Renungan
"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21)
Zulkaedah 14
Wartawan kecil sunting karya wartawan besar
Jika tak silap, saya menyunting karya Pak Subky kira-kira 10 tahun lamanya sehinggalah saya ditamatkan perkhidmatan pada akhir tahun 2014. Alhamdulillah. melalui tugas itu pelbagai ilmu dan idea dapat saya garap daripada tulisan Pak Subky.
Sebelum menyambung kisah itu, saya memohon pembaca untuk berhenti sejenak di sini...marilah kita bersama-sama membaca surah Al-Fatihah dan mendoakan agar Pak Subky yang kembali ke rahmatullah 23 Jun lalu, diredai-Nya dan ditempatkan bersama golongan salihin, sadikin, syuhada dan para Nabi. Al-Fatihah...
Meneruskan celoteh, saya sertakan di sini dua potongan daripada tulisan Pak Subky (belum diedit) yang dihantar Dang Fatiha kepada saya.
1. MEN SANA 11/08/05
CINA MAHU MAT SABU TANDING BUKIT BINTANG
TIDAK dipastikan ramai mana orang MCA sudah meninggalkan parti itu menyertai parti dalam Pakatan Rakyat. Ramai yang keluar itu mengikut Chua Joo Meng menyertai PKR.
Tidaklah mereka menyertai PAS. Tetapi mereka menunjukkan sikap terbuka dan mesra kepada PAS.
2. LEKUP 11/08/05
MATI
KETIKA dispekulasi Ku Li nak menggantikan Brother ditakdir berhalangan Brother, maka datang Tok Bghahim yang gagah Perkasa.
Nak jadi penyelamat Ku Li konon.
Ku Li nak mati dalam UMNO, kata Tok Bghahim.
Jika yang Tok Bghahim kata itu sempat dirasanya, hebatlah setianya Ku Li akan parti itu.
Cuma Jantan tertanya, macam mana kalau UMNO mati dulu?
Tak mustahil.
Nak mati di mana pula.
Jantan di luar.
Sebagai wartawan kecil, apa yang dapat saya katakan tentang tulisan wartawan besar seperti Pak Subky ini...melainkan 'mengiyakannya' saja. Inilah sebenar cetusan rasa (idea) dan gaya tersendiri Pak Subky...inilah 'keunikan' beliau...
Saya sebagai seorang penulis juga perlu menghormati seni menulis dan tulisannya, jadi tidaklah saya sibuk mengedit sana, memotong di sini kerana ini boleh diibaratkan bukan menjadikannya lebih molek tetapi bagaikan tikus membaiki labu...
Ringkasnya, idea dan gaya Pak Subky dalam tulisannya saya tak sentuh langsung cuma saya membetulkan kesilapan teknikal, ejaan dan fakta.
Tentunya sebagai manusia biasa seperti mana saya juga, ada membuat kesilapan, yalah bumi mana yang tak ditimpa hujan. Misalnya dalam potongan artikel pertama, Chua Joo Meng perlu dieja Chua Jui Meng...ya ini kesilapan amat kecil, tetapi saya tetap akan membetulkannya jika saya dapat mengesannya.
Memandangkan ruangan ini terhad, izinkan saya meringkaskan sikap hebat Pak Subky sebagai wartawan/penulis disegani yang dapat saya kesan melalui tulisannya agar dapat dipelajari wartawan muda.
1. Sentiasa mematuhi 'deadline' malah karya dihantar lebih awal.
2. Peka dan menghargai keunikan cara dan gaya penulisannya sendiri, jadi pembaca dapat tahu...oh ini mesti tulisan Pak Subky.
3. Banyak daripada tulisan Pak Subky bersifat 'evergreen' (malar hijau) iaitu kekal relevan dan boleh dinikmati sepanjang zaman.
4. 'Up to date' tentang apa ditulisnya terutama berkaitan politik...ini bermaksud Allahyarham banyak membaca!
5. Istiqamah dalam berkarya.
No comments:
Post a Comment