Renungan
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)
SEKARANG ini musim haji. Sekalipun jemaah Malaysia dan sebahagian besar negara lain tiada di Tanah Suci, diberitakan ada sejumlah kecil jemaah dari Arab Saudi terpilih menunaikan Rukun Islam kelima itu.
Musim ini bermakna kira-kira 30,000 jemaah Malaysia yang terpilih, perlu menangguhkan pemergian mereka ke Tanah Suci, insya-Allah pada tahun depan mereka akan dapat ke sana. Kepada bakal jemaah jangan bersedih hati, ada banyak hikmah daripada perkembangan ini.
Teringat saya pesanan seorang ustaz bahawa musim haji ini ibadahnya bukan dikhususkan kepada orang menunaikan haji tetapi seluruh ummah. Beliau mengingatkan ummah jangan ketinggalan meningkatkan amal ibadah seperti berpuasa sunat (terutama pada Hari Wukuf), bersedekah dan bersilaturahim mulai tanggal 1 Zulhijah dan sampai ke kemuncaknya dengan melakukan korban pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijah.
Ya, ramai daripada kita melakukan kebajikan tetapi alangkah bagusnya jika kerja-kerja itu diperkemas atau diperindahkan lagi dan sempena Aidiladha ini, marilah kita mulai dengan melihat ibadah melakukan korban binatang ternakan. Selepas itu kita melihat amalan-amalan kebajikan kita yang lain.
Kita diperintahkan untuk memperkemas atau memperhalusi pekerjaan tatkala menyembelih binatang. Daripada Abu Ya’la Syaddad bin Aus radhiallahuanhu daripada Rasulullah shallallahu`alaihi wa sallam bersabda: "Sesungguhnya Allah telah menetapkan perbuatan baik (ihsan) atas segala sesuatu. Jika kalian membunuh maka berlakulah baik dalam hal tersebut. Jika kalian menyembelih perelokkanlah sembelihan kamu, hendaklah kalian mengasah pisaunya dan menyenangkan haiwan sembelihannya." (Riwayat Muslim)
Nabi yang kita kasihi menekankan ihsan, jadi dalam perlakuan baik kita setiap hari, berlaku ihsanlah. Jika kita perlu membunuh, misalnya serangga seperti lipas yang merayap di dapur rumah kita, bunuhlah dengan baik. Jika perlu membunuh cicak atau tikus, kalau boleh bunuhlah dengan sekali pukulan...jangan diseksa binatang itu seperti dicampakkan hidup-hidup kepada kucing yang gemar 'bermain-main' dengan mangsanya. Atau dimasukkan ke dalam api atau dilemaskan dalam air.
Sekarang ini musim buah-buahan tempatan. Buah-buahan seperti rambutan dan durian banyak di pasaran. Baru-baru ini ketika ke sebuah masjid berhampiran kampung saya untuk solat Jumaat, saya lihat ada dua bakul penuh rambutan berhampiran pintu masuk masjid. Alhamdulillah, seorang penduduk telah menyedekahkan buah-buahan itu - jelas sekali orang atau pihak berkenaan mahu berkongsi rezeki yang telah anugerahkan kepadanya.
Selepas solat, ketika keluar masjid, terkejut saya melihat kulit rambutan bertaburan, Astaghfirullah, apabila fikiran buruk ini berlegar-legar di kepala saya - siapa makan rambutan ini - manusia atau monyet?
Demikianlah wahai pembaca budiman; menyedekahkan buah-buahan seperti rambutan itu adalah amalan baik tetapi adalah lebih baik kepada penderma untuk melakukan sedikit kemasan kepada usahanya itu - misalnya menyediakan papan tanda besar bertulisan seperti TOLONG JAGA KEBERSIHAN dan tong sampah di samping barangan sedekah itu.
Jika orang ramai berterusan mengotorkan kawasan itu, jadi mereka mungkin 'monyet sebenar', err maksud saya dari segi kelakukan. Seorang ustaz pernah berkata 'orang kotor' adalah tetap 'orang kotor'. Sukar mengubah sikap mereka. Mungkin hanya undang-undang dapat mengajar mereka. Ini bermakna penguatkuasaan undang-undang adalah amat penting. Sesetengah orang yang tak makan saman, hanya undang-undang dapat mengajar mereka.
Ya, mengapa kita tidak belajar daripada masyarakat atau negara yang ketat penguatkuasaan undang-undangnya seperti Singapura. Negara ini bertindak tegas terhadap pelanggar undang-undang hatta termasuk ke atas mereka yang tidak mengepam tandas selepas menggunakannya.
Kepada pihak berkuasa dan petugas penguatkuasaan undang-undang, tolong 'bangun'...saya pernah saksikan orang membuang kulit rambutan dan kacang dari kereta mereka...entahlah jika kita tidak bertindak ke atas orang berperangai buruk ini, mungkin suatu hari nanti mereka membuang kulit durian daripada kenderaan masing-masing.
Namun pada masa sekarang kita dapat saksikan pemandu memberhentikan atau memperlahankan kenderaan mereka hanya untuk meletakkan cawan atau bekas minuman mereka di atas jalan raya. Banyak pemandu kereta dan penunggang motosikal berperangai buruk apabila melemparkan puntung rokok berapi daripada kenderaan masing-masing.
Wahai petugas penguat kuasa, bertindak keraslah kepada mereka ini yang boleh membahayakan nyawa orang lain. Mereka boleh menyebabkan kebakaran jika puntung rokok itu jatuh ke atas objek mudah terbakar atau ke atas rumput dan lalang kering.
Sekarang ini kita di ambang bulan Kemerdekaan (Ogos). Pada tahun-tahun lalu setiap kali selepas perayaan kemerdekaan, pihak berkuasa terpaksa berusaha keras membersihkan tapak sambutan yang berselerak dan penuh dengan sampah sarap. Pernah dilaporkan pihak berkuasa DBKL dan Alam Flora terpaksa menghantar berpuluh-puluh pekerja dengan kos pembersihan membabitkan ratusan ribu ringgit.
Ya pembaca budiman, menyambut Kemerdekaan adalah amalan baik untuk memupuk semangat cintakan kepada negara, tetapi kita boleh memperkemaskan kerja baik kita itu. Demikian juga banyak lagi dalam amalan kehidupan kita. Perkemaskannya, dengan harapan kita mendapat keredaan Allah SWT.
No comments:
Post a Comment