Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21)
MENJELANG pembentangan Bajet 2018 pada akhir Oktober ini, isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) turut mendapat tempat di hati rakyat dan pemimpin. Rakyat yang terbeban dalam suasana ekonomi sukar sekarang ini, sebahagian besarnya mahu GST sebanyak enam (6) peratus dihapuskan.
Pembangkang pula diuar-uarkan mahukan GST sifar (0) peratus. Kenapa sifar peratus dan tidak dihapuskan terus? Saya bertanyakan seorang yang arif mengenai perkara ini; jawapannya begitu memuaskan. Katanya, sistem, peralatan dan kelengkapan GST sudah ada, misalnya mesin pengira di kedai, jika GST dihapuskan, maka apa akan terjadi dengan 'kelengkapan ini' yang dilaporkan membabitkan wang berjuta-juta ringgit?
Kalau GST 0 peratus, operasi akan berjalan seperti biasa...tiada kos tambahan terbabit tetapi akan memberi faedah kepada orang ramai kerana pembelian barangan walaupun direkodkan oleh komputer pengira tetapi 'tidak kena' GST. Dan pada masa depan pula, jika dirasakan perlu untuk mengenakan GST yang rendah peratusnya seperti 2 peratus, sistem dan kelengkapan sudah ada, tidak perlu melabur wang berjuta-juta ringgit lagi.
Pada ketika rakyat marhaen begitu terbeban akibat GST ini (misalnya roti sebagai makanan harian dan bil elektrik dan air dikenakan GST) seorang pemimpin tertinggi 'berkokok';menyindir dan mempermainkan rakyat miskin dan golongan sederhana dengan berkata 'GST 6 peratus pun sudah bising, di India sana GST-nya adalah 28 peratus!
Hasil siasatan yang kemudian dilaporkan, mendapati dakwaan pemimpin ini 'separuh benar' kerana GST 28 peratus di India itu membabitkan barangan dan perkhidmatan mewah sedangkan barangan keperluan rakyat kadar GST-nya pelbagai dari 0 peratus, 5 peratus dan sebagainya.
Kita mahu memberitahu pemimpin, bahawa sekarang ini jika seorang ketua keluarga berpendapatan RM3,000 dan ke bawah, kehidupan mereka begitu tertekan...apatah lagi bagi mereka yang tiada pendapatan (seperti diberhentikan kerja) atau melakukan kerja empat kerat secara harian seperti menoreh getah, mengumpul dan menjual barangan terpakai...ya mungkin dapatlah mereka kurang RM500 sebulan...boleh dibuat apa dengan duit itu yang pasti tidak cukup untuk membuat set rambut isteri pemimpin!
Di sini sukacita kita mahu mencadangkan satu golongan yang pemimpin boleh cadangkan kadar GST tertinggi termasuk sehingga 100 peratus...mereka adalah ahli sufi iaitu orang yang tersangat dekat dengan Allah SWT. Golongan ini 'tak heran' lagi dengan dunia ini tetapi doa mereka sangat mustajab. Sila rujuk akan kisah ini dalam kitab Syarah Al-Hikam, Jilid 1(terjemahan dan syarahan Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri - Mufti Wilayah Persekutuan) muka surat 509-510.
Diceritakan ahli sufi termasyhur, Sariy al-Saqaty menemui Bahlul al-Majnun di sebuah perkuburan; dalam perbualan Sariy tersilap bertanya: "Wahai Bahlul, tahukah engkau harga roti sekarang sudah naik?"
Bahlul menjawab tegas dengan wajah yang muncung dan masam: "Demi Allah aduhai Sariy, aku tidak peduli berapa pun harganya....Itu bukan urusan kita...Apa yang seharusnya dianggap penting ialah kita mesti menyembah Allah SWT dengan sebaik-baiknya sebagaimana yang diperintahkan, nescaya Allah SWT akan mengurniakan rezeki-Nya sebagaimana yang dijanjikan. Harga roti naik atau turun bukan menjadi masalah, sebab walau apa pun keadaan yang berlaku sesungguhnya rezeki daripada Tuhan tetap ada."
Kepada pemimpin, kalau berani sila nyatakan perkara itu (seperti GST kadar tertinggi termasuk 100 peratus) kepada ahli-ahli sufi...nescaya mereka tak akan peduli pun tetapi ingat-ingatlah bahawa doa mereka tersangat mustajab...sekali mereka berdoa anda dilucutkan kuasa, maka TERPELANTINGLAH anda!
No comments:
Post a Comment