Wednesday, December 9, 2020

Rabiulakhir 23, 1442: Terus bersilaturahim sekalipun berbeza pandangan…(U)

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari) 


KETIKA menyaksikan pertandingan akhir Piala Malaysia antara Kedah dan Selangor tidak lama dahulu, teringat saya akan pesanan seorang ustaz bahawa perbezaan pendapat dan pihak disokong termasuk parti dibenarkan tetapi memutuskan siraturahim adalah haram. 


Yalah, kita faham orang Kedah tinggi semangat 'Kekedahannya' manakala orang Selangor dengan 'Keselangorannya', masing-masing 'mahu memenangkan' pasukan masing-masing. Malah ada suami isteri, orang Kedah dan Selangor, bermasam muka gara-gara sokongan pasukan mereka yang berbeza. Berlainan pasukan disokong tidak menjadi masalah, tetapi sehingga menjejaskan ikatan persaudaraan apatah lagi perkahwinan amat 'bahaya'!


Baru-baru ini di kelas pengajian mingguan di masjid yang saya ikuti, sang ustaz begitu bersungguh-sungguh mengingatkan jemaah jangan sesekali memutuskan siraturahim kerana rahmat Allah SWT tidak akan turun ke atas sesebuah keluarga, masyarakat, negara dan sejagat jika ada anggotanya berbuat demikian.


Ustaz memetik daripada kitab Khulasah Tanbihul Ghafilin karya Sheikh Abu Laits Samarqandi yang meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abdullah bin Aufa r.a. berkata: “Pada waktu petang hari Arafah, kami duduk bersama-sama Nabi s.a.w., tiba-tiba Nabi s.a.w. bersabda; jangan duduk bersama kami siapa yang memutuskan hubungan kekeluargaan, supaya bangun dari tengah-tengah kami, maka tidak ada orang kecuali seorang di belakang berdiri, maka tidak berapa lama dia kembali.


“Maka Nabi s.a.w. bertanya: Mengapa kamu? Jawab beliau: Ya Rasulullah, ketika aku mendengar sabdamu itu, aku segera pergi ke rumah saudaraku yang memutuskan hubungannya dengan aku, lalu dia bertanya; mengapakah engkau datang? Ganjil sungguh kedatanganmu ini.


“Maka aku beritahukan apa yang aku dengar daripada kamu, maka dia membacakan istighfar untukku dan aku juga membacakan istighfar untuknya. Rasulullah s.a.w. bersabda: Bagus kamu, duduklah sekarang, sebab rahmat Allah tidak akan turun pada satu kaum jika ada antara mereka seorang yang memutuskan hubungan kekeluargaan.”


Demikianlah jika kita sering mengikuti kelas-kelas pengajian di surau dan masjid, kita diberitahu betapa pentingnya menjaga hubungan siraturahim. Berhubung silaturahim dalam keluarga, kita sering diingatkan supaya memuliakan ibu bapa di samping mendoakan mereka sepanjang masa. Jalan ke syurga adalah dengan restu dan reda ibu bapa, lebih-lebih lagi si ibu. Namun ada hubungan yang retak kerana anak dan ibu bapa berbalah mengenai soal jodoh malah ada yang tidak mengaku anak atau ibu bapa lagi,


Seorang anak perlu memuliakan ibu bapanya sepanjang hayat, malah jika 'orang tua' sudah meninggal dunia, anak-anak terus dituntut berbakti kepada mereka seperti berakhlak mulia sehinggalah kepada amalan menziarahi sahabat taulan mereka yang masih hidup. 


Dalam Islam, anak-anak juga diajar untuk memuliakan ibu bapa sekalipun mereka belum memeluk Islam. Ringkasnya, hubungan kekeluargaan tetap utuh tetapi apa yang berlaku hari ini amat menyedihkan kerana semakin ramai anak-anak jauh terpesong daripada mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan mereka. 


Jika dalam sejarah sahabat dan Sirah Nabi s.a.w. ada dikisahkan seorang anak yang tidak dapat mengucap dua kalimah syahadah ketika akan menghadapi sakratulmaut kerana tidak mengendahkan ibunya, anak-anak hari ini nampaknya mendengar saja kisah itu tetapi gagal menjadikannya iktibar dalam mereka menjalani kehidupan. 


Demikian juga amaran Allah agar anak-anak tidak membantah ibu bapa selagi bukan dalam perkara maksiat malah berkata 'aaahhh' pun tidak dibenarkan, nampaknya dijadikan halwa telinga saja. 


Dalam menghadapi perbezaan pandangan, anak-anak sewajar berhemah dalam menghadapi karenah dalam keluarga. Di sini letaknya perbezaan antara insan berilmu dan tidak berilmu. 


Seseorang yang tidak berilmu akan bertindak mengikut nafsu tetapi mereka yang berilmu serta mengamalnya sudah pasti akan bertindak berdasarkan hukum-hakam yang terkandung dalam agama. Apa yang dibolehkan itulah yang dibuat dan apa yang diharamkan, perkara itu dijauhi. 


Berdasarkan apa yang berlaku dalam masyarakat Islam hari ini, kita berpendapat amat penting (wajib) untuk mereka terutama ketua keluarga mendalami ilmu, terutama yang bersangkutan dengan penghidupan sebagai seorang Muslim sejati. 


Jika seseorang itu sudah tahu hukum-hakam agama, kita percaya masalah masyarakat seperti perpecahan dalam keluarga, pulau-memulau dan sebagainya dapat dibendung. 


Subhanallah, jika kita sudah ditunjuki 'jalan yang lurus' oleh Allah SWT seperti yang kita pohonkan dalam bacaan surah Al-Fatihah setiap rakaat solat, insya-Allah kita akan dapati kebenaran berada di depan mata! Allahuakbar.

No comments: