********************* Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. *********************** Renungan **************************** "Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain daripada Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah Yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku." (Surah Yaasin, ayat 23) **************************
KETIKA ke Kelantan baru-baru ini saya solat Jumaat di Masjid An-Nur, Mukim Badak Melawi, Bachok. Selepas solat, sambil menunggu isteri dan anak-anak perempuan solat zuhur, seronok saya membaca beberapa kain pemidang tertera mutiara kata.
Termenung sejenak saya membaca satu daripadanya: "Ada orang kata, berkawanlah (dengan) orang baik dan tinggalkan orang yang kurang baik...Tapi kata hatiku, walaupun dia kurang baik, lihat kebaikannya dan abaikan keburukannya kerana bagiku tiada manusia yang sempurna." Fikir-fikirkanlah dan kaitkannya dengan isu antarabangsa ini.
Ya, kali ini saya 'terbang' ke luar negara, mencelotehkan perihal umat dan dunia Islam yang kian parah - yang terbaru adalah 'perang' Arab Saudi-Iran berikutan tindakan Riyadh menghukum mati pemimpin Syiah di Arab Saudi, Syeikh Nimr Baqir al-Nimr.
Krisis Saudi-Iran sudah terlalu lama tetapi pada penghujung tahun 1997, Iran yang terpilih untuk mengadakan Sidang Kemuncak Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), kini dikenali sebagai Pertubuhan Kerjasama Islam, menghulurkan salam persaudaraan dan disambut erat oleh Saudi.
Saya sebagai wartawan yang membuat liputan dapat merasai detik bersejarah itu yang antara deklarasinya menjanjikan masa depan gemilang untuk umat Islam sejagat pada abad ke-21. Ya, sidang kemuncak itu adalah yang terakhir pada kurun ke-20, apatah lagi ia diadakan pada pasca Perang Teluk Pertama yang menyaksikan Amerika 'mengganyang' semahu-mahunya Iraq namun tidaklah sampai menggulingkan diktator Iraq, Saddam Hussein.
Kini pada abad ke-21, mungkin umat Islam sedunia mendapati bahawa janji itu retorik semata-mata, hakikatnya mereka yang tinggal dari Libya ke Syria, dari Xinjiang (China) ke Indonesia menempuh kehidupan kian parah pada ketika siraturahim sesama negara Islam merudum ke peringkat terbawah.
Ya, sekarang ini di mana OIC? Pertubuhan ini seakan-akan sudah mati, tidak relevan dengan perkembangan semasa. Pada ketika negara umat Islam bercakaran, nasib umat Islam minoriti seperti Rohingya, Uighur, Chechnya dan sudah pasti Palestin 'dikerjakan' cukup-cukup oleh pemerintah kuffar! Malah di negara umat Islam sendiri seperti Syria, mereka disembelih beramai-ramai.
Percakaran dan krisis negara dan umat Islam sudah terlalu parah sehinggakan calon Presiden Amerika daripada Parti Republikan, Donald Trump berani menjeritkan - Orang Islam diharamkan memasuki Amerika!
Selepas sidang kemuncak OIC 1997, dunia menyaksikan kemunculan tokoh-tokoh 'zalim' yang mungkin mencambahkan kelahiran militan seperti Islamic State yang hari ini dicop dunia sebagai pengganas.
Antaranya, George Bush Jr yang 'menghancur-leburkan' dua negara majoriti umat Islam - Afghanistan dan Iraq. Kedua-duanya teruk 'dikerjakan' kuasa besar dunia, Amerika Syarikat selepas Tragedi 11 September 2001.
Di Afghanistan kerajaan Taliban digulingkan dengan alasan bagi menangkap Osama bin Laden manakala di Iraq, Saddam Hussein ditumbangkan dengan alasan rejim itu menyimpan dan mengeluarkan senjata pemusnah secara besar-besaran.
Bagi memulihkan Iraq dan Afghanistan, Amerika kononya menjanjikan bantuan berbilion-bilion dolar selain memaksa negara lain seperti Jepun, China dan Korea Selatan menunjukkan komitmen kewangan selain menghantar tentera dan pekerja.
Hakikatnya, janji bantuan berbilion-bilion dolar itu hanya manisan mulut bukan saja oleh Amerika tetapi juga oleh negara-negara bakal penyumbang seperti Jepun. Rakyat Afghanistan terus dibiarkan terkontang-kanting mengharungi hidup manakala di Iraq, penduduk awam terus sengsara. Mereka tersepit dalam pertempuran tidak kunjung akhir antara tentera penceroboh Amerika dan pejuang pembebasan. Kini muncul pula Islamic State yang entah dari mana asal mereka!
Penduduk Islam Iraq pada ketika suasana genting untuk meneruskan hidup menjadi sasaran kumpulan pendakwah Kristian yang dikatakan mengambil kesempatan. Mereka memikat penduduk terbiar tanpa pembelaan, termasuk anak-anak yatim yang bersepah di jalanan, rumah orang tua dan juga pusat rawatan. Dengan dana besar, menggununglah hasrat mereka memesongkan ummah yang lemah.
Malah menurut sebuah laporan berita, puluhan ribu rakyat Iraq berjaya di Kristiankan melalui penyiaran sebuah stesen televisyen satelit oleh sebuah kumpulan agama di Amerika Syarikat.
Bagi kita, perkembangan amat memedihkan berhubung nasib dan masa depan umat Islam di Iraq dan Afghanistan malah di serata dunia adalah cermin kegagalan ummah, negara dan organisasi yang memayunginya iaitu OIC. Berdoalah untuk mendapatkan pertolongan Yang Maha Kuasa.
Kini keadaan bertambah buruk kerana 'bisul' pergeseran Syiah-Sunnah sejak sekian lama sudah meletup dengan Arab Saudi dan Teheran menjuari dua blok dunia Islam - seolah-olah akan berlaku gegak gempita perang yang disaksikan penuh 'kehairanan' dan 'waspada' oleh dunia Barat. Saudi sudah mengambil inisiatif untuk mengheret tentera negara umat Islam lain menyertai paksinya sedangkan Iran dengan pengikut Syiah yang agresif termasuk yang ramai di dunia Arab sendiri seperti di Yaman, Bahrain, Iraq dan Qatar tidak akan berdiam diri.
Mungkinkah berdasarkan perkembangan buruk membabitkan negara dan umat Islam, kuasa besar Barat dan proksinya Israel sedang 'tersenyum lebar' - ya, tak payah kerja keras untuk menghancurkan umat Islam, mereka sendiri akan 'hancur-menghancurkan' satu sama lain!
No comments:
Post a Comment