.
PEMIMPIN Umno Sabah, Mohd Shafie Apdal, digugurkan daripada jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dalam rombakan Kabinet terbaru PM Mohd Najib Razak. Naib Presiden Umno yang berpendidikan Universiti Staffordshire itu akhirnya terpaksa akur bahawa 'perjalanan politik' pemimpin Sabah dan Sarawak melalui 'laluan sukar' di peringkat Persekutuan.
Jika Sabah ada Umno, di Sarawak, Umno tidak langsung dapat diterima. Kini ketika Sabah dan Sarawak di ambang untuk merayakan ulang tahun kemerdekaan dalam Malaysia sejak 16 September 1963, adalah menarik untuk melihat sepintas tetapi kritis perkembangan politik terutama kehidupan rakyat di negeri di bawah bayu dan bumi kenyalang itu.
Seumur hidup saya, hanya sekali saja saya berpeluang mengunjungi Sabah (2007) manakala ke Sarawak sebanyak dua kali (1991 dan 2014). Pada kunjungan pertama kali ke Sarawak, saya menaiki kapal terbang dari KL ke Kuching, kemudian dari Kuching ke Sibu, juga dengan pesawat. Dari Sibu saya menaiki bot ekspres di Sungai (Batang) Rajang ke Sarikei yang transit di pekan kecil seperti Bintangor.
Pada kunjungan 2014, saya menaiki pesawat dari KL ke Kuching, kemudian melalui jalan darat ke Sri Aman, Sarikei seterusnya ke Sibu. Di Sibu saya dapati tiada lagi perkhidmatan bot ekspres dari bandar itu ke Sarikei; ketika mengunjungi dermaga Sarikei saya dapati ia 'kosong saja' sedangkan dulu sangat sibuk.
Saya saksikan sungai-sungai di Sarawak (termasuk Rajang) besar-besar dan panjang-panjang belaka, mencetuskan kehairanan saya mengapa seni kata sebuah lagu berbunyi, ‘Sayang Sarawak sungainya sempit.’ Saya mencari-mencari seni katanya yang lengkap, maka terjumpalah saya bait ini. Sayang Sarawak sungainya sempit, Berbuah nanas lamun-lamunan, Hendakku bawa perahuku sempit, Tinggallah emas tinggal junjungan.
Disebabkan kurang pengalaman di Sarawak, maka saya tafsirkan ungkapan ‘Sayang Sarawak sungainya sempit’ berdasarkan tidak diterimanya Umno di Sarawak (tinggallah kamu di Semenanjung) sedangkan parti lain yang asalnya dari Semenanjung yang dicemuh oleh pemimpin BN sudah lama bertapak di sana malah sekarang ini siap siaga bertarung pada pilihan raya negeri yang akan diadakan tidak lama lagi.
Ramai pemimpin Umno-BN seakan-akan mengejek parti-parti berasal dari Semenanjung sebagai hantu dan jembalang di Sarawak, hakikatnya Umno yang gagal mendapat tempat adalah 'hantu sebenar' yang ditakuti orang Sarawak. Jadi mungkinkah Sungai Sarawak yang sempit itu bermaksud negeri itu tiada ruang bagi Umno kerana keadaan sudah sesak (sempit) dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang dulunya dipimpin Taib Mahmud (sekarang KM Adenan Satem) sudah bermaharajalela sejak sekian lama?
Bagi orang Sarawak mungkinkah kisah betapa banyaknya 'hantu' (pemimpin rakus) dalam Umno ini menakutkan mereka sehingga tidak memberi peluang parti ini hatta mendirikan cawangan pun di Sarawak. Kecenderungan orang atau lebih tepat lagi pemimpin Sarawak tidak menerima Umno, memberi peluang untuk PBB untuk melakar kuasa yang mungkin menyamai slogan Umno - dulu, kini dan selamanya. Namun ingatlah, 'power corrupts, absolutely power corrupts absolutely' - jadi sebagaimana Umno, PBB juga perlu sentiasa dikoreksi sama ada oleh dirinya sendiri atau pihak luar.
Sebagaimana Umno yang perlu membersihkan dirinya daripada 'hantu-hantu', PBB juga perlu berbuat demikian. Rakyat Sarawak sangat berharap kelahiran pemimpin-pemimpin ikhlas dapat membimbing mereka ke arah kehidupan sejahtera dalam sebuah negeri yang kaya raya terutama daripada hasil asli seperti balak dan petroleum. Ya, ikhlas untuk membangunkan rakyat bukan untuk 'membalun' hasil bumi untuk kepentingan diri dan kroni.
Di Sarawak, pemimpin/penjarah harta negeri ramai dan salah satu bidang yang dimonopoli mereka adalah hasil balak. Perkara ini membimbangkan banyak pihak hatta oleh Ketua Menteri sekalipun. Adenan Satem yang dilantik Ketua Menteri Sarawak pada Mac 2014 bagi menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud yang telah memegang jawatan itu selama 32 tahun, juga 'pening kepala' bagi menghadapi 'penjarah' hasil balak ini.
Sarawak, tanah bertuah kaya sumber alam yang keluasannya 124,450 kilometer persegi iaitu hampir sama luas dengan Semenanjung atau England malah lebih besar daripada Korea Utara tetapi dengan jumlah penduduk hanya 2.5 juta, adalah medan berpotensi untuk melakar kejayaan fizikal dan spiritual. Namun pemimpin rakus telah merosakkan masa depannya. Mereka membolot segala sumber kekayaan dan bagi menutup mulut rakyat mereka mencampakkan 'seketul dua tulang'.
Kemajuan juga bukan hanya bermaksud dari segi fizikalnya tetapi juga spiritualnya. Sebagai contoh, bumi Sarawak kaya dengan hasil alam, misalnya balak (pada tahun 2013 eksport balak dan produknya bernilai RM7,057,890,230) manakala royalti daripada hasil hutan adalah RM544,805,073; tetapi rakyat kebanyakan Sarawak 'terkebil-kebil saja'.
Adenan sendiri mengakui ada pemimpin bagaikan 'penyamun tarbus' 'membaham' hasil negeri. Berhubung hal ini Adenan muncul sebagai ketua eksekutif negeri pertama di Malaysia yang menandatangani ikrar intergriti dalam memerangi rasuah. Usaha ini adalah sebahagian langkah untuk memarbatkan negeri dan rakyat dari segi spiritualnya. Tidak guna negeri kaya raya tetapi ada ramai 'penyarmun tarbus' bermaharajalela. Ini termasuklah golongan yang bermuka-muka, hidup bagaikan gunting dalam lipatan atau dalam bahasa orang sekarang 'cakap tak serupa bikin'.
Adenan memberi penekanan terhadap usaha memperkemaskan penguatkuasaan undang-undang negeri bagi mengekang pembalakan haram, yang dakwanya jika dibiarkan, boleh memusnahkan sumber hutan Sarawak akibat rasuah.
Di Sabah, memang Umno berkuasa tetapi penyingkiran Shafie Apdal membuktikan ada sesuatu yang tidak kena. Pemimpin yang tidak selari dengan sikap melampau peneraju yang boros dan hidup mewah di peringkat Pusat, akhirnya terpaksa 'balik kampung'.
Rakyat Sabah dahagakan pemimpin ikhlas yang dapat membaiki taraf hidup mereka yang kebanyakannya terhimpit dalam kemiskinan, tetapi tidak ramai pemimpin bersifat dan bersikap begitu. Akibatnya rakyat Sabah ramai yang merana - sesetengahnya terpaksa merantau jauh mencari sesuap nasi termasuklah seorang jiran saya yang katanya berasal dari Sandakan. Dia dan keluarganya kini bahagia sekalipun menumpang hidup di negeri orang!
No comments:
Post a Comment