Tuesday, January 19, 2016

Menang-menang dalam persaingan sihat


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

KETIKA tambang komuter, LRT dan monorel naik mencanak, sesetengah pengusaha bas ekspres seperti perjalanan Kuala Lumpur-Melaka dan sebaliknya bersaing menawarkan tambang termurah bagi menarik penumpang.

Ketika ke Kuala Lumpur (TBS) dari Melaka Sentral baru-baru ini, saya dapati ada syarikat menawarkan tambang semurah RM10 manakala yang termahal adalah lebih RM15. Laluan perjalanan bas-bas ini adalah sama, jadi penumpang berpeluang untuk memilih perkhidmatan bas yang difikirkan sesuai dengan keperluan dan kemampuan masing-masing.

Saya berpendapat perkara ini berlaku kerana berlaku persaingan yang hebat dan mungkin sihat sesama syarikat-syarikat bas ekspres untuk mendapatkan penumpang. Sepengetahuan saya ada lebih lima syarikat bas ekspres menjalankan perkhidmatan Melaka-Kuala Lumpur dan sebaliknya.

Banyak daripada syarikat bas ini melakukan perjalanan dengan kekerapan sejam sekali, malah ada setengah jam sekali; jadi mereka perlu menyediakan 'perkhidmatan terbaik dengan harga termurah' untuk memikat penumpang. Namun ada yang menyediakan 'perkhidmatan first-class' dengan ciri-ciri seperti jumlah kerusi terhad (tempat duduk selesa dan besar) tetapi mengenakan tambang tinggi seperti yang lebih RM15 itu.

Berdasarkan pengalaman saya yang berulang alik Melaka-Kuala Lumpur ketika bekerja di ibu kota dulu, saya dapati bas ekspres hanya penuh pada masa hujung minggu, cuti umum dan cuti sekolah; selain daripada waktu itu kebanyakan bas membuat perjalanan dengan sejumlah kecil penumpang.

Jadi bagi mendapatkan penumpang, pengusaha bas bersaing hebat; dulu ada yang menawarkan tambang promosi pada harga RM9. Sekarang ini sekalipun, diuar-uarkan tambang bas akan dinaikkan, pengusaha bas perlu berfikir panjang untuk membuat demikian kerana sudah wujud persaingan sesama mereka untuk menawarkan tambang terendah.

Saya pernah bertanyakan seorang pemandu bas, mengapa tambang bas berbeza-beza antara syarikat bas. Dia menjawab syarikat bas kini bersaing untuk mendapatkan penumpang; jika penumpang tersangat kurang ia akan menjejaskan syarikat bas sekali gus periuk nasi pekerjanya seperti si pemandu sendiri.

Apabila saya bertanya sama ada syarikatnya membuat keuntungan besar; dia menggelengkan kepalanya sambil berkata: "Jika pemilik syarikat ini menumpukan sepenuh perhatian kepada operasi bas ekspres, sudah lama bisnesnya 'bungkus' tetapi syukurlah syarikat ini ada terbabit dalam bisnes lain."

Namun saya percaya syarikat bas ada membuat keuntungan (kalau tak buat apa mereka teruskan operasi) walaupun tidak besar, tetapi setidak-tidaknya ia menggalakkan perkembangan ekonomi sekali gus membantu pembangunan dan kemajuan negara.

Ertinya syarikat bas mendapat keuntungan dan jika berlaku persaingan hebat (seperti laluan Melaka-Kuala Lumpur) mereka akan menawarkan perkhidmatan terbaik dan termurah untuk menarik penumpang. Apabila situasi ini belaku kedua-dua pihak; pengusaha bas dan penumpang akan mendapat manfaat. Ertinya situasi menang-menang akan berlaku dan ini amat menguntungkan negara.

Berlainan dengan pengendalian bas ekspres yang mewujudkan persaingan sihat; perkhidmatan bas domestik di Melaka adalah berbentuk monopoli; pemiliknya adalah kerajaan negeri yang menggunakan bas Panorama untuk semua laluan di negeri ini.

Dulunya ada sejumlah syarikat seperti Town Bus, MOS, Tuah Bas Thye Lye dan Batang Bus yang menjalankan perkhidmatan di laluan domestik tetapi semuanya sudah dibeli kerajaan negeri.

Sekarang ini ramai pengguna merungut tentang pelbagai kelemahan perkhidmatan bas Panorama. Antaranya kekerapan bas terlalu lama, penumpang terpaksa menunggu berjam-jam di tepi jalan.

Seorang penumpang dari pinggir bandar mengadu, dia keluar dari rumahnya jam 9.00 pagi dan dapat menaiki bas jam 11.00 pagi untuk ke Melaka Sentral, kemudian dia ke Hospital Besar dan apabila balik sampai ke rumah jam 4.00 petang. Alangkah banyaknya masa dihabiskan untuk menaiki bas!

Beberapa hari lalu ketika 'meronda-ronda' di Melaka Sentral, saya 'tersempak' bas dua tingkat Panorama tersadai di petak bas stesen itu. Ketika 'meneliti' bas usang dengan 'tayar mereng' yang kini ditutup dengan kain kanvas itu, sedarlah saya itu adalah 'Bas London' yang menjadi 'ikon pelancongan' Melaka beberapa tahun lalu!

'Bas usang London' yang dibeli dengan harga beratus-ratus ribu ringgit itu tetapi kini tersadai (kalau manusia sudah nazak) di Melaka Sentral membayangkan 'betapa sakitnya hati' penumpang yang terpaksa menunggu bas yang bagaikan tak kunjung tiba dalam panas dan hujan di tepi jalan!

No comments: