Saturday, September 12, 2015

Dari UKM ke Harakah (31): "Kamu 'dead' (mati) jika tidak patuhi 'deadline'..."

***************************** DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ***************************** Renungan ****************************** "Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari) ********************************* 


PETANG Sabtu, 5 September lalu sempat saya singgah di ibu pejabat syarikat akhbar harian nasional yang pernah saya bekerja selama 12 tahun dulu (1986-1998) untuk berjumpa rakan-rakan lama. Sudah puluhan tahun saya tidak ke sana. 

Kagum saya melihat perubahan kawasan bilik (selayaknya dipanggil lapangan) berita yang mengamalkan konsep terbuka - ia tersangat luas, saujana mata memandang dari satu sudut ke sudut lain. Dereten ratusan komputer dengan wartawan mudar-mandir merancakkan suasana yang sibuk.

Memasuki pejabat lama ini, terkenang saya sewaktu bekerja di sana dulu yang mana pendekatan bekerja petugasnya yang baik boleh dijadikan teladan dan yang kurang baik dibuat koreksi buat diri ini dan rakan-rakan termasuk pembaca.

Sifat dan sikap profesionalisme petugas-petugas di syarikat yang mendakwa akhbar nombor satu ini seperti wartawan, penyunting, juru 'layout', artis grafik dan jurugambar perlu dicemburi dan dicontohi dan pada ruangan ini izinkan saya mengimbau kenangan lama ketika bertugas di situ.

Di akhbar ini saya bermula sebagai wartawan kadet (pelatih), kemudian meningkat menjadi wartawan dalam pelbagai gred dan yang terakhir sebagai pengarang luar negara sebelum berhenti pada tahun 1998. Saya berpengalaman bertugas di pelbagai seksyen seperti meja berita am, meja berita jenayah, meja berita ekonomi, unit khas, penyunting dan unit luar negara.

Satu nilai baik diterapkan di kalangan pekerja adalah mengenai ketepatan masa; yalah industri persuratkhabaran (media massa) amat mementingkan 'deadline' (masa atau tarikh akhir menyiapkan sesuatu tugasan. Mula-mula bekerja saya ingatkan 'deadline' itu dieja 'dateline' tetapi sebenarnya 'deadline'. Satu gurauan biasa adalah jika anda tidak dapat memenuhi 'deadline' maka anda sebenarnya sudah 'dead' (mati)!

Menyiapkan sesuatu berita terutama bagi akhbar harian, ada 'deadline'nya demikian juga kerja-kerja 'layout' bagi penyunting. Kalau 'deadline' berita jam 6.00 petang, salinan berita anda itu mesti dimasukkan dalam 'tray' (bekas) pengarang berita sebelum jam 6.00 petang. Jika anda menghantarnya selepas jam itu, teruklah akibatnya...anda tanggunglah sendiri!

Demikian juga kerja-kerja membuat 'page' (muka surat) bagi penyunting. Semasa saya bekerja dulu, 'deadline' bagi penyerahan muka surat yang bersih (selepas diedit dan dibuat pembetulan) adalah pada jam 10.30 malam. Maka anda perlu bereskan kerja anda tidak lewat daripada tempoh itu 'walau apapun yang berlaku'. Tiada maaf bagi yang terlambat. Tidakkah 'tension' namanya kerana setiap hari bekerja perlu mematuhi 'deadline' itu!

Dulu akhbar nasional itu berbentuk 'broadsheet' (jenis besar) dan muka suratnya tidak banyak selalunya 32 muka. Setiap penyunting dipertanggungjawab ke atas satu muka surat. 'Deadline' jam 10.30 malam itu adalah bagi edisi awal manakala edisi 'final' (akhir) perlu disiapkan jam 1.00 pagi atau lebih lewat daripada itu jika ada 'kes besar'.

Di bilik berita ada satu skrin besar yang menunjukkan muka-muka surat yang sedang disiapkan. Mula-mula dipaparkan (dinyalakan) nombor semua muka surat itu dalam warna merah. Menjelang malam, satu demi satu nombor di skrin itu terpadam - menandakan muka surat berkenaan 'sudah berjaya' disiapkan. 

Apakah anda 'tidak cemas' jika nombor 'page' yang anda dipertanggungjawabkan masih berwarna merah bersama-sama dengan beberapa 'page' lain sedangkan penyunting lain sudah lama 'tutup kedai? Mereka sudah boleh 'enjoy' minum-minum, 'pekena' teh tarik dan roti canai sedangkan anda masih terkial-kial bekerja?

Demikianlah betapa 'tension' jadinya jika muka surat kita belum dapat disiapkan. Seorang sahabat berkata; "aku nak kencing pun terpaksa tahan, mahu siapkan kerja dulu." Kalau kencing pun ditangguhkan apatah soal lain seperti makan minum dan paling malang sekali adalah solat. Syukur juga kerja-kerja dilakukan pada waktu malam...jadi tak apalah...bukankah solat isyak itu panjang waktunya...boleh dikerjakan jam 12.00 tengah malah malah 3.00 pagi pun.

Demikianlah dalam 'bab disiplin' mengenai masa termasuk 'deadline', saya 'salut' (salute) pengurusan syarikat akhbar ini. Bagi saya perkara baik ini perlu diterapkan dalam suasana kerja akhbar alternatif termasuklah, maaf cakap Harakah. 

Mematuhi 'deadline' teramatlah penting...kerana akibat menyanggahinya tersangatlah buruk, misalnya tidaklah kita 'bekerja macam nak mati' siang dan malam. Kalau 'deadline' kita jam 12.00 tengah malam, pastikan semua kerja sudah beres sebelum tempoh itu...jadi teraturlah masa tidur dan jaga kita!

Seorang sahabat, anak seorang askar, kerap memberitahu saya perihal disiplinnya bapanya mengenai ketepatan waktu. Kata si bapa; "kalau dikerahkan menembak jam 9.00 malam, kemungkinan awak sudah mati jika terlewat bertindak walau sesaat." Ya, kamu akan 'dead' (mati) akibat tidak mematuhi 'deadline'!

No comments: