Friday, September 29, 2017

U Masjid (38): Ke masjid buat kali pertama dan terakhir...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21) 

KETIKA menatap akhbar Harakah keluaran terbaru (Bilangan 2281, 18-21 September 2017) terasa sedih membaca berita sahabat penulis, Mohd Nasir Awang meninggal dunia baru-baru ini dalam usia 52 tahun.

Teringat penulis kolum beliau kerap 'bergandingan' dengan kolum penulis sama ada di muka sebelah atau di bahagian bawah atau atas artikel penulis dalam akhbar Siasah. Wahai pembaca, marilah kita bersama-sama membaca surah Al-Fatihah untuk Allahyarham, semoga Allah SWT merahmati rohnya dan ditempatkan di kalangan syuhada, sadikin dan salihin. Amin.

Allahyarham meninggal dalam usia agak muda malah muda kira-kira tiga tahun berbanding penulis yang genap 55 tahun Februari lalu. Ya, ajal, jodoh malah semuanya adalah di 'tangan' Illahi; teringat penulis dengan pertemuan singkat dengan Ketua Unit Teknikal Harakah, Abu Hanifah Abdul Rahman (Pak Abu) minggu lalu yang mengkhabarkan ada sahabatnya yang meninggal dalam usia 40-an dan 50-an.

Jadi, wahai pembaca sentiasalah ingat akan kematian, kita boleh dijemput-Nya pada bila-bila masa. Buatlah persiapan kerana ada sebuah hadis menyebut orang bijak adalah yang 'mempersiapkan diri' untuk kematiannya.

Namun sepanjang hidup penulis, dapat disaksikan ada Muslim yang tidak ingat langsung akan kematiannya apatah lagi bersedia menghadapinya sebagai contoh mereka ini tidak pernah menjejakkan kaki di masjid hatta untuk solat Jumaat malah dua hari raya pun!

Demikianlah betapa 'beratnya' kaki mereka untuk melangkah ke masjid tetapi satu hakikat pedih yang dapat disaksikan penulis, apabila mati, jenazah mereka diusung ke masjid untuk disolatkan dan kemudian dengan cepat dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

Akhirnya, sebagai seorang Muslim dia akhirnya ke masjid tetapi itulah kali yang pertama dan terakhir. Persoalanya mengapa seseorang itu begitu 'degil' untuk ke masjid. Seorang ustaz cuba menjawabnya dengan membacakan ayat 17-23 Surah 'Abasa yang bermaksud: 17."Celakalah manusia! Alangkah kufurnya dia18. Dari apakah Dia (Allah) menciptakannya? 19. Dari setitis mani, Dia menciptakannya lalu menentukannya20. Kemudian jalannya Dia mudahkan21. kemudian Dia mematikannya lalu menguburkannya22. kemudian jika Dia menghendaki, Dia membangkitkannya kembali23. Sekali-kali jangan begitu! Dia (manusia) itu belum melaksanakan apa yang Dia (Allah) perintahkan kepadanya."

Bagi insan yang sudah 'jatuh cinta' kepada masjid, sebagai contoh jemaah haji yang 'tidak lekang' menjadi 'penghuni setia' Masjidilharam dan Masjid Nabawi, kekalkan 'kecintaan' kepada masjid apabila kembali ke tanah air.

Kini jemaah haji berbondong-bondong meninggalkan Tanah Suci Makkah dan Madinah, malah ada yang sudah berada di tanah air. Diucapkan selamat kembali kepada mereka, semoga dikurniakan haji mabrur yang balasannya tiada lain, kecuali syurga.

Apabila berada di tanah air, kenangan jemaah bergegas dan berpusu-pusu menyertai solat waktu di Masjidilharam dan Masjid Nabawi pasti sukar dilupakan. Demikian juga kenangan ke masjid pertama didirikan Nabi Muhammad s.a.w. iaitu Masjid Quba’ pasti sentiasa dalam ingatan. Berkenaan masjid ini, Allah SWT berfirman dalam Surah At-Taubah ayat 108, bermaksud: “Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba’) sejak hari pertama adalah lebih patut kamu bersembahyang di dalamnya.”

Sewajarnyalah kebiasaan jemaah haji bergegas ke Masjidilharam dan Masjid Nabawi untuk solat waktu berjemaah dilanjutkan ketika berada di tanah air. Ini kerana ada banyak kelebihan jika seseorang dapat solat berjemaah di masjid termasuk bersegera ke sana. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari menyebut: Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang maksudnya; “Jika sekiranya manusia mengetahui betapa besarnya kelebihan datang awal ke masjid untuk solat fardu berjemaah, nescaya mereka akan berlumba-lumba melakukannya.”

Apa diharapkan keghairahan ke masjid ini dapat dikekalkan insan bergelar haji. Mereka perlu mengekalkan momentum segera ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah pada setiap waktu. Malah ada ganjaran istimewa menanti seorang ‘kaki masjid’ sehingga ada sebuah hadis Rasululullah s.a.w. menyebut mereka adalah salah satu daripada tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah SWT pada hari kiamat nanti.

No comments: