Friday, December 18, 2020

Jamadilawal 3, 1442: Syabas, masjid kita 'mula belajar' mesra OKU...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21) 


AKIBAT pandemik Covid-19, norma baharu diamalkan masyarakat kita termasuk di masjid. Namun dalam keterbatasan sumber dan pergerakan, syabas diucapkan kepada pengurusan masjid kampung saya kerana berjaya menyiapkan sekurang-kurangnya dua projek mengimarahkan rumah Allah itu.


Pertama adalah menyiapkan sebuah bilik mandi jenazah serba moden dan keduanya membina sebuah 'ramp' (susur/laluan khas kerusi roda) bagi kegunaan orang kelainan upaya (OKU).


Kemudahan OKU inilah yang akan saya celotehkan dalam ruangan ini. Selepas menggembara secara solo ke pelosok Semenanjung yang membolehkan saya 'berehat-rehat dan tidur' di banyak masjid, saya dapati memang betul dakwaan sesetengah pihak bahawa masjid-masjid kita kurang mesra OKU.

 

Seorang peminat ruangan ini menyatakan selain kemudahan masjid yang kurang mesra OKU termasuk tempat wuduknya...sikap jemaah masjid juga mestilah berubah...mereka mesti mesra OKU.


Berdasarkan pengalaman, beliau berkata di Masjidilharam dan Masjid Nabawi, OKU tidak dibezakan dengan jemaah  sihat dan sempurna apabila beribadat.


Katanya, jemaah berkerusi roda tidak dihalang untuk berada di saf hadapan... orang tua yang solat di atas kerusi pun tidak dihalang duduk di saf hadapan malah ada yang dibantu supaya duduk di hadapan asalkan selesa.


Di masjid kita banyak sangat peraturan itu dan ini...seolah-olah OKU ini manusia kelas kedua sedangkan ramai di kalangan golongan ini begitu istiqamah untuk beribadat kepada Allah SWT seperti diceritakan oleh seorang ustaz.


Dalam kuliah subuh di sebuah masjid berhampiran rumah saya tidak lama dahulu, ustaz memuji seorang OKU yang istiqamah berjemaah di masjid,


Kata sang ustaz, sekalipun 'bermotosikal roda empat' ke masjid, kemudian berjalan bertopang di dalam masjid serta duduk di atas kerusi ketika solat, lelaki berkenaan sentiasa berada di saf pertama..."kita yang sempurna anggota ini bagaimana?" tanyanya.


Pertanyaan ustaz membikin sesetengah jemaah malu sendiri, mungkin juga di kalangan anggota pengurusan masjid yang gagal menjadikan rumah Allah mesra OKU.


Selain OKU yang 'diceritakan' ustaz itu, tidak pernah saya tersua OKU (yang dapat dilihat kelainan fizikalnya) berjemaah di masjid. Mungkin masjid-masjid kita kurang fasiliti untuk OKU...yang ada di sebahagian masjid sekarang ini disediakan kerusi bagi jemaah yang tidak boleh 'solat seperti biasa'.


Persoalannya adakah OKU tidak mahu solat di masjid ataupun masjid-masjid kita tidak mesra OKU lantas menyebabkan mereka tidak tertarik ke rumah ibadat kita? Ya, mengapa OKU menjauhkan diri daripada masjid?


Berdasarkan pengalaman dan apa disaksikan, reka bentuk hampir semua masjid kita tak mesra OKU. Misalnya tiada 'ramp' untuk mereka yang berkerusi roda...adakah 'kita mahu' jemaah OKU menggunakan tangga atau selesa ke tandas dengan laluan terputus-putus atau tidak separas?


Sehubungan itu mereka yang berkuasa dan berjawatan seperti ahli jawatankuasa masjid dapat memikir kemudian mengusahakan agar masjid-masjid kita mesra OKU. Bangun dan bertindaklah segera kerana memang satu hakikat hampir 100 peratus masjid kita tak mesra OKU!


Bagi mereka yang sudah ke Tanah Suci (Makkah dan Madinah) menunaikan haji dan umrah tentu sedar bahawa kedua-dua Masjdilharam dan Masjid Nabawi adalah mesra OKU.


Jika dahulu, ada jemaah haji OKU 'ditandu' menunaikan rukun haji dan umrah seperti tawaf, sekarang ini jemaah OKU menggunakan kerusi roda. Lif-lif di sana adalah juga mesra OKU dan lebih menariknya jemaah memberi laluan dan keutamaan kepada golongan ini.


Bagi jemaah yang sudah merasai pengalaman tawaf, tentu menyedari di sekitar mereka ada saja jemaah OKU bersama-sama melakukan ibadat itu. Seorang jemaah bercerita, ketika tawaf dia 'memotong' (memintas) seorang OKU yang kudung kedua-dua kakinya tetapi bergerak seperti 'lipas kudung' (laju). Subhanallah, tidak lama kemudian dia menemui 'jemaah seperti itu' di depannya...ya bukankah jemaah OKU itu sudah 'dipotongnya' tadi?


Jemaah lain pun ada membawa cerita yang sama...mungkinkah OKU itu jelmaan malaikat yang didatangkan untuk menguji kita? Di laluan saie yang jauh, selain menggunakan kerusi roda, jemaah yang kurang upaya boleh menggunakan motosikal khas...alhamdulillah banyaknya kemudahan di sana...


Jika kita tinjau ke satu bahagian Masjidilharam, kita akan ketemui sebuah 'stesen' yang menempatkan puluhan ribu kerusi roda...apabila kerusi roda boleh digunakan bermakna mesra OKU-lah Masjidilharam, tetapi di masjid kita boleh selesa pakai kerusi roda ke?


Kita perlu sedar OKU pun dikehendaki solat berjemaah di masjid. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, seorang lelaki meminta kebenaran untuk solat di rumah kerana dia buta, tinggal berjauhan dan tiada pengiring sesuai, tetapi Nabi Muhammad s.a.w. menegaskan tiada 'pelepasan' buat dirinya!

No comments: