Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
APABILA Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) yang terbaharu (ke-33) dipolemikkan, saya seperti dipanggil-panggil untuk membaca sejumlah komentar mengenainya sama ada dalam media cetak atau elektronik.
Ini kerana saya pernah bekerja di syarikat akhbar ini selama lebih 12 tahun; kata orang tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain...
Dalam celoteh ini tiadalah saya berhajat mengulas komentar-komentar berkenaan - sama ada yang pro padanya atau tidak tetapi memusatkan perhatian kepada artis dan dunia artis apatah lagi selepas saya menonton sebuah filem bernaunsa Islam melalui Bioskop TV AlHijrah membawakan kisah Hanum dan Rangga dalam filem '99 Cahaya Di Langit Eropa'.
Filem ini adalah Bahagian 1 disiarkan mulai jam 9 malam pada 21 November lalu dan pada 28 November disiarkan Bahagian 2, juga mulai jam 9 malam yang menggambarkan suami isteri itu berada di Cordova yang menjadi pusat keilmuan (termasuk kebudayaan dan kesenian) Islam terhebat suatu ketika dahulu.
Islam adalah yang terhebat dalam semua bidang kehidupan - hatta dalam bidang kesenian sekalipun. Islam tidak melarang seseorang itu untuk berjaya dalam bidang apa pun selagi ia tidak bercanggah dengan syariat.
Apabila seseorang itu mematuhi hukum-hakam dalam apa juga bidang diceburinya maka apabila dia menjadi seorang jurutera dia akan menjadi seorang jurutera bertakwa; apabila dia menjadi seorang ahli politik dia menjadi seorang politikus bertakwa; jika dia menjadi seorang wartawan dia menjadi seorang wartawan bertakwa dan jika dia menjadi seorang artis dia menjadi seorang artis yang bertakwa. Kalau dia pembuat filem, dia akan menjadi pembuat filem bertakwa.
Namun kerjaya terakhir dinyatakan (artis) menimbulkan tanda tanya, kerana apa yang dimaksudkan dengan artis yang bertakwa itu? Mungkin gambaran seorang artis bertakwa terlalu kabur pada pandangan masyarakat sekarang ini berdasarkan dunia kehidupan artis yang digembar-gembur dan diprojekkan sekarang ini. Dunia artis yang dipertontonkan sekarang ini terlalu hitam, hampir semuanya (nilai, penampilan dan paling utama niat) adalah berpaksikan kehendak dunia Barat yang mementingkan nafsu, kebendaan, eksploitasi dan sebagainya.
Soal persembahannya, soal pakaiannya, soal perangainya, semuanya mengambil contoh dari sana. Jadi dunia artis kita adalah berkiblatkan Hollywood, Bollywood, Hong Kong, Korea dan Jepun. Masing-masing berkarier untuk memenuhi kehendak, kantung (duit) dan nafsu dunia Barat; tidak ada kena mengena langsung dengan kehidupan seorang Muslim.
Jadi persoalannya bagaimana menjadi artis bertakwa? Pertama, perbetulkan niat. Aku mahu menjadi artis kerana Allah Taala. Apabila niat sudah berada di jalan lurus seperti diminta sekurang-kurangnya 17 kali sehari (dalam solat), seseorang itu sudah bersiap sedia untuk menjadi artis bertakwa. Sebelum terjun ke bidang ini, diselidiki dulu apa yang boleh dan tidak boleh (soal halal dan haram). Sepanjang perjalanan, tentunya banyak onak dan duri yang tersangat dahsyat akan ditempohi. Itulah sebenarnya perjalanan seorang anak seni yang mahu menjadi artis bertakwa.
Ganjarannya bukan keuntungan duniawi semata-mata seperti difahami dunia Barat dan orang-orang sealirannya, tetapi kebaikan di dunia dan akhirat seperti lazim kita berdoa, Rabbana atina fiddunya hasanah wa fil akhirati hasanah waqina azaban naar.
Apabila berazam menjadi artis bertakwa, tentunya panduan kehidupan bukan lagi nilai Barat yang disogokkan melalui gegak gempita Hollywood, Bollywood dan Hong Kong. Tentunya bukan lagi mencontohi cara hidup songsang artisnya termasuk dari segi pakaian, tingkah laku dan pergaulan. Tentunya bukan lagi berpakaian bagai tak cukup kain di karpet merah; tentunya bukan lagi tutur bicara takabur, satu sifat yang hanya layak dipakai Sang Pencipta Alam. Namun semuanya terarah kepada kehendak-Nya, berpandukan kepada kitab dan sunnah; dengan alam ciptaan-Nya menjadi inspirasi insan bergelar anak seni – semuanya dikaitkan dengan keagungan Yang Maha Kuasa.
Semua ini bukan kerja mudah. Puncanya kerana kita sudah terlalu lama terpesong jauh. Dunia artis kita hari ini adalah dunia jahil – menyamai zaman jahiliah sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. Namun kita tidak bermaksud menyalahkan dunia artis semata-mata kerana dunia politik kita (maraknya fitnah dan segala kebusukan lain seperti rasuah dan pembohongan), dunia kewartawanan, dunia perniagaan dan sebagainya yang berkiblatan nafsu keduniaan, semuanya menuju zaman jahiliah.
Apa yang paling menakutkan; seluruh sistem kehidupan kita menghampiri zaman punah itu. Fitnah, bunuh, zina, riba, rasuah; semuanya sudah membarah dalam masyarakat. Hanya dengan kembali kepada Islam dengan segala ilmu dan pengamalannya, kita menadah tangan merintih memohon-Nya menyelamatkan kita daripada bahana akhir zaman ini.
Ingatlah firman Allah SWT yang bermaklsud: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terharap-harap (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.” (Ayat 56 Surah Al-A’raaf)
No comments:
Post a Comment