Monday, October 9, 2017

Tolak pemimpin katak, sumpah-sumpah...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21)


BARU-BARU ini heboh seorang bekas pemimpin kanan sebuah parti melompat balik ke parti lamanya. Asalnya dari kumbahan, melompat keluar dan akhirnya masuk balik ke dalam kumbahan. Kata orang Utara, wal hasil balik asal. 


Pemimpin seumpama ini yang cenderung melompat adalah bagai katak manakala yang menukar warna adalah bagai sumpah-sumpah; sehubungan itu orang yang memilih pemimpin (pengundi) perlu berwaspada.


Jika kita menyoroti sejarah, ketika Perang Teluk pertama dulu (1991) imej Presiden Iraq, Saddam Hussein, berteleku di sejadah menarik umat dan negara Islam. Ada pihak mengumpamakan Saddam dan Iraq yang ketika itu menghadapi serangan pakatan lebih 20 negara, seperti Nabi Muhammad s.a.w. dan tentera Muslimin menghadapi pasukan orang Quraisy dan Yahudi yang mengepung Madinah dalam Peperangan Ahzab.

Demikian betapa bijak bekas Presiden Iraq itu bermain imej dan PR dengan memprojek dirinya sebagai pahlawan dan pemimpin umat Islam. Seluruh dunia Islam terpukau dan tersentuh dengan gambaran betapa abidnya Saddam.

Di negara kita pula, berdasarkan pilihan raya umum lalu ada sejumpah gambar pemimpin ditunjukkan berteleku dan berdoa menghiasi poster dan banner pilihan raya, menghiasi lebuh raya, jalan raya dan lorong. Pemimpin ini 'tidaklah baik sangat' tetapi mahu mempamerkan 'kealimannya'.

Pemimpin yang 'gemar' melompat diibaratkan katak manakala mereka yang suka menukar-nukar wajah bagaikan sesumpah (sumpah-sumpah) yang boleh menukar warna berdasarkan persekitarannya. Jika dahan pokok ditumpanginya berwarna kelabu, ia akan tukar menjadi kelabu, jika pokok itu coklat, dia akan bertukar warna coklat. 

‘Lompatan’ ketika hampir pilihan raya, membayangkan banyak perkara tidak kena dan beres oleh ‘si katak’. Tentunya dengan membuat pengumuman acara ‘melompat’ di melalui media massa, orang yang berfikir dapat membayangkan hasrat ‘si katak’ – dia ini hendak merebut apa sebenarnya - kemasyhuran, pangkat atau pun harta?

Hakikatnya, ‘si katak’ hanya mendapat publisiti pada hari dia ‘melompat’ dan pada masa dia diperlukan. Kalau dia tidak diperlukan, dia akan ‘terbenam’ terus dalam kolam lumpurnya atau kolam kumbahannya. Perhati dan amat-amati nasib ‘seekor dua katak lompat’, masa pilihan raya barulah dia keluar untuk ‘membuat bising’ (kuang-kuang) tetapi selepas itu dia dilupakan.

Selain itu, ketika musim pilihan raya banyak sumpah-sumpah berkeliaran dalam masyarakat. Mereka 'beraksi' sebelum menjadi calon dan selepas menjadi calon. Bagi calon-calon, masa meraih undi inilah kita nak tergelak tengok mereka tunjuk aksi pandai tunggang motosikal, basikal, naik becalah, masuk bawah kolong rumah oranglah dan masuk bendanglah. 

Adegan ini masa meraih undi saja, lepas mereka jadi wakil rakyat, jadi YB jangan haraplah mereka buat kerja itu. Nanti dikatakan YB gilakah masuk bawah rumah orang? Tanyalah pada calon pemimpin yang pernah beraksi menoreh getah dan menangkap ikan, benarkan mereka mahu menjadi petani atau nelayan?

Itulah namanya, banyak orang sudah jadi sumpah-sumpah pada masa pilihan raya. Binatang jenis sesumpah ini berlakon saja. Berlakon baik apabila diperlukan baik, dan berlakon jahat apabila diperlukan jahat. Itu depan orang, belakang orang siapa tahu? Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. 

Kalau dah tahu begitu tak baiknya spesies sesetengah calon, buat apalah dipilih pemimpin jenis sesumpah ini? Banyak orang kata, mereka mengikut saja. Orang undi pemimpin itu, aku pun undilah. Ketua kampung, imam kampung, pengerusi JKKK dan tok siak kampung pilih dia maka aku pun pangkahlah. Orang kata Pak Mat tu baik, aku pun pangkah Pak Mat.

Orang yang jenis ikut-ikut ini hendaklah takut akan ayat-ayat Allah, seperti Al-A'Raaf ayat 38-39 ini yang bermaksud: "...berkata golongan akhir (pengikut) mengenai golongan pertama (ketua) "Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang menyesatkan kami, oleh itu berilah azab seksa yang berlipat ganda dari neraka." Allah berfirman "kamu masing-masing disediakan azab seksa yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui." Dan berkata golongan ketua di antara mereka kepada golongan pengikut "Jika begitu tidak ada bagi kamu sebarang kelebihan atas kami." Allah berfirman "rasalah kamu azab seksa disebabkan apa yang telah kamu usahakan."

Demikianlah, janganlah diundi pemimpin dan calon sumpah-sumpah dan katak ini. Jangan fikir kita boleh terlepas tangan dengan perbuatan zalim dan kesesatan (seperti mengenakan cukai menindas) pemimpin jenis ini sedangkan kita relakan tangan kita mengundi mereka. 

Oleh itu berfikirlah sebelum mengundi, bagaimana mahu menyelamatkan diri, anak isteri, masyarakat dan negara daripada azab Allah SWT sebelum memangkah undi nanti. Ya, PRU-14 sudah terlalu dekat; jadi bersedialah dari segi mental dan fizikal termasuk bagi menghadapi 'ancaman' sang katak dan sumpah-sumpah yang semakin banyak 'berkeliaran' sekarang ini!

No comments: