Saturday, July 25, 2020

Zulhijah 4: Kemuncak kehidupan penyerahan diri kepada Allah SWT (U)

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang mukmin, hatinya menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." (Maksud Ayat 28 Surah Ar-Ra'ad)

"Dan serulah kepada umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang beramai-ramai mengunjungi (rumah Engkau, Baitul Lahil Haram) dengan keadaan ada yang berjalan kaki dan ada yang menunggang berjenis-jenis unta yang kurus disebabkan perjalanan yang datang dari segenap ceruk pelosok dan rantau yang jauh." (Maksud Ayat 27 Surah al-Haj)

"Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi yang adil, dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (al-Maidah 5:08)

Kini kita di penghujung tahun Hijrah 1441. Pada bulan terakhir setiap tahun (Zulhijah) disyariatkan ibadat haji. Ketika ini jutaan umat Islam berada di Tanah Suci bagi melengkapkan Rukun Islam kelima.

Haji adalah kemuncak manifestasi seseorang Muslim; ini dapat dilihat daripada bacaan talbiyah "Labbaika Allahomma Labbaik. Labbaik La Shareeka Laka Labbaik. Innal-Hamdah, Wan-Nematah, Laka wal Mulk, La Shareeka Laka" yang bermaksud: "Hamba-Mu datang menyahut panggilan- Mu, Ya Allah hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu Tuhan yang tidak ada sekutu bagi-Mu. Hamba datang menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala pujian dan nikmat serta kerajaan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu."

Ya, semua yang berkaitan dengan kehidupan ini kemuncaknya adalah penyerahan diri kepada Allah SWT. Hal ini mencakupi hal sekecil-kecilnya yang dianggap manusia seperti memasuki tandas sehinggalah sebesar-besarnya iaitu mengorbankan diri demi agama-Nya (syahid) semuanya perlu dilakukan berdasarkan kehendak Allah dan Rasul-Nya. Jika dilakukan selain daripada jalan ini, semuanya tertolak dan menjadi sia-sia saja.

Berdasarkan ini, kita dengan rendah diri menyeru kepada semua kembalilah ke jalan Allah dan Rasul-Nya bagi mencari jalan keluar daripada pelbagai kemelut yang kita hadapi hari ini sama ada dalam kehidupan individu, keluarga, masyarakat, organisasi termasuk siasah, bangsa, negara seterusnya antarabangsa. Berkorbanlah berdasarkan jalan yang telah ditunjuki oleh Rasul s.a.w. yang telah diutuskan oleh Allah SWT sebagai rahmat kepada sekalian alam agar kita mendapat kejayaan di dunia dan akhirat.

Subhanallah, tidak guna kita mencapai kejayaan gemilang di dunia tetapi gagal di akhirat. Inilah yang perlu difikirkan dan diusahakan jalannya keluarnya (penyelesaian) oleh setiap orang beriman - antaranya sentiasa menegakkan kebenaran dan berlaku adil dalam setiap tindak tanduk kita termasuklah dalam menerajui negara, negeri, organisasi malahan keluarga kita sendiri.

Sempena Aidiladha yang mulia ini, kita menyeru semua pihak berkorbanlah dalam segala segi termasuklah perasaan, harta benda hatta tubuh badan kita yang kemuncaknya adalah penyerahan nyawa seperti dilakukan oleh Nabi Ismail a.s. dan ayahandanya, Nabi Ibrahim a.s. demi bagi mendapatkan keredaan Yang Maha Kuasa.

Apabila direnung-renungkan (muhasabah) akan pengorbanan para anbiya dengan kemuncaknya oleh Nabi Muhammad s.a.w. yang amat kita kasihi, apalah sangat 'pengorbanan kita' - ayuh kita lupakan segala sengketa untuk seiring di jalan lurus semata-mata bagi mendapatkan keredaan-Nya. Allaahu akbar... Allaahu akbar... Allaahu akbar...Laa - ilaaha - illallaahu wallaahu akbar. Allaahu akbar walillaahil - hamd. Selamat Hari Raya Aidiladha; maaf zahir dan batin.

No comments: