Thursday, December 31, 2020

Jamadilawal 16, 1442: Usahakan jadi 'rider' Foodpanda?

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Sebelum terjadi hari kiamat, terlebih dahulu terhapus ilmu (agama) dan berjangkit kejahilan dan banyak terjadi pembunuhan." (Sahih Muslim)


BAGI menangani kesempitan kewangan akibat pandemik Covid-19 sekarang ini, seorang ustaz dalam kelas pengajian mingguan di masjid yang kerap saya kunjungi berkata, lakukanlah apa-apa saja pekerjaan asalkan halal, "misalnya dengan menjadi 'rider' Foodpanda ke, Grab ke..."


Sesetengah jemaah veteran memandang sesama sendiri, mungkin mereka mengukir kuntuman senyuman dalam pelitup muka masing-masing. Mungkin terpancul di benak masing-masing...'ahh dah tua-tua ini, masakan masih gagah mahu jadi 'rider' Foodpanda atau Grab?'.


Ya, dah tua-tua ini, badan asyik-asyik lenguh dan sakit aje...nak 'kick' (tendang) 'starter' motosikal pun hampir tak berdaya (ramai pakai 'starter elektronik)...inikan pula mahu jadi 'rider' siang malam, merempuh hujan panas dan banyak lagi cabaran.


Saya yang mendengar ceramah itu, mahu juga tahu kehidupan seorang 'rider'. Lantas apabila ada kesempatan, saya bertanya kepada seorang anak muda yang bekerja di bawah lambang Grab.


"Sehari boleh dapat berapa?" tanya saya. "Lebih kurang RM80, pak cik," katanya.


"Bolehkah anak dapat RM2,400 sebulan?" tanya saya selepas menconggak RM80 kali 30 hari.


"Mana ada pak cik," kata anak muda berusia 22 tahun itu. "Adalah saya dapat, RM1,000 lebih sebulan. Mana boleh saya bekerja 30 hari sebulan. Ada hari cuti, kadang-kadang hujan."


"Susah juga kehidupan anak muda ini," fikir saya. Namun dia masih ada tenaga muda, tak macam saya. Saya menasihatkan anak muda itu supaya 'berekonomi sikit dalam hidup' - simpan sebahagian duit itu untuk masa depan...ya mungkin duit itu boleh digunakan pada masa tua seperti yang saya hadapi sekarang ini.


Bercakap pasal muda dan tua ini, teringat saya pesan seorang khatib dalam satu khutbah Jumaat yang saya ikuti di sebuah masjid tidak lama dahulu.


Khatib itu membicarakan sebuah hadis yang bermaksud, perguna lima perkara sebelum datang lima perkara. Kata khatib pada hari kiamat kelak seseorang itu tidak akan dapat bergerak selagi pertanyaan terhadap lima perkara itu tidak beres.


Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas; Nabi s.a.w. bersabda, bermaksud: "Perguna 'lima' sebelum datang 'lima' - masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa kamu berada (kaya) sebelum jatuh papa (miskin), masa lapangmu sebelum sibuk dan masa hidupmu sebelum mati."


Khatib mengingatkan jemaah bahawa kehidupan manusia sebenarnya adalah satu perjalanan yang cukup singkat (masanya diibaratkan berteduhnya seorang pengembara di bawah sebatang pokok sebelum berangkat pergi) untuk menemui Allah SWT. 


Sehubungan itu dalam perjalanan itu perlulah diisi dengan segala keperluannya agar apabila berlaku pertemuan dengan Allah nanti tidaklah kita membawa tangan kosong, atau lebih malang lagi membawa onar dan keburukan diri.


Beliau mengambil kiasan seorang perantau yang mahu pulang ke kampung berhari raya. Tentunya kepulangan yang menggembirakan itu dihiasi dengan pelbagai persiapannya. Duit, pakaian, kenderaan, semuanya sudah dipastikan dalam keadaan 'tip top' agar keberadaan kita di kampung nanti menggembirakan semua.


Tetapi cuba bayangkan orang yang mahu balik kampung tetapi tidak membuat persediaan. Misalnya, mahu balik kampung tetapi tidak 'booking' tiket bas. Kemungkinan besar dia tidak sampai ke kampung, meranalah dia menyambut hari raya berseorangan di kota, tanpa kaum kerabat dan sahabat handai.


Demikian juga bagi yang berkenderaan, tetapi keadaannya terabai. Nasib baik sampailah ke kampung halaman, jika tidak berhari rayalah di lebuh raya. 


Jika untuk berhari raya sehari dua di kampung, kita memerlukan persediaan yang cukup hebat, jadi tentulah persediaan kita untuk ke alam kubur (barzakh) seterusnya akhirat yang menjadi destinasi TERAKHIR kita memerlukan pengorbanan paling besar.


Lengkapkan diri untuk menghadapi saat itu, kerana tidak mungkin kita boleh kembali semula ke dunia bagi menebus semula kesilapan kita selepas berlaku kematian. Jadi pergunakanlah sepenuhnya HIDUPMU sebelum MATIMU.


Bagaimana mahu memastikan kita tidak rugi semasa hidup? Khatib membacakan Surah Al-Asr yang bermaksud: "Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran."


Kepada semua, adakah kehidupan kita kini bertepatan dengan ayat ini? Sehubungan itu, marilah kita mengkoreksi dan menghitung diri sebelum diri kita dihitung oleh Allah SWT


Demikianlah perjalanan hidup manusia dipenuhi pelbagai pancaroba. Ada bijak pandai mengungkapkan mengenai kepelikan manusia; semasa kecil, tenaga dan akal kurang bagi mengharung dunia; apabila muda, tenaga banyak, nafsu tinggi tetapi pengalaman kurang maka mudahlah tersadung.


Apabila sudah tua, akal banyak, pengalaman pun banyak tetapi TENAGA SUDAH HABIS, maka terbantutlah segala cita-cita. Ya dulu kita muda sekarang sudah tua...mungkin yang ada hanya menunggu masa ke kubur!  Oleh itu sempatkah lagi nak jadi 'rider' Foodpanda atau Grab?


No comments: