Tuesday, December 15, 2020

Rabiulakhir 29. 1442: Indikator mengentarkan Zionis, musuh Islam...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21) 


SEJAK 'perintah berkurung' mulai 18 Mac lalu, rakyat tak berapa bebas bergerak sama ada di dalam atau luar negara. Jemaah Tabligh yang kerap menghantar pendakwah 'keluar 40 hari' turut terkesan.


Tidak lama dahulu, saya sempat berbual-bual dengan beberapa anggota Jemaah Tabligh yang kerinduan untuk pergi berdakwah. Ada jemaah ini sudah sampai ke India dan Sri Lanka.


Mereka menceritakan kepada saya perkembangan  sangat menarik ini - Muslim di Sri Lanka dan sebahagian India bersemangat mengamalkan sunah-sunah Rasul s.a.w. - misalnya masjid-masjid di negara ini (sebelum pandemik Covid-19) solat waktunya sentiasa penuh dengan jemaah termasuklah solat subuh.


Jemaah yang ke negara ini untuk misi 40 hari atau tiga bulan, berkata perkembangan ini adalah indikator bahawa Muslim seantero dunia akan akhirnya bangun daripada tidur yang panjang. Selama ini orang Islam diperkotak-katikkan di hampir semua penjuru dunia termasuk di India dan Sri Lanka.


Ketika ini saudara-saudara Muslim seperti orang Palestin, Rohingya, Kashmir dan Uighur menjadi mangsa kezaliman rejim musuh Islam termasuklah Zionis dan Komunis. Namun setengah negara Islam menjadi tak peduli terhadap nasib orang Palestin seperti ditunjukkan negara seperti Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Jordan, Mesir dan Sudan yang mengiktiraf rejim Zionis Israel.


Rakan-rakan saya daripada Jemaah Tabligh berkata dengan melaksanakan sunnah Nabi s.a.w. seperti solat berjemaah dapat dijadikan senjata bagi menghadapi ancaman musuh Islam termasuk Zionis.


Kata mereka, musuh Islam amat takut jika ummah dapat dipadukan termasuk dalam menunaikan solat secara berjemaah...ya jika solat subuh jemaahnya melimpah seperti solat Jumaat...ummah dalam perjalanan untuk mendapat kejayaan dunia dan akhirat dan ini sudah pasti mendatangkan ketakutan kepada rejim Zionis dan musuh Islam lain.


Mengenai kepentingan solat subuh berjemaah ini, ada cendekiawan menyatakan ia adalah indikator mengenai tahap keimanan dan kekuatan ummah. Jika ramai umat Islam dapat 'mewakafkan diri' untuk solat  berjemaah terutama subuh, umat ini insya-Allah akan berada di puncak kejayaan dan digeruni oleh golongan kufar.


Seorang cendekiawan lain menyatakan, solat adalah terapi menghebatkan minda. Beliau menyatakan seorang doktor di Amerika Syarikat telah memeluk Islam kerana beberapa keajaiban yang ditemuinya dalam penyelidikannya terhadap solat.  Doktor neurologi itu amat kagum dengan penemuan tersebut.


Setelah memeluk Islam, dia amat yakin akan perubatan secara Islam dan dengan itu telah membuka sebuah klinik yang bertemakan 'perubatan melalui al-Quran. Kajian perubatan melalui al-Quran membuatkan ubat-ubatannya berteraskan apa yang terdapat di dalam kitab suci itu. Antara kaedah-kaedah yang digunakan adalah berpuasa, penggunaan madu lebah dan biji hitam (black seed).


Apabila ditanya bagaimana dia tertarik untuk memeluk Islam, maka doktor tersebut memberitahu bahawa semasa beliau melakukan kajian urat saraf, terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia yang tidak dimasuki oleh darah.


Pada hal setiap inci otak manusia memerlukan darah yang cukup untuk berfungsi secara normal.


Setelah membuat kajian yang memakan masa, akhirnya beliau mendapati bahawa darah tidak akan memasuki urat saraf di dalam otak manusia melainkan pada ketika seseorang itu sedang sujud semasa mengerjakan sembahyang.


Urat tersebut memerlukan darah hanya untuk beberapa sukatan yang tertentu sahaja. Ini bermaksud bahawa darah hanya akan memasuki urat tersebut mengikut kadar sembahyang waktu yang diwajibkan oleh Islam...begitulah keagungan ciptaan Allah.


Orang yang tidak menunaikan sembahyang, otaknya tidak akan dapat menerima darah yang secukupnya untuk berfungsi secara normal.


Oleh yang demikian, kejadian manusia ini sebenarnya adalah untuk menganuti agama Islam 'sepenuhnya' kerana sifat fitrah kejadiannya memang telah dikaitkan oleh Allah dengan agama-Nya yang indah ini.


Solat dapat mendatangkan 'keajaiban' kepada individu dan umat Islam. Seperti dikatakan oleh sesetengah anggota Jemaah Tabligh, jika solat subuh dapat menyamai jemaah solat Jumaat, ummah ini akan digeruni hatta oleh rejim Zionis, persoalannya mengapa ummah terus diganyang di seantero dunia?


Mungkinkah antara masalah atau halangan terbesar adalah sikap umat sendiri - daripada pemerintah negara umat Islam kepada rakyat. Mereka tidak menunjukkan komitmen untuk hidup bersandarkan apa yang diperintah Allah melalui Rasul dan Kitab-Nya termasuk dalam persoalan solat.


Hari ini, hidup kita berkiblatkan Barat (Amerika). Dari celik mata sampailah ke malam hari apabila mahu melelapkan mata, semuanya adalah berkisar kepada cara hidup Amerika. Pegang 'handset' 24 jam. Sebut apa saja - daripada sumber maklumat, teknologi, makanan, hiburan - semuanya berpaksikan Amerika dan Barat. Globalisasi (penjajahan) Amerika sudah sampai ke kemuncaknya. 


Jadi apa yang tinggal pada umat Islam? Jawapannya kembalilah kepada Islam, nescaya ia menjadi lawan paling ditakuti Amerika dan sekutunya. Sudah tentu pada peringkat awal bukan untuk berperang dengan Amerika tetapi berperang dengan nafsu diri, memperbaiki dan muhasabah diri, seterusnya anak pinak, saudara mara dan masyarakat. 


Ya, subuh esok kita penuhkan masjid dengan jemaah seperti solat Jumaat. Boleh? Kita tinggalkan 'handset' kita. Boleh tak? Kalau penuh masjid kita, insya-Allah, Zionis dan Amerika pun akan takut...

No comments: