Friday, September 25, 2015

Dari UKM ke Harakah (33): Berkorban; tidak perlu menjadi sebatang lilin...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari)

SAYA menunaikan haji ketika masih bertugas di Harakah. Pada hari-hari menjelang Aidiladha ini terkenang saya nostalgia di Tanah Suci...Subhanallah bagi yang sudah menunaikan haji, bagaimana dapat dilupakan pengalaman mengusik jiwa di Masjidilharam, Arafah, Muzdalifah, Mina dan sebagainya.

Seorang tokoh agama, Misbaha dalam bukunya 'Teman Anda Ke Tanah Suci' mengungkapkan: "Ibadat haji tidak dapat disempurnakan, melainkan setelah ada pengetahuan, persiapan dan kesanggupan menempuh berbagai kedukaan, kesusahan, kepahitan, tekanan perasaan hati yang pilu dengan kesabaran (seperti meninggalkan rumahtangga, dan saudara mara), pahit getir dan kepayahan dalam perjalanan sehingga tiba dan berada di bumi Arafah.

"Di Arafah ada perhimpunan lautan manusia yang datang dari seluruh pelosok dunia yang tiada tolok bandingnya dalam suatu keadaan yang sangat terharu dan istimewa, yang tidak boleh digambarkan oleh pandangan dan lemah lidah hendak melaporkan segala-galanya; berpakaian seragam putih (berihram), tidak ada darjat tinggi rendah, kaya miskin, raja dan rakyat, semuanya sama-sama bertalbiyah, bertakbir, bertahmid, berdoa ke hadrat Tuhan Rabbul'Alamin memohon keredaan, keampunan dan haji yang mabrur yang ganjarannya syurga."

Antara kelebihan orang mengerjakan haji adalah pengiktirafan bahawa dia utusan Allah. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah yang bermaksud: 'Orang yang mengerjakan haji dan orang yang mengerjakan umrah adalah utusan Allah. Jika mereka berdoa, nescaya Allah menerima doa mereka dan jika mereka memohon ampun, maka Allah akan mengampuni mereka."

Mengerjakan haji 'satu hal', namun banyak orang terlepas pandang kehidupan selepas bergelar haji dan hajah. Hidup yang diteruskan penuh dengan ujian...kesabaran amat penting dan banyak orang berpegang kepada kata-kata bijak pandai - berkorban apa saja..harta atau nyawa; biarlah aku menjadi lilin membakar diri sendiri sehingga hangus asalkan orang lain dapat menikmati cahayanya.

Semakin 'tua diri ini', sedarlah saya bahawa 'berkorban bagai lilin' tidak boleh diamalkan dalam kehidupan ini. Hakikatnya, diri kita sendiri perlu mendapat 'nikmat' atau 'ganjaran' daripada sesuatu usaha itu dan pada yang sama orang lain turut sama merasakannya. Orang putih berkata 'win-win situation'. 

Amat-amati bahawa dalam al-Quran ada dinyatakan supaya kita menyelamatkan diri sebelum menyelamatkan anak isteri daripada menjadi bahan api neraka. Allah Taala berfirman: "Wahai orang-orang beriman! Jagalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu." (Surah al-Tahrim, ayat 6)

Subhanallah, perbaikilah diri sebelum memperbaiki orang lain termasuk anak isteri. Kita perlu 'menang' sebelum 'menangkan orang lain'. Dalam sesetengah kes, perkara ini kita terlepas pandang. Misalnya seorang bapa sanggup 'berkorban apa saja' bagi mendapatkan sesuap nasi untuk anak isterinya tetapi ketika 'menjadi lilin' itu dia terlupa kewajipan dirinya sendiri seperti solat. Jadi berbaloikah 'pengorbanan' itu jika dia tiada saham di akhirat?

Seorang ibu sanggup bersusah payah menghantar anaknya ke tahfiz al-Quran tetapi dia sendiri mendedahkan rambutnya. Dia rela berkorban apa saja demi masa depan dunia dan akhirat anaknya tetapi bagaimana nasib dirinya? Apakah dia mahu dirinya hangus bagaikan lilin demi menyinari orang lain?

Kepentingan untuk menyelamatkan diri sendiri dulu ada dinyatakan ketika kita menaiki pesawat. Dalam taklimat sebelum penerbangan, pramugari ada menerangkan jika berlaku kecemasan, kita hendaklah memakai alat bantuan penafasan sebelum memakaikan kepada orang di bawah tanggungan kita seperti anak-anak. Ya selamatkan diri kita dulu sebelum selamatkan orang lain.

Peri penting menyelamatkan diri sendiri dulu (menggunakan ganti nama aku) dapat dihayati jika kita membaca doa di Arafah...carilah tempat terpencil dalam lautan manusia itu 'seolah-olah kita bersendirian dengan Allah' dan mengadulah kepada-Nya..."Ya Allah, ya Allah, ya Allah, aku pohon kepada-Mu keampunan dan keselamatan dalam urusan agamaku, duniaku, keluargaku dan hartaku. Ya Allah, lindungi daku daripada segala yang memalukanku dan tenteramkan diriku daripada rasa takut (perhatikan diri sendiri diutamakan sebelum keluarga).

"Ya Allah, pelihara diriku dari hadapan dan belakangku, dari kanan dan kiriku serta atasku. Aku berlindung dengan keagungaan-Mu daripada ancaman yang datang dari bawahku." 

Ya nanti dalam kubur, kita 'seorang-seorang'...kalau kita sendiri tak selamat (nauzubillah) amat malanglah diri kita itu. Oleh itu sinari diri kita dulu sebelum menyinari orang lain. Tak usahlah ikut lilin yang membakar dirinya hangus bagi memberi cahaya kepada orang lain!

No comments: