Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda; "Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umt-umat dahulu." Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat terdahulu itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Penyakit-penyakit it ialah: (1) terlalu banyak seronok, (2) terlalu mewah, (3) menghimpun harta sebanyak mungkin, (4) tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, (5) saling memarahi, dan (6) hasut menghasut sehingga menjadi zalim menzalimi." (Hadis riwayat Hakim)
SELEPAS pencen, hampir setiap awal pagi saya meluangkan masa menonton 'Tanyalah Ustaz' di TV9. Baru-baru ini seorang pemanggil yang saya agak seorang 'saudara baru' (berdasarkan namanya) bertanya ustaz apakah mudah untuk pemimpin (katanya dia merujuk pemimpin seluruh dunia) yang telah mencuri wang dan menzalimi rakyat melakukan taubat misalnya dengan pergi ke Makkah, memohon ampun.
Si bertanya kedengaran kurang senang dan menyoal adakah ini adil (berdasarkan pemahamannya) kerana begitu mudah orang 'bertaubat'...kalau begitu banyaklah orang lain boleh melakukan kezaliman termasuk 'mencuri' duit awam tetapi selepas itu bertaubat dan meminta ampun termasuk pergi ke Makkah.
Sang ustaz kelihatan tenang dan menjawab secara profesional...jelas membayangkan kewibawaan dan keikhlasannya. Beliau tidak menjawab persoalan itu secara terus tetapi memuzakarahkan hal ehwal berkaitan taubat secara umum.
Beliau berkata, ada tiga syarat bertaubat iaitu segera berhenti melakukan perkara dosa (maksiat), menyesal perbuatan lalu dan berazam tidak mengulanginya. Ini bagi kesalahan dengan Allah SWT tetapi jika kita bersalah dengan manusia ada satu lagi syarat iaitu berjumpa orang atau pihak terbabit, meminta maaf dan menyelesaikan apa-apa yang kita terhutang atau 'tercuri'.
Itulah, kata sang ustaz, berdosa kepada Allah SWT mudah kita memohon ampun, Allah SWT sangat suka kepada orang bertaubat tetapi kesalahan sesama manusia amat berat; jika kita ada terambil hak orang kita wajibkan pulangkannya.
Misalnya, sesiapa yang menyeleweng, pecah amanah atau menyonglap harta termasuk wang rakyat tidak kiralah RM1 atau berbilion-bilion ringgit, di samping meminta maaf dia perlu kembalikan wang itu. Dan jika orang atau pihak terbabit sudah meninggal dunia, wang itu perlu dipulangkan kepada waris dan jika waris pun susah dicari, dermakan wang itu dengan doa agar ganjaran pahala diberikan kepada orang terbabit. Tetapi jika dia tiba-tiba ‘muncul’ wangnya tetap perlu dikembalikan sekalipun kita sudah menderma kesemua wang berkenaan.
Jika kita bersalah mengambil wang individu dalam jumlah tak banyak, mungkin kita boleh pulangkan tetapi bagaimana kita songlap wang rakyat yang bukan sedikit tetapi berjuta-juta dan berbilion-bilion ringgit, bagaimana kita mahu mencari jalan keluar?
Demikian juga bagi kesalahan mendera orang termasuk rakyat dari segi fizikal seperti membantai mereka dalam tahanan atau menyembur gas asid di sesuatu perhimpunan atau mengenakan mereka cukai membebankan dan melampau, bagaimana kita mahu mendapat pengampunan? Allah tetap akan mengampunkan kita tetapi bagaimana dengan manusia termasuklah yang diadili secara palsu kerana kita menggunakan ‘saksi palsu’ dan ‘hakim korup’?
Demikianlah, kata seorang lagi ustaz dalam tazkirahnya yang penulis hadiri, kesalahan manusia sesama manusia amat berat. Apatah lagi pemimpin terhadap rakyatnya. Pemimpin perlu adil dan amanah kerana antara tujuh golongan yang mendapat lindungan Arasy Allah SWT adalah imam (pemimpin) yang adil.
Abu Hurairah r.a. meriyawatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Terdapat tujuh golongan yang akan mendapat lindungan Arasy-Nya pada hari yang tiada lindungan melainkan lindungan daripada-Nya. Mereka adalah imam (pemimpin) yang adil, pemuda yang masanya dihabiskan untuk beribadah kepada Allah SWT, seseorang yang hatinya terpaut pada masjid, dua lelaki yang berkasih sayang dan bertemu serta berpisah kerana Allah SWT, lelaki yang digoda perempuan cantik dan berpengaruh untuk melakukan maksiat tetapi dia menolak dengan mengatakan dia takutkan Allah, seseorang yang bersedekah dan menyembunyikannya sehingga tangan kanannya tidak mengetahui apa yang diberikan tangan kirinya, dan seseorang yang mengingati Allah ketika bersendirian sehinggakan mengalir air matanya kerana Allah SWT.” – Riwayat Imam Muslim
Setiap pemimpin dipertanggungjawabkan dan akan dipersoalkan di akhirat kelak. Maka bergembiralah mana-mana pemimpin yang dapat berlaku adil. Namun ingatlah kita semua adalah pemimpin kerana pemimpin adalah daripada setinggi-tinggi kedudukan (raja, presiden, perdana menteri) sehinggalah kepada seorang suami yang bertanggungjawab terhadap orang di bawah tanggungjawabnya dan hamba ke atas harta tuannya.
Pemimpin bertanggungjawab ke atas rakyatnya. Jika mereka adil, ganjaran hebat menanti mereka tetapi jika pemimpin zalim seperti makan rasuah, songlap duit rakyat dan menzalimi rakyat, rakyat perlu menggantikan mereka. Ini kerana sepanjang sejarah negara kita sukar menemui seseorang pemimpin sudi meminta maaf kepada rakyat seterusnya dengan rela meletakkan jawatan. Apa yang ada adalah pemimpin yang hendak berkuasa dulu, kini dan selamanya (menongkat langit).
Ya ramai pemimpin hari ini yang melakukan jenayah termasuk kleptokrasi sudah buta dan keras hati. Pemimpin jenis ini cakaplah apa saja pada mereka, mereka tidak peduli lagi. Cakaplah rasuah dan pemborosan berbilion-bilion ringgit, skandal itu skandal ini, mereka tidak ambil peduli pun. Mungkin mereka berfikir dengan bertaubat (malah media menyiarkan gambar mereka di Makkah), semuanya sudah 'settle'...malah rakyat pun 'terpesona' (melihat 'kealiman' mereka) dan akan memilih mereka sekali lagi dalam pilihan raya.
Namun seperti dinyatakan dengan tegas oleh sang ustaz; pemimpin jika sudah menzalimi rakyat termasuk mencuri wang mereka; penuhilah syarat taubat termasuk meminta maaf kepada setiap rakyat dan kembalikanlah hak mereka!
No comments:
Post a Comment