Monday, June 12, 2017

Bantuan: Beri saja, jangan banyak cerita...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
*********
BUKU TERBUKA UNTUK JUALAN
4. Tajuk: Di Dalam Lembah Kehidupan
Penulis: Prof Dr Hamka 
Penerbit: Pustaka Dini
Muka surat: 207 (Harga asal dibeli RM17)
Hanya RM10 (termasuk belanja hantaran pos biasa)
Penilaian LanH terhadap buku ini yang sudah dibaca beliau: Sangat bagus
***********
3. Tajuk: Keadilan Ilahi
Penulis: Prof Dr Hamka 
Penerbit: Pustaka Dini
Muka surat: 123 (Harga asal dibeli RM13)
Hanya RM10 (termasuk belanja hantaran pos biasa)
Penilaian LanH terhadap buku ini yang sudah dibaca beliau: Sangat bagus
****************
2. Tajuk: Rahsia Madinah (Jejak Rasul 2)-----------(XXXXXXXXX  MAAF, SUDAH DIJUAL)
Penulis: Khalil Ibrahim Mulla Khothir 
Penerbit: Al-Hidayah Publishers
Muka surat: 218 (Harga tertulis di buku RM14)
Hanya RM10 (termasuk belanja hantaran pos biasa)
Penilaian LanH terhadap buku ini yang sudah dibaca beliau: Sangat bagus
********
1. Tajuk: Rahsia Mekah (Jejak Rasul 1)-------------(XXXXXXXXXXXX MAAF, SUDAH DIJUAL)
Penulis: 'Atiq bin Ghaits Al-Biladi
Penerbit: Al-Hidayah Publishers
Muka surat: 300 (Harga tertulis di buku RM15)
Hanya RM10 (termasuk belanja hantaran pos biasa)
Penilaian LanH terhadap buku ini yang sudah dibaca beliau: Sangat bagus
***************

PADA Ramadan dan di ambang Aidilfitri ini, pelbagai pihak termasuk agensi kebajikan penguasa seperti Pusat Zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat memberi bantuan kepada golongan kurang berkemampuan. 

Syabas diucapkan kepada pihak-pihak prihatin ini, namun jika kita amat-amati kebanyakan daripada bantuan disampaikan dalam majlis dihadiri 'orang-orang besar' yang kos mengadakan juga dikhuatiri besar!

Berhubung perkara ini, kita tertarik dengan pandangan Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli bahawa masyarakat kita perlu keluar daripada kepompong kebiasaan yang merugikan. Amat-amatilah antara pandangan beliau: "Kongres Nasional KEADILAN ke-12 banyak menampilkan kelainan berbanding perhimpunan agung tahunan parti-parti lain."

Beliau berkata, kongres yang diadakan baru-baru ini hanya sehari, ucapannya singkat dan masanya singkat jadi tidak banyaklah masa memuji-muji pemimpin. Kos menganjurkan kongres pun tidak tinggi -  hanya kira-kira RM150,000!

Ya, berhubung pemberian bantuan kepada golongan kurang berkemampuan, alangkah 'moleknya' jika pihak berkenaan terutama agensi pihak berkuasa dapat lari daripada kebiasaan - utamakan matlamat iaitu menyampaikan bantuan - tanpa 'menyibukkan diri' mengadakan majlis meriah - yang kosnya seperti pemasangan khemah, hiasan, logistik dan jika ada jamuan - siapa yang menanggungnya?

Apa yang penting dalam pemberian bantuan, mereka yang layak mendapat bantuan itu; ia boleh disampaikan terus kepada penerima tanpa 'disibukkan' mereka pergi ke majlis keraian, dikhuatiri  untuk ke upacara itu si penerima perlu menambah kos seperti tambang pengangkutan awam terutama teksi yang tinggi dan 'mencuri' masa bekerja mereka seperti menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

Pada era teknologi serba canggih sekarang ini, tentunya pihak terbabit mempunyai data lengkap penerima dan dapat mengesan mereka dengan mudah bagi menyampaikan bantuan, atau penerima sendiri boleh mengambil bantuan itu di pejabat...jadi tidak perlulah mereka beramai-ramai dihimpunkan pada majlis yang kerap dijadikan pentas untuk merayu sokongan politik!

Pada bulan Ramadan sekarang ini antara perkara 'diuar-uarkan' adalah mengenai kewajipan melunaskan zakat fitrah. Kempen membayar zakat diperhebatkan; jadi eloklah kita merenung sejenak hal mengenai zakat ini.

Jika kaunter pungutan zakat ‘berada di mana-mana’, kaunter pengagihan (beri) zakat seolah-olah ‘tidak ada di mana-mana’. Pengalaman saya berinteraksi dengan sejumlah saudara kita (baru) membayangkan betapa sukarnya mereka mendapatkan ‘wang zakat’ – sudah beberapa kali saya dirayu membawa mereka ke masjid-masjid bagi membolehkan mereka meraih simpati jemaah selepas solat berjemaah.

Zakat adalah salah satu daripada Rukun Islam, tidak mempercayai dan mengamalkannya menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada Islam. Malah antara perkara pertama dilakukan oleh Sayidina Abu Bakar As-Sidiq selepas dilantik menjadi khalifah adalah memerangi golongan yang enggan mengeluarkan zakat.

Dalam harta orang kaya itu terdapat hak orang miskin; mereka yang cukup syarat-syaratnya wajib mengeluarkan bahagian tertentu daripada nilaian harta tersebut. Sekali lagi diulang bahawa dalam harta seseorang itu ada hak orang yang berhak mendapatkannya.

Orang yang berhak ke atasnya ada lapan golongan yang diistilahkan sebagai asnaf sebagai firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah Ayat 60 yang bermaksud: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Wang zakat ini perlu dikeluar dan diberikan kepada asnafnya apabila sudah cukup syarat-syaratnya. Ertinya keluarkan dan berikan saja kepada golongan yang berhak tanpa diambil kira musim dan sebagainya. Kalau kita boleh memperbanyakkan kaunter kutipan zakat, kenapa pada masa yang sama tidak boleh memperbanyak kaunter mengagih zakat. Jangan ditahan wang zakat, beri saja kepada asnafnya.

Orang yang ada dalam simpanannya harta yang diwajib dikeluarkan zakat mengikut syaratnya, tetapi menangguh-nangguhkan pada masa yang kononnya sesuai mengikut jadual mereka seperti hari ulang tahun kelahiran atau hari kebesaran lain, mereka hanya mengundang ancaman daripada Allah SWT. Ertinya, dalam bab zakat ini, berikan saja kepada golongan yang berhak sebab mereka ada hak di atas harta itu, jangan banyak dolak-dalih.

Sehubungan itu, kita menasihatkan diri kita sendiri dan pihak penyampai (bantuan) zakat (pihak berkuasa) janganlah menahan-nahan wang zakat ini dan hanya tergerak untuk memberikannya pada majlis-majlis yang mereka ada kepentingan seperti menjelang pilihan raya. Sedarlah wang zakat itu adalah hak asnaf berkaitan, jadi berikan hak mereka yang berhak tanpa cuba mengeksploitasinya untuk kepentingan diri, pemimpin dan parti politik kita.

Berhubung dengan kehebatan zakat ini, kita berpendapat alangkah eloknya projek-projek pembangunan dan bantuan daripada pihak berkuasa (berada) yang mahu disampaikan kepada rakyat, mencontohi falsafah zakat – berikan hak kepada mereka yang berhak tanpa mempedulikan imbalan yang mahu diraih, misalnya mencari keuntungan dalam kempen pilihan raya.

Sehubungan itu adalah tidak perlu untuk menghebahkan projek itu dan projek ini dan menyibuk mengagih-agihan bantuan menjelang sesuatu pilihan raya. Apabila ini dilakukan maka akan timbul tanggapan bahawa perkara dilakukan tidak ikhlas, ada udang di sebalik batu atau terus terang dikatakan berlaku rasuah politik bagi menggula-gulakan rakyat.

Alangkah indahnya jika dikuti falsafah zakat tadi, ada hak rakyat dalam perolehan pemerintah yang sesetengah pihak mendakwa berbilion-bilion ringgit yang perlu diberikan kepada yang berhak dengan segera. 

Tidak kiralah mereka menyokong kita atau tidak, selagi mereka berhak (jika dalam kes zakat disebut asnaf), berikan hak itu kepada mereka. Usahlah buat-buat sibuk mahu mengagih-agihan hak rakyat ini masa kempen pilihan raya, berikan saja kepada yang berhak akan hak mereka, jangan banyak cerita...

No comments: