Renungan
"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)
SUATU pagi pada Ogos 1999 saya (LanH) menghadiri temuduga jawatan Pengarang Berita di pejabat Harakah, Jalan Pahang Barat, KL. Penemuduga adalah Dato' Hishamuddin Yahaya (Pengarah Urusan Harakah), Zulkifli Sulong (Ketua Pengarang Harakah) dan Haji A Shukur Harun (Pengarang 1 Harakah).
Haji Shukur atau lebih mesra dengan panggilan Pak Shukur bukan asing bagi diri ini; dahulunya beliau adalah teman sepejabat di Berita Harian (BH)...yalah 'kami satu geng' walaupun berbeza generasi (Pak Shukur usianya sama bapa saya). Di BH walaupun kami tak pernah semeja (tugasan terakhirnya adalah penyunting) sedangkan saya di Meja Luar Negara, perwatakan Pak Shukur yabg tegas orangnya sekalipun bertubuh kecil mengkagumkan saya.
Suatu hari saya lihat dia berhujah hebat dengan Pengarang Kumpulan BH ketika itu, Dato' A Nazri Abdullah...apa yang mereka debatkan tidaklah saya ketahui kerana tak manis dan bagus bagi saya sebagai wartawan kadet (hingusan) mencampuri urusan 'orang tua' (senior). Demikianlah Pak Shukur tegas mempertahankan pendirian dan pendapatnya...yalah ini antara ciri-ciri baik bagi melahirkan wartawan hebat....demikian kata seorang wartawan kanan.
Pak Shukur, anak Kampung Serkat, Pontian, Johor ini bukan saja meninggalkan legasi dalam dunia kewartawanan tetapi juga kesusasteraan. Karyanya, daripada cerpen ke novel apatah lagi rencana dan kritikan kerap mengangkat derita rakyat miskin, antara yang paling terkesan kepada saya adalah sebuah cerpen yang saya baca ketika di bangku sekolah mengenai sebuah perkampungan yang 'dilanyak' buldozer bagi memberi laluan kepada pembangunan.
Ketika mencelotehkan kisah ini, Pak Shukur sudah tiada...beliau meninggal dunia 9 Julai lalu dalam usia 82 tahun, 24 hari selepas pemergian ke rahmatullah isterinya Hajah Kiah (Rokiah), 83. Di sini saya memohon pembaca berhenti sebentar...marilah kita bersama-sama membaca Surah Al-Fatihah untuk arwah beliau dan isterinya dan berdoa semoga Allah SWT meredhai mereka dan sekalian Muslimin dan Muslimat. Al-Fatihah...
Di Harakah, Pak Shukur adalah guru kewartawanan dan tempat rujukan anak buah, al-maklumlah Allahyarham membawa bersamanya khazanah ilmu dan pengalaman selama lebih 30 tahun berkhidmat di Utusan Melayu dan BH. Beliau belajar dari bawah, jarang menolak tugasan (ini juga ciri wartawan yang baik), sehubungan itu tak menjadi kehairanan jika Pak Shukur pernah berkhidmat di sebuah majalah wanita terbitan syarikat akhbar berkenaan.
Penulis hebat ada keunikan dalam berkarya. Mempunyai gaya tersendiri. Demikianlah saya dan penulis muda seperti Mohd Arif Juhani Abdul Rahman yang pernah mendapat didikan di Harakah sependapat, antara kekuatan karya Pak Shukur adalah dalam pengenalan (intro) sesebuah karyanya.
Mohd Arif, dalam artikelnya, 'Mengingati Pak Shukur, ingati keindahan tulisannya' antara lain mencatatkan: "Di manakah letaknya keindahan sesebuah karya penulisan?
"Amat banyak. Tetapi biasanya tulisan yang indah akan dimulai dengan pendahuluan yang menarik dan ‘menangkap’, wacana yang diusung ada nilai tambah dan menyegarkan serta bahasa yang dijalin antara ayat demi ayat, perenggan demi perenggan, dari pendahuluan hingga penutup adalah berlaras sederhana."
Alhamdulillah sepanjang perkhidmatan saya di Harakah (1999-2012) bukan saja saya dapat belajar ilmu menulis daripada Pak Shukur (banyak buku ditulisnya antaranya 'Sehingga Jatuhnya Matahari', 'Lampu Neon dan Kelkatu', 'Getaran' dan 'Matahari Kuala Lumpur' ) tetapi 'ilmu hidup' seperti pengendalian keluarga (suami isteri), hubungan anak dengan ibu ayah malah hubungan sesama rakan.
Selepas tidak lagi bertugas di Harakah (tak silap saya mulai 2008), Pak Shukur dan rakan-rakan kerap juga berjumpa kerana sosok tubuh kecil ini sering ada di Jalan Pahang Barat (banyak urusan beliau di sini seperti ke pejabat PAS, ke kedai Buku Nufair Street, ke Restoran Haslam dan Masjid Flet Pekeliling), ungkapan ini kerap Allahyarham ucapkan kepada rakan-rakan - "Aku bimbang nasib kawan-kawan." (maksudnya beliau mahu Harakah terus gagah perkasa agar rakan-rakan dapat terus bekerja bagi kelangsungan hidup masing-masing).
Demikian Pak Shukur ambil berat terhadap kebajikan rakan-rakan. Sekali lagi, Al-Fatihah untuk Pak Shukur.
No comments:
Post a Comment