Thursday, September 3, 2015

'Aku yang tak bersih, bersihkanlah diriku'...

****************************** 
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

 "Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari) *********************************

PADA tazkirah setiap malam Rabu di sebuah masjid berhampiran rumah saya, ustaz yang mengajar merujuk kitab 'Bidayatul Hidayah' karangan Al-Imam Hujjatul Islam Al-Ghazali. Terkini ustaz membahaskan topik 'cara meninggalkan maksiat'...satu perkara menyentuh saya adalah 'isu bersih' - al-maklumlah perhimpunan Bersih 4.0 akan berlangsung hujung minggu ini!

Kata Imam Ghazali: "Seandainya engkau melihat dirimu bersih daripada dosa, baik zahir atau batin dan engkau melihat dirimu bersih daripada segala keaiban baik yang berkenaan dengan urusan agamamu ataupun duniamu, maka ketahuilah bahawa kejahilan terhadap dirimu sendiri adalah sejahat-jahat kejahilan. 

"Tidak ada aib yang lebih besar daripada seseorang yang menganggap dirinya bersih daripada segala dosa dan kesalahan. Sebenarnya ketika itu Allah SWT tidak menghendaki kebaikan terhadap dirimu. Jikalau Dia menghendaki kebaikan pada dirimu tentu Dia menunjukkan kepadamu akan aib dirimu. Jadi ketika engkau melihat dirimu sebagai seorang yang bersih, maka itu adalah kesudahan daripada segala kejahilan."

Subhanallah, sebenarnya kita semua tak bersih. Hakikatnya tiada orang yang boleh mengaku dia bersih. Tiada seorang manusia pun kecuali nabi-nabi yang bersih daripada dosa (maksum). Kalau seseorang itu mengaku dia bersih, sahlah dia tak bersih. Bercakap mengenai bersih ini, Nabi Muhammad s.a.w. yang maksum itu pun bertaubat meminta ampun kepada Allah SWT; sesetengah riwayat menyatakan sebanyak 70 atau 100 kali sehari - jadi sudah pasti kita ini tidak bersih dan perlu sentiasa meminta maaf kepada manusia lain dan ampun kepada Yang Maha Kuasa.

Jadi apabila menyedari hakikat diri kita yang tidak bersih ini, apa salahnya jika ada orang mahu mengadakan satu majlis (perhimpunan) bagi menyedar seterusnya menunjukkan apa tidak bersih yang ada pada diri kita. Orang atau pihak yang tidak mahu ditunjuk dan dinasihatkan mengenai perkara tidak bersih mengenai dirinya adalah orang sombong dan takabur, menepati ciri-ciri iblis yang tidak akan duduk diam sehingga semua manusia masuk neraka bersama-samanya! Namun iblis tewas kepada orang ikhlas dan salah satu ciri orang ikhlas ada orang yang sedia menerima teguran dan nasihat.

Apa yang mahu dinasihatkan oleh penganjur Bersih? Kunci tuntutan Bersih; dari dulu sehingga sekarang (selepas Bersih 1.0, Bersih 2.0, Bersih 3.0 dan kini Bersih 4.0) adalah pilihan raya adil, bebas dan bersih. Persoalannya apakah salah menegur pihak bertanggungjawab agar menjalankan peranan dan tugas dengan bersih? Banyak pihak berpendapat tidak salah; tetapi kata sesetengah mereka lakukan teguran melalui saluran yang betul. Kata mereka mengapa mahu dibuat melalui perhimpunan dan perarakan di jalan-jalan raya?

Separuh daripada jawapannya adalah kerana di negara kita sudah tertutup banyak saluran untuk memberi nasihat dan teguran. Kalau ada pun saluran, hasilnya dikhuatiri hampir tiada kerana pihak terbabit memekakkan telinga, membutakan mata dan hati. Dalam bahasa ringkas, sikap diktator sudah meraja dalam hati. Ya, kalau orang menegur dia akan dipecat, dilucutkan jawatan dan pelbagai penganiayaan lagi.

Keburukan yang melanda negara makin lama makin dahsyat (busuk). Masyarakat semakin 'konfius' (keliru antara perkara baik dan jahat). Ya, mereka terutama generasi baru tidak tahu lagi akan ketepatan istilah-istilah seperti 'derma', 'rasuah', 'politik wang' dan 'rasuah politik'. Mereka terkeliru apakah pemberian wang berbilion-bilion ringgit itu 'derma' sedangkan 'melarikan' seringgit dua daripada tabung masjid atau 'melesapkan' sepaket milo daripada pasar raya untuk diberi makan kepada anak isteri yang kelaparan adalah jenayah besar dan apabila tertangkap ada yang dipukul orang ramai sehingga separuh mati sebelum diserahkan kepada polis?

Ya, semua orang dan pihak (sebagai contoh tidak kiralah SPR, SPRM, PM, TPM, PAS, KEADILAN, DAP) perlu sentiasa membersihkan diri. Mengikut ajaran Islam, untuk melakukan ini kita perlu sentiasa belajar dan muhasabah (mengkoreksi) diri serta melakukan kebaikan sebanyak mungkin sebaliknya menghindari daripada segala kejahatan seperti makan rasuah, berlaku zalim ke atas orang lain yang jika dilakukan akan menumbuhkan titik-titik hitam di hati kita.

Kalau kita istiqamah untuk membuat kebaikan dengan ikhlas, insya-Allah, Yang Maha Kuasa akan membuka hijabnya sedikit demi sedikit, hati kita yang ditutupi terlalu banyak titik-titik hitam akan bersih secara beransur-ansur.

Insya-Allah, akan tiba suatu peringkat kita sendiri akan mengakui; "Ya Allah, rupanya aku ini tidak bersih, aku ini kotor, aku ini jahat, aku tak layak masuk ke dalam syurga-Mu, tapi aku tak tahan azab neraka-Mu. Jadi Kau ampunkan dosa hamba-Mu yang tidak bersih ini!"

Jadi siapakah diri kita untuk mengaku kita bersih dan tidak perlu sebarang nasihat atau penambahbaikan! Ya, akuilah kita sebenarnya TIDAK BERSIH, jadi jika ada orang mahu MEMBERSIHKAN kita, ucaplah terima kasih dan alhamdulillah!

No comments: