Tuesday, October 31, 2017

Titipan Seorang Pesara (3): 'Rumah kecil' di lereng bukit

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21) 


TIDAK lama dulu seorang rakan yang bekerja di 'oversea' (seberang laut) 'meng-e-mel' saya sebuah artikel panduan bagaimana untuk 'terus selamat' pada usia tua.

Artikel itu antara lain menyatakan: "Jika kamu tiada wang pada usia tua, tiada siapa, hatta anak kamu sekalipun tidak akan mendekati anda. Jika kamu tiada wang, isteri kamu pun tidak akan hormat kamu. 

"Jika kamu tiada wang ketika usia tua kamulah parasit. Wang boleh 'membeli kuasa' apabila kamu sangat perlukannya pada masa tua kamu. Tiada wang, tiada bicara! 

"Maaf, tetapi ini adalah benar! Tiada wang bermakna tiada 'sayang', tiada percutian, tiada kawan, tiada kehidupan sosial, tiada panggilan telefon, tiada e-mel, tiada apa-apa dan tiada wain." 

Apabila disebut 'wain' fahamlah kita bahawa ini adalah panduan hidup untuk orang bukan Islam. Bagi sesetengah mereka, wang adalah segala-galanya apatah lagi ketika menghadapi usia tua. Tiada wang tiada bicara. Apakah ini bermakna jika artikel ini tidak dibayar (tiada wang) saya akan memberhentikan pembicaraan.

Namun saya menyambung celoteh ini dengan niat 'LiLlahi Ta'ala' untuk memberi sumbangan 'tak seberapa' kepada ummah di atas kapasiti saya sebagai penulis. Orang Islam apatah lagi yang beriman sudah pasti tidak sama pegangan dengan orang bukan Islam yang melihat wang sebagai segala-galanya hatta pada hari tua.

Baru-baru ini secara kebetulan di sebuah masjid berdekatan rumah saya, sang ustaz memuzakarahkan bab melakukan persiapan menuju kematian. Peringatan ini sangat tepat untuk insan tua seperti saya yang sehari demi sehari semakin dekat untuk memasuki 'rumah kecil' di lereng bukit. Ya, kebanyakan tanah perkuburan di tanah air kita adalah di lereng bukit di belakang masjid, jadi rasanya tidak salah saya menamainya 'rumah kecil' di lereng bukit.

Sang ustaz mengingatkan jemaah supaya segera bertaubat. Ya bertaubatlah daripada dosa-dosa kecil dan besar. Allah SWT tersangat suka kepada hamba-Nya yang bertaubat...jika kita berjalan untuk mendapat keredaan dan pengampunan-Nya, Allah SWT akan 'berlari' kepada kita. Allah SWT menunggu-nunggu taubat hamba-Nya. Jika sudah tua dan sudah hampir memasuki 'rumah kecil' di lereng bukit, namun kita masih leka dengan kelazatan dunia seperti wang, dikhuatiri kita memasuki golongan malang seperti gelagat orang bukan Islam yang masih 'syok' dengan wang ringgit.

Kata sang ustaz betulkan imam kita agar 100 peratus bergantung kepada Allah SWT, kemudian belajar-belajarlah untuk meninggalkan dunia sebelum dunia benar-benar luput daripada diri kita. Ini tidak, kata sang ustaz, semakin tua semakin hebat kita mengumpul harta dunia yang pasti akan ditinggalkan; ya kebanyakan daripada kita mengejar 'benda' yang hendak ditinggalkan tetapi tidak kejar 'benda' yang akan dibawa bersama dalam 'rumah kecil kita' di lereng bukit!

Kata sang ustaz, pastikan kita adalah orang soleh sebelum kita masuk 'rumah kecil' kita dan akan lebih beruntung jika kita dapat meninggalkan anak-anak soleh (bukan namanya Salleh). Mereka inilah yang menepati hadis yang menyatakan tiga perkara yang terus memberi kebaikan kepada seseorang lepas kematiannya iaitu sedekah jariah, ilmu bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan orang tua mereka.

Banyak lagi pesanan sang ustaz; dinyatakan di sini sejumlah perkara seperti memperbanyak membuat amal kebajikan, menginfak harta benda dan masa untuk jalan Allah dan jangan lupa membetulkan ibadat kita terutama yang fardhu agar bertepatan dengan kehendak Allah dan Rasul-Nya.

Ya, orang bijak, kata sang ustaz adalah sentiasa mengingati 'rumah kecil'nya (ingat mati) dan melakukan persiapan untuk menghadapinya. Beliau memberi contoh jika kita mahu kahwinkan anak, mungkin kita buat persiapan enam bulan; mahu pergi haji pun bertahun-tahun persediaannya (seperti menyimpan wang dan pergi kursus) tetapi alangkah malang jika masuk 'rumah kecil' tanpa persediaan.

Sang ustaz memberi amaran bahawa pergi haji atau melancong 'overseas' ada tiket pergi dan balik tetapi untuk masuk 'rumah kecil' di lereng bukit ada tiket pergi tetapi tak ada tiket balik. Orang putih kata 'one way journey'...jadi wahai pembaca bijaksana, lakukanlah persediaan sebaik mungkin untuk ke 'rumah kecil' anda yang boleh berlaku pada bila-bila masa hatta ketika atau selepas membaca celoteh ini!

No comments: