Sunday, October 1, 2017

U Masjid (39): Budak tahfiz bukan malaikat...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21) 

KEBERADAAN lebih kerap di masjid pada 'usia tua' sekarang ini, memberi peluang kepada saya berkenalan seterusnya merapati golongan 'agamawan' seperti ustaz, imam, bilal malah tenaga pengajar dan pelajar tahfiz.

Daripada perhubungan seperti inilah seorang mudir sebuah pusat tahfiz mempelawa saya menjadi guru bahasa Inggeris dan Matematik. Sehubungan itu sejak 2006 sehingga kini saya mengajar di pusat tahfiz berkenaan setiap Ahad dari jam 11.00 pagi hingga ke azan waktu zuhur.

Ertinya sudah lebih 10 tahun saya yang bukan ustaz ini, mengajar di sebuah pusat tahfiz. Apabila timbul isu panas mengenai pusat dan pelajar tahfiz sekarang ini, terpanggil untuk saya mencoretkan sesuatu yang diharapkan dapat sedikit sebanyak menarik perhatian dan menjentik hati anggota masyarakat daripada serendah-rendah kedudukan sehingga kepada pemimpin nombor satu negara.

Saya membuka celoteh dengan mengungkapkan kembali ingatan sang ustaz yang membuka hati saya mengajar di pusat tahfiz. Katanya, kalau kamu tak mampu menghafal al-Quran (kerana pelbagai faktor termasuk sudah tua), jadilah orang yang membantu untuk melahirkan hafiz dan hafizah. Kalau kamu ada duit dan harta yang banyak berilah sumbangan, kalau kamu tak ada duit 'sedekahkanlah' kudratmu hatta menjadi tukang masak pun tak apa...janji kamu ada 'saham' dalam melahirkan penghafaz al-Quran; kalau tak mampu pun doakanlah anak-anak ini tetapi janganlah kamu menjadi penghalang, pengacau dan perosak...

Katanya lagi, jika kamu tak boleh jadi hafiz, usahakan agar anak kamu boleh, kalau tak cucu kamu...berdasarkan hujah inilah, saya pada tahun 2006 itu juga memasukkan seorang anak lelaki saya yang ketika itu dalam tahun 5 ke pusat tahfiz...itu pun pada peringkat percubaan, pada cuti sekolah. Alahai selepas beberapa hari, anak saya 'cabut'...heboh saudara-mara bercerita mereka 'berjumpa' anak saya berjalan kaki pulang ke rumah dengan 'mengendong' bantal putih dan barangan lainnya.

Saya gagal 'menyekolahkan' anak saya di pusat tahfiz, jadi tahniahlah kepada ibu bapa yang berjaya 'memujuk' anak-anak ke institusi ini!  Sebagai guru, ketika mengajar, sekali sekala saya merenung wajah anak-anak tahfiz saya. Terasa sejuk di hati...ada sinar di wajah mereka...insya-Allah mereka menjadi harapan penyelamat agama, bangsa dan negara pada masa hadapan ketika zaman 'gerhana'  yang 'penuh pancaroba' sekarang ini.

Tetapi sedarlah semua, kanak-kanak adalah kanak-kanak. Tidak kiralah pelajar tahfiz atau apa...dada-dada mereka daripada pelbagai latar belakang ini masih kosong...mereka perlu dididik dan dibentuk ke arah menjadi insan mulia...ya mereka bukan malaikat...benar ketika berada di majlis-majlis keraian seperti kenduri kahwin dan pertandingan nasyid, mereka 'bagaikan malaikat' dalam jubah putih bersih; itulah yang sering dilihat masyarakat.

Tetapi dalam persekitaran tempat belajar dan tinggal (seperti yang saya lihat dan alami), pelajar-pelajar tahfiz saya macam kanak-kanak lain. Ramai baik-baik belaka, namun ada yang nakal dan sebagainya, jadi perlakukan mereka pelbagai...ramai yang penuh 'konsentrasi' (baik-baik saja kelakukan mereka) namun ada juga yang tidur, ada membaling pemadam ke arah rakan, ada yang 'memekak', ada yang menendang rakan malah ada yang meludah ke luar tingkap ketika cikgu (sayalah tu) sedang mengajar!

Jadi kesimpulannya 'apa' wahai pembaca? Ya, kita semualah, terutama ibu bapa, ustaz, guru (termasuk saya) yang perlu mendidik kanak-kanak ini. Tegur, bimbing, ajar dan terus ajar dengan ikhlas sehingga mereka menjadi anggota masyarakat berguna (ya mereka bukan malaikat) manakala kita terus menabur bakti sehinggalah detik kita masuk kubur!

No comments: