Wednesday, January 6, 2016

Perihal Malaysia dan solidariti wartawan Turki...

********************* Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. *********************** Renungan **************************** "Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain daripada Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah Yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku." (Surah Yaasin, ayat 23) **************************

TERSENYUM saya sendirian tatkala membaca tulisan notis di 'kamar kecil' sebuah hotel di Hierapolis (Pamukkale), Turki  ketika saya berkunjung ke sana baru-baru ini - Let's get out of the water of life, that would mean for us; contribute to the protection of nature will find best together; reduce pollution caused by the consumption of cleaning agents and water; if you want to be washed into the tub with towels and bathroom leave; put this card on top of you want to change linen; thank you for your vigilance.

Demikianlah di Turki, selain di Istanbul dan ibu kota Ankara, 'percubaan' saya untuk berbual-bual dengan orang kebanyakan Turki tidak berhasil, mereka tidak tahu berbahasa Inggeris sedangkan sudah pastinya saya tidak boleh berbahasa Turki. 

Akibatnya saya gagal 'menyelami sedikit sebanyak kehidupan rakyat' yang bagi saya adalah penting bagi seseorang wartawan dalam tugasnya membuat sesuatu pelaporan. Dalam banyak kes, perbualan adalah 'macam ayam itik saja layaknya' - saya senyum, mereka senyum dan cuba berbual tetapi apa diperkatakan saya tak faham. 

Akhbar dalam bahasa Inggeris pun tidak ada di bandar-bandar 'pedalaman' Turki; namun ketika di Istanbul sempat saya membeli akhbar Today's Zaman terbitan Rabu, 9 Disember 2015. Terdapat dua paparan berkaitan Malaysia - satu mengenai PM Najib Razak dan satu lagi reaksi Timbalan Menteri Luar, Nur Jazlan Mohamed mengenai seruan terbuka pesaing calon Presiden Amerika Syarikat daripada Republikan, Donald Trump yang mahukan orang Islam disekat daripada memasuki Amerika.

Mengenai Najib disiarkan intro berita besar beserta gambar PM itu dengan tajuk Malaysia's Najib says 'conscience clear' yang ditulis: "Malaysian PM Najib Razak said he had done nothing wrong in receiving hundreds of millions of dollars into his personal bank accounts, as a senior party rival called on him to step aside over a festering funding scandal. Najib has so far weathered calls for him to quit over allegations of graft at state fund 1Malaysia Development Berhad (1MDB) and his receipt of 2.6 bln ringgit ($610.8 mln). 'Dateline' laporan adalah Kuala Lumpur manakala agensi pelapor Reuters.

Nur Jazlan pula dilaporkan sebagai menarik perhatian betapa paradoksnya kenyataan Trump dengan berhujah bahawa syor beliau itu tidak sejajar dengan imej Amerika sebagai sebagai sebuah negara bertoleransi dan demokratik.

Beliau mengingatkan sikap sebegitu akan menyediakan peluang keemasan kepada pengganas Islamic State in Iraq and the Levant (ISIL) dengan tindakan pengasingan orang Islam yang sudah berada di Amerika.

Mengenai 'kisah wartawan' pula, wartawan-wartawan Turki ketika ini bersolidariti dengan nasib dua wartawan kanan iaitu ketua pengarang akhbar harian Cumhuriyet, Can Dundar and wakil akhbar itu di Ankara, Erdem Gul yang disumbat di Penjara Silivri sejak 26 November. 

Mereka dituduh 'melakukan pengintipan', 'mendedahkan dokumen rahsia' dan 'menjadi anggota sebuah pertubuhan pengganas' melalui penerbitan sebuah laporan mengenai pemindahan haram senjata dari Syria ke Turki.

Pemimpin parti pembangkang utama, Republican People's Party (CHP), Kemal Kilicdaroglu mendakwa media Turki kini dalam tekanan sama seperti yang berlaku dalam regim authoritarian (kuku besi). "Mustahil untuk bercakap mengenai kebebasan media dalam demokrasi separuh seperti di negara ini. Media kini dalam kepungan sama seperti yang terdapat di kalangan negara diktator," dakwanya.

Semakin ramai wartawan bersolidariti terhadap nasib Dundar dan Gul; mereka rela 'duduk bantah' dalam cuaca sejuk di depan penjara, menuntut pembebasan rakan seperjuangan. Mereka mendakwa padangan kritikal Dundar dan Gul adalah tidak berlawanan dengan undang-undang negara.

Amerika Syarikat menunjukkan sokongan kepada wartawan Turki dengan dutanya ke negara itu, John Bass baru-baru ini melakukan lawatan ke bilik berita akhbar Cumhuriyet.

Bass berkata Amerika memandang berat kes wartawan ditahan itu dan pihaknya sudah menyampaikan kebimbangan terhadap nasib wartawan kepada pihak berkuasa Turki.

Wartawan dan cendekiawan Turki juga lantang dalam mengkritik tindakan keras tentera Turki yang menembak jatuh sebuah jet pejuang Russia yang kini mengakibatkan pelbagai masalah dalam negara seperti menjunamnya pelaburan asing iaitu yang terburuk dalam masa dua setengah tahun yang dialami oleh Borsa Istanbul.

Ketegangan Turki-Russia semakin memuncak dengan Turki sendiri memberi amaran akan mengenakan sekatan ke atas Moscow namum PM Ahmet Davutoglu berkata Ankara bersedia berunding dengan Moscow bagi menyelesaikan krisis itu.

No comments: