Monday, May 29, 2017

Politik wang juga rasuah...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199
*********
BUKU TERBUKA UNTUK JUALAN
4. Tajuk: Di Dalam Lembah Kehidupan
Penulis: Prof Dr Hamka 
Penerbit: Pustaka Dini
Muka surat: 207 (Harga asal dibeli RM17)
Hanya RM10 (termasuk belanja hantaran pos biasa)
Penilaian LanH terhadap buku ini yang sudah dibaca beliau: Sangat bagus
***********
3. Tajuk: Keadilan Ilahi
Penulis: Prof Dr Hamka 
Penerbit: Pustaka Dini
Muka surat: 123 (Harga asal dibeli RM13)
Hanya RM10 (termasuk belanja hantaran pos biasa)
Penilaian LanH terhadap buku ini yang sudah dibaca beliau: Sangat bagus
****************
2. Tajuk: Rahsia Madinah (Jejak Rasul 2)-----------(XXXXXXXXX  MAAF, SUDAH DIJUAL)
Penulis: Khalil Ibrahim Mulla Khothir 
Penerbit: Al-Hidayah Publishers
Muka surat: 218 (Harga tertulis di buku RM14)
Hanya RM10 (termasuk belanja hantaran pos biasa)
Penilaian LanH terhadap buku ini yang sudah dibaca beliau: Sangat bagus
********
1. Tajuk: Rahsia Mekah (Jejak Rasul 1)-------------(XXXXXXXXXXXX MAAF, SUDAH DIJUAL)
Penulis: 'Atiq bin Ghaits Al-Biladi
Penerbit: Al-Hidayah Publishers
Muka surat: 300 (Harga tertulis di buku RM15)
Hanya RM10 (termasuk belanja hantaran pos biasa)
Penilaian LanH terhadap buku ini yang sudah dibaca beliau: Sangat bagus
***************

MEMBACA akhbar harian akhir-akhir ini ternyata terlalu banyak tangkapan membabitkan rasuah. Apa yang 'menarik' kebanyakan kes membabitkan penjawat awam termasuklah anggota polis, imigresen sehingga kepada guru sekolah dan pegawai zakat agama negeri...

Persoalannya, mengapa 'terlalu kurangnya' tangkapan ke atas orang atau lebih tepat lagi tokoh politik yang berterusan mengamalkan 'politik wang' dan menjelang pilihan raya bersikap lebih 'agresif' sehingga sanggup mengungkapkan 'I help you, you help me' (saya tolong awak, awak tolong saya).

Wikipedia Bahasa Melayu (ensiklopedia bebas) mendefiniskan politik wang sebagai RASUAH bagi perlakuan mengunakan wang ringgit dalam sesuatu pertandingan (seperti pilihan raya) atau dalam mempengaruhi seseorang ahli atau perwakilan bagi meraih sokongan terhadap seseorang calon yang bertanding merebut jawatan yang dipertandingkan.

Secara mudah politik wang adalah wang tunai diberikan kepada pengundi bagi mendorong mereka mengundi calon berkenaan. Selain wang, pemberian berbentuk hadiah, barangan 'mudah bawa' seperti kain pelikat / kain batik, dan pemberian tender atau kontrak tertentu jika bertujuan mempengaruhi pengundi, juga digolongkan sebagai politik wang. Malah akhir-akhir ini ada sanggup 'merasuah' dengan barangan berharga seperti peti sejuk dan televisyen!

Rasuah merupakan suatu jenayah atau kesalahan undang-undang di mana seseorang mendapat kebebasan, kontrak atau keistimewaan (favours) daripada pihak berkuasa atau sesebuah syarikat selepas memberi wang, hadiah, keraian kepada pihak-pihak tersebut.

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdapat empat kesalahan rasuah yang utama:
* Meminta/Menerima Rasuah
* Menawar/Memberi Rasuah
* Membuat Tuntutan Palsu
* Menyalahguna Jawatan/Kedudukan

Pemberian rasuah jika tidak dibendung akan mengakibatkan banyak masalah sosial kerana undang-undang tidak akan dipatuhi dengan sepenuhnya. Maka kegiatan jenayah dan ketidakadilan akan berleluasa.

Jika politik wang adalah rasuah, maka mereka yang memberi wang politik adalah perasuah manakala mereka yang memakan wang politik adalah penerima rasuah. Perkara ini tersangat jelas, tetapi mengapa pihak-pihak tertentu begitu gemar menggunakan istilah politik wang, tidak rasuah.

Nampaknya begitulah keadaannya, seseorang yang telah pun didapati bersalah mengamalkan politik wang oleh partinya sendiri, kelihatan telah bersih kerana apalah salah sangat politik wang. Sedangkan kalau dia dicop sebagai perasuah, kesannya sangat besar, mungkin orang akan ingat kesalahannya sepanjang hayatnya.

Pemberian barangan kecil seperti kain pelikat dan batik juga diistilahkan sebagai politik wang, jadi tidak nampak sangat kesalahannya. Mengapa semua ini tidak dikatakan rasuah saja? Mengapa mesti bersembunyi di belakang istilah politik wang?

Orang kampung (pengundi) jika dikatakan dia dihadiahkan kain pelikat atau kain batik, dia tidak akan terasa apa-apa tetapi jika dikatakan dia dirasuah dengan kain batik, dia akan marah. Apatah lagi jika dikatakan dia makan duit rasuah.

Jika memberi kain batik saja sudah rasuah, apatah lagi janji-janji tender, kontrak, pembangunan, infrastuktur dan sebagainya. Tetapi perkara inilah yang terjadi pada setiap kali pilihan raya.

Orang politik bijak menipu rakyat, mereka bermain bahasa; mereka menamakan rasuah sebagai politik wang. Istilah politik wang telah mengurangkan kejijikan kepada rasuah; sesetengah orang dan pihak melihatnya sebagai tidak ada apa-apa (bukan satu kesalahan), jadi mereka yang terbabit masih kekal di jawatan tertinggi parti dan juga kerajaan.

Orang ramai juga tidak bertindak apa-apa walaupun pelaku rasuah politik kekal di jawatan tertinggi sedangkan di negara yang maruah dan harga diri amat dipentingkan seperti Jepun dan Korea Selatan sudah lama pemimpin terbabit meletakkan jawatan malah membunuh diri.

Islam memandang berat kesalahan rasuah. Abdullah bin ‘Amr bin Ash menceritakan, bahawa dulu ada seorang dalam pasukan perang Rasulullah SAW seorang lelaki yang digelar ‘karkaroh’. Orang tersebut meninggal, lalu Nabi SAW bersabda: “Dia masuk neraka.” Pada sahabat pergi melihat orang tersebut, ternyata mendapati orang itu melakukan rasuah dengan mengambil rampasan perang.” (Hadis riwayat Imam Bukhari)

Hadis di atas menegaskan sesiapa pun yang melakukan rasuah kelak dia akan masuk neraka. Tidak peduli dia seorang pegawai kerajaan (seperti pegawai polis, imigresen, guru dan pegawai zakat) atau pemimpin masyarakat atau negara yang kononnya banyak berjasa. Ini kerana mereka, termasuklah menteri dan pegawai sudah dibayar gajinya dan menerima pelbagai kemudahan daripada negara.

Seorang yang turut berjuang dengan Rasulullah s.a.w. tanpa digaji saja, setelah terbukti rasuah dihukum masuk neraka. Mudah-mudahan hadis ini membangkitkan keinsafan kita untuk berhati-hati dalam mencari wang – usah makan harta orang terutama duit rakyat secara haram tidak kita sikit apatah lagi banyak sehingga berbilon-bilion ringgit! Persoalannya sekarang kenapa tangkap bilis dan tidak jerung di persada kuasa?

No comments: