Sunday, January 31, 2016

Cerita orang kecil di Padang Merbok...

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***

SEMASA menjalani latihan praktikal kewartawanan di KL pada 1985 saya tinggal sementara di sebuah bangunan lama di Jalan Mahameru yang dijadikan ibu pejabat GPMS. Sewanya RM50 sebulan, sepadanlah dengan kemudahan diberikan iaitu sebuah katil dan almari dalam sebuah dormitori!

Lokasi bangunan ini berhampiran Padang Merbok. lantas ia menjadi salah satu tempat menyaksikan 'jatuh bangun' saya. Jadi pada petang Sabtu, 23 Januari lalu tidak mencari masalah untuk saya 'kembali' ke Padang Merbok bagi menyertai perhimpunan rakyat pembantah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

'Mengharung' tanah lembap Padang Merbok untuk mendekati pentas ucapan mendatangkan khuatir di hati saya, Sesekali kasut 'terbenam' di tanah lembek. Kalau hujanlah, jadi bendanglah Padang Merbok. Sekalipun cuaca mendung dengan awan hitam berarak di langit manakala sesekali angin bertiup kencang, syukurlah tiada hujan sehingga Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai pengucap terakhir mengakhiri amanah diberikan. Namun ketika Tuan Ibrahim berucap ramai sudah berbondong-bondong meninggalkan padang.

Di tengah-tengah padang 'bertanah lembek' itu, ramai duduk - ada menggalas punggung dengan helai surat khabar, plastik dan ada yang 'berkorban lebih', duduk tanpa alas. Kasihan saya perhatikan sekumpulan anak dara yang duduk-duduk itu dihurungi agas - ya agas yang tidak biasa lagi kita lihat sekarang ini. Budak sekarang agaknya tak kenal agas. Saya tahu 'binatang itu' adalah agas kerana semasa budak-budak puluhan tahun lalu, saya adalah 'tarzan bendang' - saya amat-amati agas banyak di sawah padi terutama menjelang senja dan suka pula menggerumuni kerbau dan lembu!

Subhanallah, kumpulan agas yang 'bertapa' di Padang Merbok 'keluar beramai-ramai' kerana gempar kawasan mereka 'diserang' manusia. "Ini sesuatu yang luar biasa...ini 'kerbau mengamukkah' atau apa agaknya yang berlaku?" mungkin perkara ini diperkatakan sesama agas-agas itu...ya 'kalaulah' agas-agas itu boleh berfikir dan bercakap.

Menukar atau terpaksa menukar lokasi bantahan TPPA daripada Dataran Merdeka ke Padang Merbok tentunya ada keburukan dan kebaikannya. Ia bergantung kepada pihak mana yang ditanya...pihak penguasa (kerajaan dan kerajaan tempatan), pihak penganjur, pihak keselamatan (polis), peniaga hatta kepada pengurusan masjid sekalipun. Misalnya 'tok imam' dan 'bilal' Masjid Jamek dan Masjid Negara pun agaknya kehairanan mengapa pula jemaah solat zuhur mereka hari itu terlalu ramai!

Namun apa yang hendak dicelotehkan di ruang ini adalah cerita orang kecil...yang datang dari jauh misalnya dari Kelantan dan Terengganu...apakah mereka 'berkecil hati' apabila lokasi bantahan dipindahkan daripada 'venue' bersejarah dan berdaulat (Dataran Merdeka) ke Padang Merbok yang menjadi 'tempat bertapa' agas-agas itu!

Seorang aktivis PAS berkata 'memaksa' pertukaran tapak perhimpunan bantahan daripada Dataran Merdeka adalah 'satu penghinaan' - pihak kerajaan nampaknya mahu 'menyembunyikan' luahan rakyatnya sendiri. Katanya, matlamat pihak berkuasa menukar lokasi perhimpunan berhasil; ternyata 'orang luar' tidak tahu pun ada bantahan malahan media massa arus perdana pun tidak ambil 'pot' untuk melaporkannya!

Ada pula berkata berlaku situasi 'menang-menang' kepada pihak-pihak terbabit...mereka berjaya memenuhi matlamat masing-masing, persoalannya apa yang rakyat biasa dapat apabila datang ke perhimpunan pada ketika kos kehidupan terus meningkat dari sehari ke sehari. Mungkin mereka (terutama orang luar) terpaksa 'berkorban' RM100-RM200 seorang untuk datang ke perhimpunan itu. 

Benar pengalaman dan pengetahuan mereka mungkin bertambah (termasuk mengenai TPPA dan berpeluang pula 'bermesra' dengan agas-agas) tetapi apabila pihak penganjur akur untuk menukar 'venue' daripada Dataran Merdeka yang berprestij ke Padang Merbuk tempat 'jin bertendang', dengan jelas pihak penguasa (kerajaan) sudah menang 1-0 dan apabila Parlimen bersidang mereka akan menang 2-0, 3-0, 4-0 seterusnya termeterailah TPPA sebab tidak banyak pihak tahu ramai rakyat negara ini membantah perjanjian penjajahan bentuk baru itu!

No comments: