucapkan selamat pulang kepadanya.

Selepas berada di kawasan perkuburan kira-kira 15 minit, Anwar dan rombongan kemudian bertolak ke rumahnya, di Bukit Damansara. Di lebuh raya, kenderaan berbondong-bondong mengikuti kenderaan Anwar. Ada yang mengibarkan bendera KeADILan, bendera Malaysia dan juga bendera PAS.

Ada yang membawa kain rentang dan sepanduk berbunyi: "Selamat Pulang Anwar Ibrahim, Wira Rakyat'.

Kira-kira jam 11 pagi, di pekarangan rumahnya, Anwar disambut dengan tarian singa, bunyi-bunyian gong dan gendang. Keadaan amat sesak. Sukar untuk penulis memasuki pekarangan rumah berkenaan. Tetapi apabila berada di dalam, keadaan amat terkawal dengan khemah dan kerusi disediakan. Kebanyakan kerusi sudah diduduki, sebahagian besarnya wanita. Mungkin mereka sudah bersedia lebih awal untuk menyambut Anwar.

Apabila baru bertemu, tentulah ada yang tidak sabar untuk bersalaman dengan Anwar. Ada juga yang tidak puas-puas hati melihat wajah Anwar sehingga timbullah jeritan yang menyuruh orang di depan, terutama jurugambar supaya duduk.

Sesi ucapan dimulakan Pengerusi DAP, Karpal Singh. Beliau berkata kepulangan Anwar amat dinanti-nantikan bagi mengembalikan keadilan di negara itu. Apabila beliau menyebut nama Mahathir Mohamad, Samy Vellu dan Rafidah Aziz orang ramai bersorak.

Katanya, beliau baru menghabiskan satu bulan daripada enam bulan masa penggantungannya daripada tugasnya sebagai ahli Parlimen tetapi Anwar sudah menghabiskan masa enam tahun dalam penjara.

Beliau berharap Anwar akan kembali ke Parlimen dan "marilah kita bersama-sama mengembalikan keadilan dan demokrasi di negara ini."

Kemudian tampil pula bekas Ketua Pemuda PAS, Haji Mahfuz Omar. Beliau berkata kepulangan Anwar akan menyemarakkan umat dan rakyat bagi menegakkan keadilan.

Dr Hasan Ali pula muncul dengan berkata kepala gelombang reformasi sudah kembali dan sudah tibalah masanya untuk membersihkan ketidakadilan yang menimpa rakyat.

Beliau meminta supaya Anwar dapat bersama-sama mengetuai gerakan mewujudkan masyarakat madani seperti yang diidam-idamkannya.

Berikut muncul pula Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan dalam suara lantang berkata masanya sudah tiba untuk menghapuskan amalan rasuah. Demikian juga sesuatu perlu dilakukan bagi memperbaiki pembahagian ekonomi negara yang dibuat secara tidak adil.

Presiden KeADILan yang juga isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak berupaya bercakap panjang, mungkin terlalu letih dan gembira kerana suami tersayang sudah berada di rumah keluarga.

Tetapi kata-katanya; "Kemenangan (petisyen) Permatang Pauh tidaklah segembira saya hari ini" mencuit perasaan lebih 2,000 hadirin yang kemudian bersorak, mungkin turut berkongsi kegembiraan si isteri yang kini berada di sisi suami.

Apabila tiba giliran Anwar, beliau membuktikan karismenya apabila berjaya meminta jurugambar yang menggelingginya supaya duduk agar 'kakak-kakak dan mak cik-mak cik' di belakang dapat melihat sama'.

Anwar yang tidak berhenti-henti mengucapkan terima kasih kepada supaya pihak yang mendoakan beliau, berkata beliau turut berdoa untuk kesejahteraan dan keselamatan mereka di depan Kaabah.

Dalam ucapannya yang simbolik dengan pelbagai ungkapan bernas itu, Anwar antara lain mengingatkan bahawa umat kini mereka berada dalam bulan Ramadan yang diibaratkan sebuah madrasah untuk membaiki diri.

Katanya, apakah ertinya berpuasa dalam bulan Ramadan itu jika ada yang masih senang dengan kezaliman, bersengkokol dengan golongan penindas manakala 'culture of fear' (budaya ugut, gertak) diamalkan bagi menanamkan rasa curiga mencurigai di kalangan rakyat pelbagai bangsa.

Beliau berkata pembebasannya bermakna permulaan kepada babak baru dalam membela nasib rakyat semua kaum di negara ini. Untuk itu, katanya, beliau akan berjumpa rakyat dan juga Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi dalam masa terdekat ini.

Ketika Anwar berucap, penyokongnya menjunjung sekotak besar berisi jambangan bunga untuk disampaikan kepada Anwar dan sempat juga bekas Perdana Menteri itu berlawak - mereka membawa bunga dan bukannya peluru, jadi tidak ada apa yang hendak ditakutkan.

Katanya, perjuangan beliau dan rakyat adalah secara AMAN dan itulah yang akan diperjuangkan oleh beliau, parti politik sealiran dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mencorak landskap baru politik Malaysia!

Insya-Allah, perjuangan Anwar, parti serta gerakan lain yang menyokongnya akan berhasil berdasarkan sambutan dan pergorbanan rakyat seperti ditunjukkan dalam menyambut kepulangan wira berkenaan.

Contohnya, rakyat marhain, Lim Chua, 34; Foo Meng Khoo, 40, dan Lim King Joo, 28, bersama kira-kira 30 orang lagi dari Kampung Asahan, Nyalas, Melaka sanggup menyewa sebuah bas dan bertolak sebelum subuh tadi untuk menyambut Anwar.

Kepada mereka, Anwar adalah WIRA RAKYAT yang akan memperjuangkan nasib rakyat semua golongan. Oleh itu, kepada Anwar dan pemimpin pembaharuan lain, usah dihampakan harapan rakyat marhain seperti Lim Chua, Meng Khoo dan King Joo!

Kita serupa...

Dua puluh lima tahun lalu, ketika saya seorang wartawan pelatih di unit ekonomi sebuah akhbar harian, pengarangnya, seorang lelaki Tionghua, mengarahkan saya mewawancara sekumpulan pelabur British yang baru sampai di negara ini.

Melihat saya ragu-ragu, beliau berkata lebih kurang begini: "Kenapa kau? Kau takut? Hoi kawan, 'mat saleh' ini manusia jugak. Tidak ada beza dengan kau. 'Mat saleh' dengan kita, sama saja. Kau berakkan tahi, 'mat saleh' pun berak tahi. Depa tak berak emas! Usah takutlah. 'Go, go'!"

Demikianlah, sebagai seorang Melayu, juga anak Timur yang sering kali dikaitkan dengan sifat lemah-lembut (berhati kecil?) dan kerap memandang hebat bangsa dari Barat, secara jujur diakui perasaan gentar berhadapan dengan orang Barat (dan juga orang besar) sentiasa bersarang di hati.

Saya percaya perasaan ini bukan saja bermain di hati saya seorang tetapi juga pada sebahagian besar penduduk rantau sebelah Timur. Apa saja didatangkan dari Barat dianggap hebat manakala pencapaian bangsa dan negara sendiri diperlekeh.

Tidak cukup dengan itu, ada saja yang datang dari Timur dianggap 'koman' dan tidak diguna pakai.

Anggapan kononnya Barat itu hebat adalah warisan peninggalan penjajah yang berjaya dikurangkan oleh Jepun yang pada awal abad lalu berjaya menewaskan kuasa besar dunia (Amerika dan Soviet Union) dalam beberapa pertempuran. Ia membawa kebangkitan rakyat di negara-negara terjajah, menyebabkan kebanyakannya mencapai kemerdekaan pada tahun 1940-an dan 50-an.

Pada era mutakhir ini, kuasa Barat terutama Amerika Syarikat menampilkan kehebatannya dan hal ini tidak berani disanggah oleh mana-mana pihak. Amerikalah menjadi paksi dunia dengan semua negara, tidak kira kecil atau besar tunduk padanya.

Presiden Amerika bagaikan Presiden dunia dan tindakannya dilihat sebagai untuk mempertahan atau menyelamatkan dunia daripada segala ancaman termasuk daripada pihak digelar pengganas dan juga oleh makhluk jahat dari angkasa lepas.

Disebabkan pengguasaan Amerika ke atas media massa, maka tersebarlah kehebatan watak-watak ini di seluruh dunia menyebabkan penduduk bumi kagum, terpesona dan tunduk kepada bangsa Amerika dan negara Barat lain yang difikirkan mereka begitu hebat sekali.

Kehebatan Amerika benar-benar ditunjukkan kepada seluruh penduduk dunia dalam episodnya menghancurkan Afghanistan dan Iraq dengan senjata-senjata terkini yang sudah pasti di luar jangkauan negara lain untuk memilikinya.

Demikianlah betapa hebatnya Amerika dari sudut pandangan penduduk dunia, apatah lagi di negara-negara Dunia Ketiga. Semua perkara termasuk dari segi agama perlu mendapat 'kelulusan' (approval) daripada Presiden di Washington.

Amerika juga boleh menamakan negara Islam contoh, negara Islam radikal, negara Islam sederhana malah ia boleh menentukan apa yang boleh dan tidak boleh dipelajari di Al-Azhar dan institusi Islam lain termasuk madrasah di seluruh dunia.

Pembunuhan ratusan ribu rakyat Afghanistan dan Iraq sama ada melalui serangan udara atau kesan daripada peperangan, seolah-olah mahu menunjukkan bahawa nilai nyawa orang awam bukan Amerika adalah murah sekali sedangkan jika rakyat Amerika 'diusik' (seperti serangan ke atas WTC di New York yang menyebabkan lebih 2,700 warganya terbunuh), Presidennya akan menuntut bela, memburu pihak disyaki seperti Osama ben Laden sampai ke lubang cacing.

Berdasarkan ini, bolehlah diandaikan rakyat Amerika 'berdarah biru' sedangkan darah merah penduduk yang kerap mengalir di bumi Palestin, Iraq, Afghanistan, Kashmir, Selatan Thai, Selatan Filipina, Bosnia, Chechnya tidak ada nilai langsung.

Amerika terus dengan keangkuhannya manakala penduduk dunia memandangnya dengan penuh rasa takjub sehinggalah mereka dikejutkan dengan bahana Taufan Katrina yang meranapkan New Orleans di Louisiana baru-baru ini.

Berdasarkan laporan betapa seriusnya masalah di New Orleans seperti pengabaian dan kelewatan bantuan yang menunjukkan keadaan di sana sama saja seperti di Dunia Ketiga (ada laporan menyebut 10,000 penduduk New Orleans mati), tahulah dan sedarlah kita bahawa Amerika termasuk rakyatnya adalah sama seperti kita. Rupa-rupanya mereka tidaklah sehebat yang kita sangkakan.

Rupa-rupanya mereka manusia biasa juga, darah mereka pun merah. Penduduknya juga ada hati, ada perasaan. Mereka adalah manusia biasa. Jadi tidak benarlah gembar-gembur kehebatan Amerika yang dihebahkan di seluruh dunia. Kita tertanya-tanya mana dia Superman, mana dia Batman, mana dia Spiderman yang dapat membantu manusia yang sengsara.

Satu pertanyaan besar, mana dia Presiden yang melalui filem-filem Hollywood digambarkan sebagai penyelamat dunia? Hairan juga kita kerana angkara Taufan Katrina tidak dapat dikendalikannya bagaimana pula dia hendak menyelamatkan dunia daripada serangan makhluk angkasa lepas yang sering digambarkan dalam filem-filem Amerika.

Hakikatnya, rakyat Amerika dan penduduk negara Barat lain yang sesetengah daripada kita sanjung-sanjung itu ada sama dengan kita. Ertinya, manusia itu serupa. Tidak ada kelompok manusia lebih hebat daripada kelompok yang lain. Manusia saling perlu memerlukan antara satu sama lain untuk meneruskan kesinambungan hidup.

Sebagai contoh mudah, setiap apa yang didambakan manusia adalah hasil kerja orang lain. Nasi yang disuap adalah daripada hasil kerja petani, ikan yang disuap datangnya daripada nelayan manakala sayur-mayurnya diusahakan oleh si petani. Demikianlah manusia itu serupa saja dan pada perkiraan Allah SWT, manusia itu dinilai dari segi takwanya.

Rakyat Amerika perlu sedar jika pemerintah mereka dengan bongkaknya mengebom dunia dengan bom atom dan nuklear, dunia akan rosak dan akibatnya juga akan ditanggung oleh mereka. Tiada tempat di dunia akan selamat jika pemerintah zalim dibenarkan bertindak sesuka hatinya.

Bagi masyarakat kita pula, penyakit memandang hebat apa yang datang dari Barat sudah 'membarah' dalam kehidupan. Sebagai contoh, jika Presiden Amerika berkata kita adalah negara Islam contoh, kita bangga. Jika pihak berkuasa Amerika berkata mereka akan contohi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kita berasa bangga kononnya kuasa besar dunia pun mencontohi kita.

Demikian juga pandangan pakar-pakar Barat mengenai negara kita akan disanjung dan disiarkan secara besar-besaran dalam media massa. Jika seorang pakar Amerika berkata, ekonomi kita adalah yang terbaik di rantau Asia Pasifik, kita pun mendabik bangga.
Kebanggaan berdasarkan pujian orang Barat ini adalah bertepatan dengan istilah 'Third World mentality' (mentaliti Dunia Ketiga). Bagi mereka apa saja dari Barat adalah bagus.

Jika pemimpin bergantung kepada apa pandangan dunia Barat terhadap kita, janganlah hairan jika rakyat terus mengganggap apa saja yang datang dari Barat adalah yang terbaik.

Ini termasuklah program realiti TV, antaranya 'Mencari Cinta' yang popular dewasa ini. Hakikatnya ia amat bertentangan dengan budaya Melayu yang dibangga-banggakan itu apatah lagi jika diukur daripada perspektif Islam.

Monday, September 15, 2008

Puas sudah kutanam budi...

Puas sudah kutanam padi,
Lalang juga memenuhi ladang,
Puas sudah kutanam budi,
Emas juga dipandang orang.

Sebagai rakyat yang dilahirkan selepas merdeka, saya berpendapat adalah tidak tepat untuk saya menulis mengenai perbezaan kehidupan penduduk negara ini sebelum dan selepas merdeka.

Misalnya adalah sukar untuk menulis sama ada kehidupan rakyat bertambah baik atau semakin tersepit dalam sebuah negara merdeka kerana saya hanya berpengalaman merasai kehidupan zaman selepas merdeka dan bukan era sebelum itu.

Seorang dua orang lama (veteran) pernah menegur: "Kau mana tahu zaman pak cik dulu, pada zaman Jepun kita orang makan ubi kayu untuk hidup, sebelum merdeka kehidupan rakyat amat susah. Kau orang-orang muda ini mana tahu semua ini. Kau orang tahu senang saja dan sikit-sikit mahu 'protest' sebab kau orang hidup pada zaman senang. Kau mana tahu susah payah kami?."

Disebabkan tiada pengalaman hidup sebelum merdeka, saya akan menggunakan 'sumber kedua' (secondary sources). Di sini saya akan mencatat dan menyiarkan pengakuan serta pandangan beberapa orang yang hidup pada dua zaman itu dan berdasarkannya bolehlah pembaca membuat penilaian.

Sepucuk surat pembaca (Forum Pembaca) dalam akhbar Utusan Malaysia tidak lama dulu yang ditulis oleh seorang insan bernama Leftenan Kolonel (Bersara) Jalil Ithnin dengan tajuk 'Apa Erti Merdeka Kalau Ekonomi Masih Dijajah' menarik minat saya.

Antara lain bekas pegawai tentera ini mengkritik sambutan hari kebangsaan yang dihiasai dengan mencipta benda dan perkara membazirkan seperti kek dan bendera terpanjang, terbesar dan tertinggi dan kemudian menonjolkan personaliti (pejuang) kemerdekaan terutama orang politik yang bersifat retorik saja.

Satu persoalan besar yang dilontarkannya adalah - "Benarkah orang Melayu sudah merdeka?"

Bekas askar itu meneruskan dengan pertanyaan: "Apakah pengorbanan saya kepada negara dan rakan-rakan yang telah gugur bergelimpangan demi mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara ini berbaloi, jawapannya saya rasa TIDAK.

"Nama-nama pahlawan negara yang telah pergi kerana berjuang dan ada segelintir yang masih hidup terus lenyap. Lenyap ditelan masa dan dilupakan.

"Nama yang kerap diulang-ulang dan dikenang sepanjang zaman hanyalah politikus saja, yang dikenang digembar-gemburkan dan bermacam-macam lagi seolah-olah mereka inilah sajalah hero merdeka.

"Apakah erti merdeka kalau kita rakyat terbanyak masih ditekan, ditindih, dipinggir, dikesampingkan dan mereka mengaut segala-galanya. Ini menunjukkan kita kaum yang bodoh, lemah, tidak berkuasa...inilah realitinya."

Saya tidak akan mengulas apa yang diluahkan oleh bekas tentera ini tetapi sehingga kini masih tertanya-tanya mengapa setiap tahun diadakan 'Hari Rayuan Pahlawan' di mana tabung-tabung derma diedarkan, tidak bolehkah kerajaan memperuntukkan sebahagian daripada 'kekayaannya' untuk membantu 'pahlawan berjasa yang telah mengorbankan nyawa untuk tanah airnya'.

Tidakkah dengan merayu-rayu bantuan ini akan menjatuhkan maruah seseorang pahlawan atau keluarga mereka? Bukankah dengan jasa pahlawan-pahlawan inilah dapat diwujudkan suasa aman yang telah melahirkan 'tauke-tauke besar berperut gendut' dan 'politikus bilionaire' yang boleh berjudi dan rugi berjuta-juta ringgit di London atau membawa berpeti-peti wang ke Australia'?

Sementara itu, bagaimana dapat dikatakan jiwa kita merdeka apabila saban tahun pemimpin kita masih bertakfakur di Tugu Pahlawan, di depan patung kaku sedangkan perbuatan ia sudah difatwakan haram oleh mufti?

Demikian juga bagaimana kita boleh melupakan pahlawan kemerdekaan seperti Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Muhammad, Burhanuddin Al-Helmy dan Abu Bakar Baqir? Apakah perkembangan inu sama seperti pepatah; lembu punya susu, sapi dapat nama?

Seorang tuan guru veteran (beliau hidup pada zaman sebelum dan selepas merdeka) dalam sebuah kelas pengajian tafsir al-Quran di sebuah masjid kerajaan yang saya ikuti baru-baru ini juga menyatakan - "Kita belum merdeka sepenuhnya. Lihatlah pakaian, makanan dan cara hidup orang-orang kita, masih berkiblatkan Barat. Artis-artis disanjung manakala ulama diketepikan."

Tuan Guru ketika itu sedang mentafsirkan Ayat 26 Surah Fushshilat yang bermaksud: "Dan orang-orang kafir berkata: 'Janganlah kamu mendengar dengan sungguh-sungguh akan al-Quran ini dan buatlah hiruk-pikuk terhadapnya, supaya kamu dapat mengalahkan (mereka)."

Kata Tuan Guru inilah yang berlaku sekarang. Ketika ada majlis tilawah al-Quran berlangsung, ada satu lagi pihak buat majlis hiburan. Sekarang ini ada macam-macam pesta hiburan. Dalam seminggu, hampir setiap malam ada pesta hiburan Ada banyak anugerah untuk artis-artis. Pakaian artis-artis ini, terutama yang perempuan begitu teruk sekali. Inilah maksiat yang dihiruk-pikukkan bagi menenggelamkan ayat-ayat al-Quran dan perintah Allah.

Tuan Guru menyambung, "Saya kasihan tengok Pak Lah (PM Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi), dia bekejar ke sana sini untuk menaikkan ekonomi negara. Sehari ke Arab Saudi, kemudian ke Brunei, isterinya (dulu, kini Allahyarham) pula sakit di Amerika. Dia memang penat, kita dah umur 60-an, 70-an ini memang cepat penat.

"Tapi kerja keras dan penat lelah Pak Lah dalam suasana maksiat semakin menjadi-jadi dalam negara, keberkatan (barakah) hidup ditarik satu persatu. Salah satunya harga minyak dah naik, harga barang-barang pun dah naik, harga tol dah naik. Ni kita nak sambut Ramadan dan Raya, harga barang-barang nak naik lagi."

Tuan Guru seterusnya menyambung tafsiran termasuk ayat ke-29 yang bermaksud: "Dan orang-orang kafir berkata; 'Ya Tuhan kami perlihatkanlah kepada kami dua jenis orang yang telah menyesatkan kami (yaitu) sebahagian dari jin dan manusia agar kami letakkan keduanya di bawah telapak kaki kami supaya kedua jenis itu menjadi orang-orang yang hina'."

Tuan Guru berkata itulah manusia. Peluang yang ada di dunia disia-siakan, dalam neraka baru hendak menyesal dan hendak bertindak ke atas pihak yang telah menyesatkan mereka. Semuanya sudah terlambat, penyesalan tidak berguna lagi. Tidak ada peluang lagi kalau sudah masuk neraka.

Katanya, sekaranglah (masa hidup ini) kita perlu gunakan untuk komen, kritik dan lawan orang yang mahu menyesatkan hidup kita ini. Kita lawan orang yang hendak menyelewengkan diri kita. Kita lawan orang yang nak sesatkan kita dengan cara hidup penuh maksiat pada hari ini. Kalau tak betul, kita cakap tak betul. Usah tunggu akhirat nanti baru nak menyesal.

Demikianlah pengakuan seorang bekas tentera dan tuan guru yang hidup pada zaman pra dan pasca merdeka yang menyatakan kemerdekaan ini tiada ertinya jika rakyat masih terbelenggu dan terjajah pemikiran mereka. Kesimpulannya berdasarkan apa yang mereka luahkan, benar pada zahirnya kita sudah merdeka, tetapi dari segi jiwa dan pengisiannya tidak.

Selepas meninjau pendapat dua orang lama, sekarang marilah kita melihat perkembangan semasa untuk disesuaikan dengan pantun - sudah puas kutanam padi, lalang juga memenuhi ladang, sudah puas kutanam budi, emas juga dipandang orang.

Yang pertama yang hendak dibicarakan di sini ialah jasa ulama (termasuk guru). Sudah puas ulama menanam budi, mereka bercakap di pelbagai pentas daripada masjid berpermaidani tebal dan indah, ke bilik-bilik kuliah, seminar dan darjah ke lorong-lorong gelap, tetapi emas juga dipandang orang.

Kegemerlapan pentas hiburan juga dipandang orang. Pentas 'Sureheboh', 'Anugerah Skrin', 'Akademi Fantasia', 'Malaysian Idol' dan sebagainya menjadi sanjungan manakala artis dan pengacara seksi 'diburu untuk dijadikan isteri' termasuk oleh menteri manakala ulama semakin lama semakin disisihkan.

Yang kedua jasa ibu bapa. Mereka membesar dan mendidik anak-anak tetapi sebagai balasannya, anak-anak zaman sekarang sukar mendengar cakap. Dalam usia muda belia yang selayaknya berada di bangku sekolah, mereka sudah terkinja-kinja di pentas hiburan - Mentor, Malaysian Idol, Sureheboh dan Akademi Fantasia. Budi yang ibu bapa tanam, emas juga dipandang anak-anak.

Jasa pihak ketiga...keempat...kelima dan seterusnya juga banyak. Mereka termasuklah wartawan, penulis, ahli seni, jurugambar dan pengkritik yang menentang amalan 'jahiliah' dalam dunia penulisan dan media massa.

Penegak 'jahiliah' dunia persuratkhabaran dan karyawan TV misalnya semakin galak menyiarkan gambar, terutama artis wanita yang tidak senonoh. Mereka juga mengetengahkan amalan yang tidak berlandaskan agama.

Misalnya, dalam Anugerah Skrin TV3 baru-baru ini, ada satu babak mengenang biduan dan biduanita yang baru meninggal dunia dengan ditonjolkan seorang penyanyi wanita, dedah sana dedah sini tetapi selepas itu diminta pula hadirin 'menyedekahkan bacaan al-Fatihah'. Bagaimanakah seseorang itu 'akan mendapat jalan yang lurus' jika dia berada dalam majlis seperti itu.

Dalam pada itu, golongan karyawan termasuk penulis yang mengkrtitik dan meneguh amalan tidak bertepatan dengan agama itu dipandang songsang, dilabel dengan pelbagai gelaran kerana sudah menjadi adat dunia, emas dan kerlipan bintang juga dipandang orang.

Akhir sekali, jasa manusia terulung, Rasul akhir zaman, Muhammad (s.a.w.) yang kisah Israk Mikraj baginda diulang-ulang di masjid-masid seluruh dunia ketika bulan Rejab, turut tidak dipeduli. Sudah lengkap Nabi (s.a.w.) menyampaikan dakwah melalu sifatnya terutama tabligh (menyampaikan), tetapi umat manusia cenderung mengingkarinya.

Demikianlah kebanyakan manusia dengan sifatnya yang tidak mengenang budi sehinggalah mulutnya sudah terisi tanah (mati). Puas sudah Nabi, ulama, guru, ibu bapa, askar (seperti kisah di atas) dan sebagainya menanam budi, emas juga dipandang orang!

Mendeka! Mendeka! Mendeka!

Semasa remaja dulu, sekali-sekala saya memegang batang cangkul dan sabit, menolong 'orang tua' berkebun. Saya membantu menanam pokok tebu, serai dan tanam-tanaman kampung lain. Ketika itu tidaklah terasa sakit badan selepas bekerja kerana tenaga masih banyak dan badan 'fit'.

Tetapi sekarang, pada usia 40-an, apabila saya berkebun semula selepas memiliki sebidang tanah 'sekangkang kera', tidaklah dapat saya gambarkan kesakitan badan termasuk lenguh-lenguh anggota, sendi dan tulang selepas 'aktiviti' menebas atau mencangkul.

Penat sungguh berkebun atau menjadi petani ini, keluh saya. Patutlah tak ramai anak-anak muda kita nak jadi petani. Selain penat menebas, mencangkul dan menyemai, benih yang ditanam dirasa lambat pula membesar dan membuahkan hasil. Jika tanaman menjadi, kena fikir pula cara memasarkannya. Jika tidak tahu, hasil tanaman akan berlonggok atau membusuk di kebun.

Sebaliknya, jika kerja bergaji, hujung bulan insya-Allah akan dapat habuannya. Pendeknya, tidak perlu fikir apa-apa, duit sudah di'bank in'. Selesai sudah masalah perbelanjaan anak yang bersekolah, belanja dapur dan sebagainya.

Tetapi bertani banyak masalah yang memerlukan kesabaran tinggi. Penghasilannya bukan boleh ditetapkan pada setiap hujung bulan. Kalau tak berduit pada hujung bulan bagaimana mahu menyediakan belanja rumah tangga, anak-anak dan membayar bil. Pening kepala memikirkannya.

Penat menebas, saya pun beredar ke perdu serumpun pisang. Peluh membasahi seluruh anggota badan termasuk di muka. Cuaca jam 10.00 pagi itu sungguh panas. Di bawah pokok pisang keadaan redup. Saya pun mula merehatkan diri. Botol air dicapai. Pada masa yang sama tangan sebelah lagi menyelak akhbar.

Gambar seorang menteri kanan (kini bekas) menarik perhatian saya. Wanita berbaju kurung, tak bertudung itu kelihatan sedang melarikan diri daripada diburu wartawan. Dapat saya bayangkan bagaimana bunyi kasut tumit tingginya, tap, tap, tap. Nampaknya dengan tersiarnya gambar itu bermakna wartawan (jurugambar) kita hebat juga. Orang lari dari pintu belakang pun dapat dikesan mereka.

Hairan juga saya mengapa menteri yang amat 'senior' ini melarikan diri dan menutup muka. Setahu saya, yang 'buat aksi macam tu', tertuduh dalam kes berat seperti edar dadah, rogol orang dan bunuh orang.

Jadi 'apasal' menteri kanan berkenaan buat macam tu. Ooo, baru saya teringat, ada 'orang lebih hebat' daripadanya (kini bekas bos), menuduh dia bercakap tidak benar (dalam bahasa Inggeris digunakan perkataan misleading). Ini 'bahasa lembut' kalau bahasa kasar, ia bermakna 'berbohong'.

Bermakna menteri kanan itu dituduh berbohong. Ini baru tuduhan, tetapi kenapa menteri itu takut benar. Kalau setakat tuduhan, apa nak ditakutkan sangat sebab sebelum ini pun 'berbakul' tuduhan sudah dilemparkan kepadanya.

Peribahasa ada menyebut 'berani kerana benar'. Jadi kalau menteri itu faham peribahasa ini, tentulah dia tidak akan melarikan diri atau takutkan sesuatu apa pun kecuali Allah.

Saat itu saya teringat kata-kata yang sering dilontarkan oleh seorang sahabat: "Seorang cendekiawan memberitahu Rajanya, 'Tuanku, jika Tuanku hilang kerajaan, Tuanku masih ada diri Tuanku, jika Tuanku hilang kesihatan, tuanku sudah hilang separuh daripada diri Tuanku, tetapi jika Tuanku hilang harga diri, Tuanku sudah hilang segala-galanya."

Alangkah malu dan sebalnya diri jika dituduh pembohong, bukan oleh musuh tetapi orang yang kita sanjung dan dianggap sebagai bapa sendiri. Seorang musuh menuduh kita pengkhianat, ia tidak menjadi kudis, tetapi jika tuduhan dibuat oleh sahabat baik atau pasangan hidup kita, lukanya amat dalam dan mungkin tidak sembuh sehingga ke akhir hayat. Jika dituduh pembohong, di manakah muka ini dapat disorokkan?

Dalam saya kembali meneruskan kerja menebas-nebas rumput dan lalang sebelum balik ke rumah, saya pun berfikir: "Biarlah aku penat berkebun, biarlah peluh membasahi diriku, biarlah tegang urat-urat dan sendiku, biarlah diriku berbau tanah dan busuk, jika cara ini aku dapat mencari rezeki halal daripada dituduh pembohong, dituduh tidak amanah dan pelbagai tuduhan lagi.

"Biarlah aku hidup dalam 'kemerdekaan' ini, daripada terkurung, terbelenggu dan terperangkap oleh perasaan sendiri walaupun hidup ditimbuni emas perak, wang berpeti-peti dan pangkat tinggi melangit."

Dalam perjalanan pulang, jerebu berarak membelah ruang angkasa. Pada ketika negara membilang hari dan detik untuk menyambut Hari Kebangsaan ini, saya terkenang betapa mudahnya sesetengah pemimpin melaungkan semangat patriotik dan meminta rakyat berbuat demikian, tetapi apabila jerebu melanda, mereka dan keluarga masing-masing yang pertama berangkat meninggalkan tanah air, bercuti di Los Angeles atau ke Australia dengan duit berguni-guni.

Tak tahulah apa tindakan mereka jika meletus huru-hara dan perang. Agaknya mereka yang pertama hantar keluarga masing-masing ke 'oversea', biarlah rakyat hadapi kemelut itu. Berjuanglah rakyat ke titisan darah terakhir, kata mereka.

Pada ketika kehidupan rakyat meruncing dan terpaksa mengikat perut disebabkan kenaikan harga barang-barang, ramai daripada anggota keluarga terhormat ini masih ber'shopping' di London, Paris dan Dubai.

Masih ramai yang menunjukkan kemewahan dengan kenduri kahwin macam 'pesta puteri kayangan' atau macam anak Raja Donan - 40 hari 40 malam dan wang hantaran RM20,000 - RM30,000.

Mereka terus boros berbelanja sedangkan rakyat disuruh 'jimat, jimat, jimat' dan pada masa yang sama majalah, surat khabar dan TV terus menyiarkan kisah dan gambar perkahwinan 'luar biasa' ini.

Apakah ini untuk dicontohi oleh rakyat yang saban hari bersarapan cekodok, lempeng, ubi rebus, nasi sejuk dan lauk lebihan semalam dengan kopi O panas atau pun air suam saja disebabkan gula dan kopi sudah naik harga?

Dan pada saat negara akan menyambut ulang tahun kemerdekaan, sibuklah sesetengah daripada mereka melaungkan kata-kata keramat: "Kita lupakan perbezaan dan sengketa politik, marilah kita sama-sama sambut hari kemerdekaan."

Sedapnya mulut mereka bercakap, 'bersama-sama merayakan kemerdekaan' - kemerdekaan apa yang mereka maksudkan itu? Selepas mereka puas 'menjarah sana, menjarah sini' (senarai ini panjang, antaranya dalam isu bahasa, ISA, AP, DEB, Pasti, hak asasi, penyelewengan tender, kenaikan harga minyak serta barang dan pencabulan demokrasi), rakyat diminta untuk bersama-sama berada di pentas mereka, mengibarkan bendera dan melaungkan kata-kata keramat: "Merdeka! Merdeka! Merdeka!"

Kalau hanya untuk mengibar bendera dan melaungkan kata-kata itu, anak saya yang berumur tiga tahun pun boleh, cuma sebutannya tersasar sedikit - "Mendeka! Mendeka! Mendeka!."