****************************** DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ***************************** Renungan ****************************** "Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari)
HUJUNG minggu lalu saya menghadiri satu majlis perkahwinan di Kelana Jaya. Saya dapati selain Lebuhraya Utara-Selatan, jalan raya di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya banyak dipasang pondok tol. Sekejap-sekejap bayar tol. "Berapa banyak mahu bayar tol dah..." bisik hati saya.
Apabila kerap membayar tol teringat saya coretan seorang pembaca kolum ini. Beliau mengulas artikel saya yang lalu. Antara lain beliau menulis: "Membaca makalah LanH (Harakah 18-20 Disember 2015, 5-8 Rabiulawal 1437) dalam kolum ini bertajuk 'Turki boleh, Malaysia lagi boleh' membuatkan saya senyum simpul."
Dalam tulisan saya 'Turki boleh, Malaysia lagi boleh' saya catatkan bahawa di Turki lebuh rayanya hampir semua bebas tol. Jika pemerintah Turki boleh mengadakan lebuh raya bebas tol, Malaysia lagi boleh...bukankah Malaysia sebuah negara kaya raya, bahkan akan jadi negara maju pada 2020!
Dalam coretannya, pembaca veteran itu menulis: "Sebelum Merdeka (1957), untuk menyeberang Sungai Batu Pahat dan Muar, kita kena naik feri. Setelah merdeka, kerajaan buat jambatan, kita kena tol 50 sen.
"Setelah hutang buat jambatan daripada Bank Dunia selesai, tol dimansuhkan. Demikianlah sangat elok sikap dan tindakan pemimpin dulu. Jika pemimpin dulu (bapa PM sekarang) boleh mansuhkan tol, pemimpin sekarang (si anak) lebih-lebih lagilah boleh. Kita harap si anak ikutlah jejak mulia si bapa.
"Namun tol sekarang bukan dimansuh atau diturunkan. Makin lama makin naik. Bertuah kalau dihapuskan. Sepanjang lebuh raya dipasang 'lukah' di tempat genting.
"KL lagi teruk. Bukan pasang 'lukah' tetapi 'bubu' atau 'belat'. Dari Bukit Jalil saya ke rumah anak untuk tengok cucu, entah berapa banyak tol. Kalau satu tol RM1.90, 10 tol sudah berapa? Itu pergi saja...takkan tak balik. Kasihan orang KL, hidup mereka macam mana?
"Turki boleh demi denyut nadi rakyat. Malaysia macam tak boleh sebab tol sumber rezeki 'si Algojo' agaknya."
Mengenai kehidupannya sekarang, pembaca veteran itu menulis: "Saya tinggal di rumah berdua dengan isteri, maklumlah anak-anak semua sudah berkahwin dan membina kehidupan mereka sendiri.
"Sebelum ini, bayaran bil air saya belasan ringgit saja tiap-tiap bulan. Pada Oktober 2015, meter air rumah saya ditukar. Pada November 2015 saya kena bayar bil RM117.89, pada Disember 2015 bilnya RM87.98. Adakah dosa saya?
"Cukai tanah naik daripada RM45 kepada RM90 - sekali ganda. Cukai pintu setengah tahun naik daripada RM68.40 kepada RM157 - lebih sekali ganda. Duduk rumah sendiri pun macam tinggal di rumah sewa - kena keluar banyak duit!"
Demikianlah wahai pembaca, kehidupan sekarang ini sangat mencabar. Beberapa hari sebelum sesi sekolah bermula pada 4 Januari, saya ke Kuala Lumpur dan sempat berjalan-jalan menyusuri kaki lima Jalan Raja Laut dan Jalan Tuanku Abdul Rahman. Saya dapati suasananya lengang, orang tidak berduyun-duyun membeli belah seperti tahun-tahun sebelum ini.
Di kedai yang ada kain pemidang ditulis perkataan besar 'Back To School' (Kembali Ke Sekolah), hampir tiada pengunjung. Di sebuah kedai saya lihat hanya satu keluarga saja sedang memilih-milih baju sekolah. Suasana lengang juga dilihat di pasar raya - beg-beg sekolah yang bergantungan tidak 'dihiraukan' orang ramai.
Sekarang ini saya dapat melihat pertambahan jumlah pemungut barangan terpakai seperti kotak, besi buruk dan bekas tin aluminium minuman. Malah ada yang beroperasi dengan menggunakan 'tricycle' (basikal yang diubah suai). Ada yang sanggup 'membongkar' tong sampah untuk mencari bahan terpakai. Mungkinkah ini 'kerja ke-2' mereka seperti disyorkan seorang timbalan menteri?
Ramai rakyat sudah terdesak, tetapi syukurlah mereka 'masih boleh bertahan'. Bersabar dan bersabarlah, di samping bersolat, berdoa, berusaha keraslah termasuk menggantikan pemimpin zalim, insya-Allah selepas kesusahan, akan datang kesenangan!
No comments:
Post a Comment