Monday, October 30, 2017

'Ketidaktentuan' di Sabah dieksploitasi BN

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda; "Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umt-umat dahulu." Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat terdahulu itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Penyakit-penyakit it ialah: (1) terlalu banyak seronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpun harta sebanyak mungkin, (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling memarahi, dan (6) hasut menghasut sehingga menjadi zalim menzalimi." (Hadis riwayat Hakim)
PENULIS baru pulang dari Negeri Di Bawah Bayu - Sabah. Tepat sekali gelaran ini kerana Sabah ketika ini dilanda bayu kencang.
Angin ribut membawa bersamanya hujan dari Filipina melanda bahagian barat Sabah menyebabkan banjir di sesetengah tempat seperti Kota Belud dan Kudat manakala pokok tumbang menjejaskan banyak kawasan di Kota Kinabalu.
'Ketidaktentuan' cuaca ini menyebabkan kehidupan rakyat yang sebahagian besarnya miskin bertambah tertekan. Penulis turut 'berpeluang' belajar merasai kesukaran rakyat awam Sabah seperti terputusnya bekalan elektrik di Kundasang dan banjir di Kota Belud.
Apabila berada di kawasan terputus bekalan elektrik pada malam gelap gelita dalam suhu sejuk dengan angin kencang 'menggoncang' bumbung rumah, fahamlah penulis mengapa rakyat Sabah sebahagian besarnya terus memberi sokongan kepada parti pemerintah...ya pemimpin Umno seperti Ketua Wanitanya, Shahrizat Jalil yang ketika itu berada di Sabah, yakin Negeri Di Bawah Bayu akan tetap menjadi 'fixed deposit' BN!
Shahrizat ketika berucap pada Program Ibu Terbaik Bangsa PRU-14 (KITA-14) Zon 5 di Sandakan, memuji melangit Ketua Menteri Sabah, Musa Aman yang disifatkannya sebagai pemimpin berkaliber tinggi yang diberikan penghormatan untuk menyampaikan pandangan dan ini selain mengukuhkan parti menjadikan Sabah 'deposit tetap' BN.
Ya, rakyat khususnya di Sabah sangat memerlukan bantuan segera dan keadaan ini dieksploitasi oleh pemimpin BN terutama Umno untuk mendapat sokongan rakyat agar disokong 'dulu, kini dan selamanya'.  BN  menjanjikan bantuan selain berterusan mendakwa mempunyai trek rekod prestasi gemilang dalam perkhidmatan dan pembangunan.
Malah dakwa Timbalan Ketua Penerangan Umno Sabah, Ramlee Marhaban, pemimpin BN sentiasa berada di lapangan untuk memberi bantuan, terutama apabila ia sangat-sangat diperlukan; berbeza dengan parti-parti lain yang tuduhnya hanya muncul dan bertindak agresif pada musim pilihan raya!
Beliau mendakwa BN 'tiada masalah' jika parti-parti pembangkang bersatu kerana setiap satu daripada mereka mempunyai agenda jadi dengan sendirinya cita-cita mereka tak akan tercapai. 
Pada ketika Ramlee  mengungkapkan 'ketidak-takutan' BN kepada pembangkang, 'pihak-pihak tertentu' sedang giat mengambil tindakan ke atas sejumlah pemimpin pembangkang di Sabah, termasuk Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Shafie Apdal yang terpaksa menghabiskan masa pada hari lahirnya yang ke-60 di bawah tahanan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sebelum itu Shafie hadir ke Ibu Pejabat SPRM Sabah di Kota Kinabalu untuk diambil keterangan mengenai siasatan berhubung projek pembangunan RM1.5 bilion yang pernah dikendalikan Kementerian Kemajuan Luar Bandar. Semasa dalam kerajaan Shafie pernah berkhidmat sebagai menteri di kementerian berkenaan.
Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking percaya tindakan pihak berkuasa ke atas presiden parti itu dibuat kerana tokoh terbabit mampu menarik sokongan pelbagai suku kaum di Sabah; malah beliau mengungkapkan jika Anwar Ibrahim berupaya menyatukan pembangkang di Semenanjung, tokoh yang boleh berbuat begitu di Sabah adalah Shafie Apdal!
Sabah ketika ini 'dilanda' bayu keras...dalam politik pula parti-parti politik pembangkang 'dihimpit keras' agar mesej dan program kebajikan mereka tidak sampai ke pengetahuan dan tangan rakyat malahan maklumat mengenai mereka pun tak diketahui umum...yang nampak hanya BN yang buat kerja itu dan ini - hal ini antara faktor yang membuatkan pemimpin BN termasuk Shahrizat Jalil yakin Sabah, Negeri di Bawah Bayu akan terus kekal sebagai 'fixed deposit' BN!

No comments: