Friday, July 24, 2020

Zulhijah 3: Sempena haji...Sampai bila mahu asyik 'naik haji'...(U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda; "Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umt-umat dahulu." Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat terdahulu itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Penyakit-penyakit it ialah: (1) terlalu banyak seronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpun harta sebanyak mungkin, (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling memarahi, dan (6) hasut menghasut sehingga menjadi zalim menzalimi." (Hadis riwayat Hakim)


DULU ketika bersekolah menengah (tahun 1970-an) saya dan rakan-rakan terpegun dengan karakter seorang pelajar - dia mengumumkan cita-citanya menjadi perdana menteri - dan dia menunjukkan kesungguhannya itu dengan mempamerkan daya kepimpinan seperti menyertai pasukan bahas sekolah dan menjadi kapten permainan sukan. Lantas dia mendapat jolokan Si......PM sampailah sekarang!

Sahabat ini menjadikan PM kedua, Tun Abdul Razak Hussein sebagai idola. Gambar Tun Razak, seorang murid tua yang bagaikan sireh pulang ke gagang ke sekolah kami pada tahun 1974 dengan menaiki beca sering menjadi perhatiannya - ya nanti dia juga akan pulang ke 'alma mater' mengulangi kisah Tun Razak sebagai seorang perdana menteri!

Namun, selepas puluhan tahun, nama sahabat ini 'tidak muncul-muncul' dalam arena politik tanah air yang boleh menonjolkan dirinya sebagai bakal perdana menteri. Kalau dia dalam kedudukan seorang Adun, Ahli Parlimen, timbalan menteri, menteri dan sebagainya, insya-Allah dia semakin hampir menjadi perdana menteri tetapi entah apa silapnya, 'namanya' belum timbul-timbul lagi.

Tidaklah saya bertujuan memperkecil-kecilkan cita-citanya atau menidakkan kuasa Allah SWT yang boleh melakukan sesuatu sekehendak-Nya seperti menaik dan menjatuhkan seseorang tetapi saya ingin memfokuskan satu perkara penting - masa berlalu begitu pantas dan saya dan orang-orang seangkatan saya seperti pelajar setingkatan puluhan lalu seperti rakan yang bercita-cita menjadi PM ini, kini tanpa sedar atau sedar sudah memasuki usia 'tidak berapa muda' seperti ungkapan seorang ustaz yang tidak mahu menggunakan perkataan 'tua' yang ramai orang tak suka. Namun hakikatnya 'game is over' (permainan sudah tamat), kita semakin ke kubur!

Masa adalah emas, kata bijak pandai Melayu; orang Arab pula mengandaikannya bagai pedang, jika kamu tidak pandai memanfaatkannya ia akan memotong kepala kamu. Ya, masa telah 'memotong kepala' kebanyakan daripada kita termasuklah saya dan kini jika dihitung-hitung berdasarkan usia kewafatan Rasulullah s.a.w., saya dan rakan seusia saya hanya berpeluang menyambut Hari Raya beberapa kali saja lagi!

Itu pun, kata  sang ustaz dalam kuliahnya yang saya hadiri baru-baru ini, sayang sekali sayang, ramai 'orang tidak berapa muda' gagal memanfaatkan 'reja' (baki) masa mereka. Beliau menceritakan seorang 'datuk' di kampungnya terus leka bermain ayam sabung. Siang malam asyik dengan ayamnya saja. Tidak teringat hendak ke masjid hatta pada maghrib yang tempoh waktu solatnya pendek, dia terus leka dengan dengan ayamnya. Orang kalau pada usia tua bukankah baik perbanyakkan zikir menyebut nama Allah atau berselawat, ini tak, dia asyik kurrrrrr, kurrrrrr, kurrrrrrr sana sini siang dan malam.

Demikian juga kalau seseorang itu sudah gila dengan burung misalnya burung terkukur, siang malam asyik main dengan burung yang dikurung dalam sangkar. Si tua yang gila mengumpul barang antik pun ada manakala yang lain asyik-asyik memancing ikan dan tak kurang juga terutama perempuan jadi kaki TV. Ya, kata sang ustaz susah nak tegur orang tua dengan hobi gila-gila ini. Beliau 'mengomen' orang lain dah naik ke bulan, meneroka angkasa lepas, menjelajah laut lepas tetapi sesetengah orang Melayu masih dengan hobi pelik seperti bermain burung, bermain ayam sabung dan bermain gasing.

Akhir sekali sang ustaz 'membasuh' golongan tua yang asyik duduk kedai kopi bermain dam papan. Lepas sepapan sepapan mereka main, dari pagi sampailah maghrib atau malam. Selagi warung tak tutup selagi itulah mereka bermain. Sekali pusingan menghadap papan dam, mereka 'berupaya naik haji' berkali-kali tetapi 'haji' ini bukan menyebabkan mereka semakin 'syok' dan 'leka', lantas tak ingat rumah tangga, anak bini apatah lagi masjid dan surau.

Pemain dan peminat yang menggerumuni papan dam sekalipun minum secawan dua kopi tetapi kebanyakannya kuat hisap rokok. Pada kotak rokok ada perkataan AMARAN, ada gambar besar leher pesakit kanser yang berlubang atau lidah yang bernanah, mereka tak peduli. Sebatang demi sebatang mereka hisap akibat terlalu syok main atau melihat permainan dam aji.

Mereka yang syok dengan dam aji ini tak sedar masa keemasan yang berbaki semakin hari malah sesaat demi sesaat semakin habis. Mereka terus syok dapat 'naik haji demi haji' tetapi bagi menunaikan haji sebenar iaitu Rukun Islam kelima jauh atau tak terfikir dalam benak mereka. Mungkin mereka berfikir, ah aku tak mampu, duit tak ada (tak cukup) jadi bagaimana nak naikhaji. Antara syarat tunai haji berkuasa dari segi perbelanjaan, aku tak mampu jadi tak payahlah.

Namun mereka tak sedar, duit belanja beli rokok kalau dihimpunkan tahun demi tahun boleh mencapai puluhan jika tak ratusan ribu ringgit yang jika dapat dijimatkan membolehkan mereka 'naik haji atau umrah' beberapa kali. Katakanlah seseorang itu menghisap sebungkus rokok sehari yang harganya dianggarkan RM10, dalam sebulan jika tidak merokok dia boleh menyimpan RM300 yang dalam setahun akan menjadi RM3,600. Kalau 10 tahun sudah RM36,000 yang membolehkan dia 'naik haji atau umrah sebenar' sebanyak beberapa kali.

Ini tak, sekalipun setiap hari 'naik haji' beberapa kali atau belasan atau puluhan kali di meja papan dam, dia tetap dulu, kini dan harap-harap tidak selama-lamanya bergelar haji dam...ya wahai orang yang tak beberapa muda...sedar-sedarlah diri bila nak menjejakkan kaki ke masjid atau berangkat ke Tanah Suci...takkan nak tunggu orang usung diri kita ke masjid atau buatkan badal haji untuk kita!

No comments: