Saturday, July 11, 2020

Zulkaedah 19: Ketelusan pemimpin perlu dilihat

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32

Zulkaedah 19

Ketelusan pemimpin perlu dilihat

PADA kuliah subuh tidak lama dulu, antara lain ustaz di sebuah masjid berdekatan rumah saya, membicarakan kepentingan untuk pemimpin bukan saja telus tetapi dilihat ketelusannya.

Ustaz membawakan kisah Sayidina Umar Al-Khattab ketika membahagian harta rampasan perang, memberikan bahagian rakyat sama seperti dirinya iaitu sepotong kain yang tidak cukup untuk dibuat sehelai pakaian lengkap.

Namun pada suatu hari ketika hadir di satu majlis di masjid, beliau dilihat memakai pakaian yang lengkap daripada kain yang dibahagikan tempoh hari.

Melihatkan keadaan itu, bangunlah seorang sahabat, Salman Al-Farisi menyoal khalifah (sekarang ini ibarat presiden atau perdana menteri) bagaimana beliau boleh membuat pakaian yang lengkap sedangkan kain diagihkan dulu tidak cukup untuk tujuan itu. Salman berkata dia dan orang Islam lain tidak akan taat dan menjunjung perintah khalifah jika benar khalifah melakukan penyelewengan.

Lantas bangunlah Abdullah anak Khalifah Umar bagi menjelaskan bahawa pakaian atas ayahnya dibuat daripada kain milik khalifah sendiri manakala pakaian bawah dibuat daripada kain miliknya.

Salman dan sahabat serta rakyat bersyukur di atas kejujuran khalifah dan menyatakan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepadanya.

Demikianlah khalifah dituntut bukan hanya untuk telus tetapi dilihat telus manakala rakyat pula berhak mempersoalkan perkara yang mereka tidak puas hati. Khalifah Umar pula yang memiliki kuasa dari timur dan barat (wilayah Islam sudah menjangkau Afrika Utara dan Parsi) terbuka untuk menerima kritikan dan kecaman rakyat sendiri tetapi apa yang berlaku hari ini?

Pemimpin besar hatta kecil pun langsung tidak mahu menerima pandangan sisi (pihak) lain (termasuk rakyat) tetapi sentiasa menganggap dia dan gerombolannya saja yang betul hatta mendabik dada mereka saja yang pandai memerintah negara sehingga disanjung seantero dunia!

Oleh itu pemimpin perlu terbuka menerima kritikan dan kecaman seperti dicontohkan Khalifah Umar yang tokoh Barat, Michael H Hart meletakkan 'ranking'nya yang ke-52 dalam bukunya 'The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History'.

No comments: