Monday, December 7, 2020

Rabiulakhir 21: Payahnya mendidik anak pada 'zaman gerhana' ini (U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Barang siapa mengucapkan syahadat dan mengingkari penyembahan selain daripada Allah, maka terjagalah harta dan darahnya, sedangkan perhitungan batin orang itu terserah kepada Allah." (Sahih Muslim)


DIDIKLAH anak-anak untuk keperluan zamannya - demikian antara lain kata Sayidina Ali k.w. (atau Umar Al-Khattab). Ini bermakna anak-anak kita (termasuk anak saya) perlu diasuh dan dididik untuk memenuhi masa depan umat dan negara, mungkin pada 2023, 2025, 2030 dan seterusnya.


Tetapi dalam usaha mendidik anak-anak ini, cabaran sekarang dirasakan amat berat sekali, berbeza dengan zaman persekolahan kita atau orang tua kita.


Kerap terdengar, guru-guru mengadu betapa sukarnya mengendalikan anak-anak di sekolah sekarang ini. Untuk mendisiplinkan anak-anak supaya duduk dalam kelas pun sukar, inikan pula untuk mengajar mereka.


Seorang guru mengadu pada saya, hari ini bukan saja hampir tiada pelajar sudi mengangkat buku-buku latihan dari kereta cikgu, malah jika berselisih jalan, guru pula dilanggar mereka.


Apa sebenarnya sudah berlaku kepada generasi muda kita ini? Ramai ibu bapa yang mengorbankan banyak tenaga dan masa di rumah dalam mendisiplinkan anak-anak pun turut mengeluh. Kata mereka, di dalam rumah, anak-anak mungkin mendengar cakap, tetapi pengaruh persekitaran merosakkan segala-galanya.


Pengaruh luar ini tidak semestinya ketika anak-anak berada di luar rumah. Ia berupa alat dunia baru seperti televisyen, komputer (internet), radio dan telefon.


Rancangan televisyen hari ini begitu menakutkan. Filem, dokumentari, rancangan hiburan dan iklan menjurus kepada budaya lagha. Manakala siaran radio pula berkonsepkan hiburan terutama muzik sepanjang hari, tidak kira siang atau malam.


Itu belum diambil kira 'komputer keluarga' yang mempunyai akses internet. Jika seseorang anak sudah 'lekap' dengan 'handset' dan di depan monitor komputer, alamat dari pagi sampai malam dia akan berada di situ.


Dengan penggunaan telefon selular pula, pelbagai aktiviti lagha boleh dilakukan. Semuanya dibuat dari rumah, tanpa anak-anak kita dipengaruhi rakan dan faktor persekitaran luar rumah.


Di luar pula, persekitaran tidak menyebelahi ibu bapa dan guru dalam membentuk anak-anak membesar dalam suasana keagamaan. Anak-anak dipaparkan dengan pelbagai kegiatan kurang sihat, misalnya kebanjiran bahan lucah menjijikkan, percampuran tanpa batasan lelaki perempuan, kewujudan pusat-pusat hiburan serta perjudian dan perlakuan orang dewasa yang buruk.


Anak-anak sukar mengenali idola yang baik. Ada pemimpin, pemimpin korup (bukan semua); ada artis, artis tidak bermaruah (bukan semua); ada ustaz, ustaz pula tergolong dalam ulama su' (segelintir saja); ada wartawan, wartawan pengampu (bukan semua); ada ibu bapa, ibu bapa pun tidak pedulikan agama (bukan semua) dan sebagainya.


Demikian betapa sukar untuk mendidik anak-anak pada 'zaman gerhana' ini. Kemajuan diukur bukan berdasarkan kehendak Islam, tetapi mengikut nafsu serakah manusia yang berkiblatkan Barat dengan segala 'isme' yang jelas menolak agama daripada kehidupan.


Hanya kepada Allah kita berserah. Hanya Dia Yang Mengetahui apa sebenarnya sudah berlaku kepada negara kita dan dunia ini. Sebagai manusia, kita hanya berusaha, berjaya atau tidak bukan urusan kita yang daif ini.


Kemungkaran wajib dibanteras, tidak kira siapa pelakunya. Selain pelakunya, ada tangan-tangan halus yang membela kemungkaran ini. Tangan-tangan halus ini perlu diperangi sedaya upaya kerana ia adalah pencetus gelombang kemungkaran ini. Siapa golongan ini, tepuk dada tanya selera

No comments: