Tuesday, December 8, 2020

Rabiulakhir 22, 1442: Allahyarham Zaleha Ismail dan 'super mom'...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32


KETIKA  'merangkak-rangkak' menjadi wartawan dahulu (pertengahan 1980-an), antara pemimpin yang diarahkan 'bos' untuk saya ekori adalah Datin Paduka (pangkat terakhir adalah Tan Sri) Zaleha Ismail tak kiralah sama ada majlis itu membabitkan kementerian beliau, parti beliau (Umno) atau pertubuhan sosial dipimpinnya.


Kini Tan Sri Zaleha Ismail tiada lagi bersama kita. Dilaporkan bekas Menteri Perpaduan dan Pembangunan Masyarakat yang juga veteran Umno itu meninggal dunia pada 14 November 2020 di Hospital Tawakkal, Kuala Lumpur pada usia 84 tahun.


Sebelum berjawatan menteri penuh, beliau adalah Timbalan Menteri Pengangkutan pada era yang sama ketika saya mula-mula menjadi wartawan.


Marilah kita berhenti sebentar untuk membaca Al-Fatihah untuk roh Allahyarham dan berdoa semoga beliau dikumpulkan bersama roh orang salih dan salihah.


Berceloteh mengenai Tan Sri Zaleha, saya teringat pembabitan beliau yang panjang dalam pelbagai organisasi sosial seperti Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia yang terbabit dalam penganjuran majlis seperti penganugerahan Tokoh Kanak-Kanak (termasuk Pingat Hang Tuah) dan pada satu majlis saya hadir membuat liputan.


Ketika menjadi pengarang luar negara sebuah akhbar harian pada era 1990-an dahulu, unit kami dibekalkan akhbar dan majalah luar negara antaranya majalah Time dan Newsweek.


Suatu hari alangkah seronoknya membaca sebuah rencana mengenai masa berkualiti ibu bapa bertajuk 'Suffering in Silence' dalam majalah Newsweek yang memetik  komenter Zaleha (ketika itu Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat,)  bahawa ada ibu bapa yang keluar rumah menyuruh pembantu rumah mendukung anak mereka atau membawa botol susunya.


Katanya, jika ini berterusan ikatan antara ibu bapa dengan anak-anak akan hilang buat selama-lamanya.  Zaleha juga berkata jangan pandang enteng tugas isteri, pendapatan seorang suri rumah sepenuh masa, jika mahu ditaksirkan adalah antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan (ketika itu).


Jika ada pihak yang sanggup membayar suri rumah sepenuh masa ini, mungkin adakah lebih baik untuk ibu-ibu terus berada di rumah supaya dapat mendidik anak mereka sepenuh masa. Bagaimanapun, masalahnya, pihak mana atau siapa mahu membayar suri rumah berkenaan?


Komenter Zaleha itu adalah di bawah tajuk besar  'The Myth of Quality Time' (Mitos Mengenai Masa Berkualiti) majalah Newsweek yang bertarikh 19 Mei 1997.


Rencana ini mempersoalkan sikap ibu bapa bekerjaya yang berpendapat mereka boleh membentuk anak masing-masing dalam ruang waktu singkat, di luar masa bekerja, jika mereka memanfaatkan waktu itu sepenuhnya.


Misalnya, jika seseorang ibu dan ayah itu bekerja hingga jam 5 petang dan sampai ke rumah jam 7 petang, masanya untuk berinteraksi dengan anak ialah antara selepas 7 petang hinggalah waktu tidur. Masa singkat yang dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengambil tahu hal anak-anak inilah yang dinamakan masa berkualiti.


Bagaimanapun, kini semakin ramai ibu bapa sedar dan mula mempersoalkan sama ada masa berkualiti yang diperuntukkan kepada anak-anak itu mencukupi.


Ramai ibu bapa di Amerika Syarikat meragui masa yang dikhaskan kepada anak-anak boleh ditetapkan pada satu ruang waktu singkat sama seperti temu janji perniagaan yang memakan waktu singkat dengan si pelanggan yang jelas menunjukkan minat.


Sehubungan itu, tidak menghairankan semakin ramai ahli psikologi dan pendidik mahu menghapuskan sama sekali pandangan mengenai masa berkualiti itu.


Seorang pakar psikologi di Sekolah Perubatan Harvard, Ronald Revant, berpendapat masa berkualiti itu adalah satu cara untuk menyedapkan hati kita berhubung kurangnya tumpuan dan kasih sayang yang diberikan kepada anak-anak.


"Kanak-kanak perlulan tumpuan dan perhatian hampir sepanjang waktu. Adalah satu khayalan untuk berpendapat mereka boleh menepati jadual waktu anda dan anda boleh berkata: "Baiklah, kita ada masa setengah jam, apa masalah sayang?"


Jika di Amerika ibu bapa mulai bimbang mengenai nasib anak masing-masing, di Malaysia sesetengah ibu bapa mempunyai sikap sebaliknya.


Ada ibu dengan bangganya berkata bukannya berapa banyak waktu yang mereka dapat bersama anak-anak yang penting, tetapi bagaimana mereka memanfaatkannya.


Ada yang mendakwa mereka 'super mother' (super-mom), yang boleh berjaya di pejabat dan di rumah. Pendeknya, mereka percaya pada masa berkualiti itu.


Mereka percaya anak-anak dapat dididik dan sedia untuk mengikut kata sekalipun waktu interaksi si anak dengan ayah atau ibu singkat sekali.


Selain itu ada ibu bapa mendabik dada, mendakwa mereka boleh memberi perhatian sepenuhnya pada si anak pada hari minggu. Mereka tidak pula bertanya pada waktu mereka bertungkus-lumus di pejabat, dengan siapa anak mereka berinteraksi.


"Salah satu fungsi ibu bapa ialah mengawas. Anda mengawas kerja rumah mereka, rakan mereka dan apa yang mereka lakukan pada waktu lapang," kata Jeanne Brooks-Gunn, seorang pakar psikologi di Universiti Columbia.


Bagi ibu bapa yang sayangkan anak dan kerjaya mereka, ada sebuah buku bertajuk 'The Times Bind' oleh Arlie Hochschild, yang diterbitkan di Amerika, bagi menyedarkan mereka.


Pendedahan Hochschild yang paling kurang menyenangkan ialah bahawa kita sebenarnya bersubahat dalam menafikan hak anak-anak kita.


Masalah tiada perhatian kepada anak-anak inilah yang menyumbangkan kepada gejala sosial yang diperkatakan sekarang. Pakar psikologi dan pendidik Amerika berkata masalah disiplin dan pelajar melakukan gangguan di kelas semakin menjadi-jadi.


Pakar ini berpendapat ibu bapa tidak lagi meluangkan waktu yang cukup untuk anak-anak mereka. Kebanyakan ibu bapa pula sebenarnya sudah letih apabila pulang daripada kerja bagi memberi perhatian kepada anak-anak mereka.

No comments: