****************************** DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ***************************** Renungan ****************************** "Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari)
SEBAGAI penulis bebas, daripada sejumlah penerbitan yang saya ada hubungan, SUARA KEADILAN adalah yang terbaik dalam komunikasi sama ada dalam mengucapkan terima kasih apabila rencana sudah diterima atau mengumumkan pembayaran sudah dilunaskan.
Lihatlah contoh ini - (1) Bayaran rencana sudah masuk semalam, Linda SK. (2) As salam, hari ni dah 'bank in' RM200. Ni Wanti guna e-mel Linda. Bermula bulan depan Linda akan uruskan bayaran untuk honorium (honorarium) menggunakan e-mel ini. Saya dah 'tender resignation'. Terima kasih, Wanti. (3) Waalaikumusalam, terima kasih...(respons segera selepas menerima rencana). (4) Waalaikumusalam..awal ya minggu ni..trm kasih (maklum balas selepas saya hantar rencana awal sebab mahu pergi bercuti).
Suara Keadilan adalah yang terbaik dalam melunaskan pembayaran honorarium; rencana-rencana yang disiarkan pada satu-satu bulan dibayar pada bulan berikutnya, biasanya sebelum 10 haribulan. Saya seorang yang sukar membuat pujian, tetapi usaha Suara Keadilan berhak mendapat pujian ini sejajar dengan sebuah hadis; daripada Abdullah ibn Umar, katanya, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda bermaksud: "Berikan kepada seorang pekerja upahnya sebelum keringatnya kering." (Riwayat Ibnu Majah, hadis ini shahih)
Ya, wahai pembaca...syabas kita ucapkan kepada petugas Suara Keadilan kerana menzahirkan nilai-nilai murni dalam Islam. Nilai-nilai Islam bersifat universal, untuk diamalkan oleh Muslim dan orang yang belum lagi Muslim. Apa yang diluahkan seperti ucapan 'Assalamualaikum', 'terima kasih', bertanya khabar, meminta maaf dan memaklumkan perkembangan nampak kecil bagi kebanyakan manusia tetapi hakikatnya adalah tersangat besar dalam pembinaan tamadun manusia apatah lagi di sisi Allah SWT.
Tamadun manusia yang hebat-hebat bermula daripada perkara-perkara yang dianggap kecil ini. Sekalipun tamadun Barat yang kita saksikan di ambang keruntuhan sekarang ini, jika kita berkunjung ke negara-negaranya seperti Britain kita tak lekang bertemu dengan orang yang memberikan ucapan 'good morning', 'thank you', 'excuse me', 'please' dan sebagainya sekalipun kita tidak kenal mereka.
Demikian juga dari segi disiplin, mereka masih hebat walaupun ramai yang sudah 'tersasar' seperti mabuk dan sebagainya. Beratur lurus membeli tiket, membuat pembayaran di kaunter, menaiki pengkangkutan awam adalah senario biasa...Ketepatan masa seperti mesyuarat dan perjalanan pengangkutan awam tetap menjadi amalan. Ya Barat masih hebat...dulu seorang sarjana Islam, ada mengungkapkan bahawa nilai Islam 'terzahir' di Barat tetapi tidak di negara umat Islam!
Sekarang ini kita masih di permulaan tahun baru, apa kata kita cuba ubah secara beransur-ansur sikap terutama kebiasaan kita. 'Kezahiran' nilai mulia tetapi mudah seperti ucapan 'terima kasih' oleh petugas Suara Keadilan perlu dicontohi semua pihak terutama organisasi dan syarikat hatta yang mendakwa Islamik sekalipun kerana mereka (maaf kata), jarang atau tidak pernah pun berbuat demikian. Panggilan telefon ke pejabat mereka begitu sukar 'masuk', jika ada yang mengangkat telefon, tiada ucapan ceria manakala layanannya 'bina tak bina saja'!
Demikian juga soal membabitkan kewangan seperti membuat pembayaran atau membayar hutang...banyak pihak culas dan lewat dalam membereskan hak-hak pihak dan orang lain. Banyak pihak melihat perkara ini remeh-temeh, kononnya matlamat mereka hebat-hebat belaka seperti mendapat kuasa, memperkasa agama, memajukan rakyat dan menggandakan keuntungan; hakikatnya kemuncak kejayaan hakiki wajiblah bermula daripada perkara paling dasar termasuklah betul dari segi akidah.
Sekarang ini kita perhatikan, ramai orang dan pihak lebih banyak beretorik daripada membuat pengamalan. Kononnya mereka akan 'berbuat begitu begini selepas mendapat kuasa', hakikatnya kebaikan boleh dilakukan oleh semua orang...takkan ucapan seperti ' Assalamualaikum', 'terima kasih' dan memberi senyuman pun tidak boleh diamalkan!
Malahan kita dapati ucapan 'minta maaf' pun sukar diucapkan oleh 'orang besar' hatta 'golongan agamawan' sekalipun, misalnya jika mereka terlewat sampai ke sesuatu majlis termasuk tazkirah sedangkan hadirin sudah lama menunggu! Jika ada 100 orang dan masa menunggu 30 minit, masa dihabiskan adalah 3,000 minit bersamaan 50 jam!
Mereka pandai bercakap..."demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian" tetapi apabila mereka 'menghabiskan masa orang awam' mereka tak rasa bersalah pun! Ya, sukalah diingatkan kepada diri sendiri dan semua orang, bikinlah seperti mana yang dicakap (atau cakap serupa bikin), itulah salah satu daripada nilai-nilai murni dalam agama kita yang suci!
No comments:
Post a Comment