Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang beriman, beramal salih, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. (Maksud Al-Asr ayat 1-3)
DI luar rumah saya ada sejumlah kucing menumpang tinggal. Kucing-kucing ini tidak dibela di dalam rumah sebaliknya berlindung di bangsal dan pondok. Hampir setiap pagi ketika membuka pintu untuk ke masjid untuk solat subuh, kucing ini sudah berada di muka pintu...menunggu makanan. Seekor dua meluru mahu masuk ke dalam rumah tetapi saya menahan dan memberikan makanan di lantai bangsal.
Setelah sekian lama mengamat-amati 'perangai' kucing, sedarlah saya hanya seekor kucing jantan 'berkuasa' di sesebuah kawasan. Kucing 'perkasa' ini adalah raja - jantan-jantan lain diburunya keluar dari kawasannya; jadi dia menguasai semua kucing betina dan kucing kecil.
Mula-mula saya perhatikan seekor kucing jantan besar yang kami gelar Momok menguasai keadaan. Dialah raja. Jantan lain diperhambatnya keluar termasuklah Si Oren yang lebih kecil. Dalam pertarungan, selalunya Si Oren tewas; badannya luka-luka. Suatu ketika Oren hilang berhari-hari lamanya. Anak-anak saya berkata Oren, pergi 'berguru' untuk meningkatkan 'power'nya.
Oren kembali dan kembali bertarung dengan Momok. Oren tewas dan hilang lagi. Lama kemudian Si Oren muncul lagi, bertarung sekali lagi, dan kali ini ia menang! Tersungkur Si Momok dalam parit dikerjakannya. Kini muncullah Si Oren sebagai raja baharu. Si Momok yang tewas, makin lama makin lemah (mungkin sudah tua) dan baru-baru ini terbujur kaku (mati).
Kini Oren adalah raja; satu pengajaran saya dapati daripada mengamat-amati 'gelagat' kucing-kucing adalah kita perlu tekun (istiqamah) dalam sesuatu pekerjaan apatah lagi perjuangan kita. Oren tidak mungkin jadi raja jika dia jenis 'pengecut' - lari daripada medan perjuangan. Ya, ia mungkin hilang untuk sekian lama; tetapi tidak selama-lamanya sebaliknya seperti yang diperkatakan anak-anak saya "ia pergi berguru untuk meningkatkan 'power'!"
Berhubung 'istiqamah' ini, mungkin peribahasa-peribahasa Melayu ini dapat memberi serba sedikit kefahaman kepada kita. Orang tua-tua menjelaskan bahawa batu yang bergolek tidak akan mengumpulkan lumut. Namun kita disyorkan bahawa 'alang-alang menyeluk perkasam biar sampai ke pangkal lengan'. Mandi biar basah, makan biar kencang; ya mungkin tidak ada gunanya atau tidak membawa hasil yang bagus jika kita tidak bersungguh-sungguh dalam pekerjaan kita.
Berceloteh perihal kisah 'Dari UKM ke Harakah' ini (membabitkan dunia persuratkhabaran), dulu ketika 'berhenti mengejut' daripada jawatan pengarang di sebuah akhbar perdana, saya ingat tindakan saya itu 'sudah cukup bagus' tetapi akhirnya saya termenung memikirkannya setelah 'dibedal' oleh seorang rakan.
Antara lain katanya, melarikan diri daripada perjuangan adalah tindakan 'orang pengecut'. Mengapa melarikan diri (meletakkan jawatan) jika cadangan kita tidak dipersetujui oleh pihak atasan. Misalnya jika kita berjuang tidak mahukan nombor ekor disiarkan dalam akhbar, berjuanglah terus sampai sama ada perjuangan kita itu berhasil atau kita disingkirkan. Ini tak, belum lagi pihak atasan 'membuat apa-apa' kepada kita, kita sendiri sudah mengundurkan diri. Ini pengecut namanya, katanya membuatkan hati saya 'terbakar'!
Subhanallah, itu kisah semasa saya muda, yalah ketika meletakkan jawatan di akhbar itu, umur saya masih muda - dalam lingkungan 30-an. Orang muda, berdarah panas. Tetapi sekarang ini selepas melepasi usia 50 tahun, saya mengakui sebenarnya kita perlu istiqamah dalam kehidupan ini. Ingatlah pesanan bijak pandai Melayu itu - batu yang bergolek tidak akan mengumpulkan lumut. Kalau kita melompat ke sana ke sini, tidak banyak manfaat dapat kita kumpulkan dalam hidup kita.
Mungkin ada orang berkata, jika di sesuatu tempat itu tidak lagi kondusif untuk kita, maka langkah terbaik adalah berhijrah. Ya, berhijrahlah, tiada siapa yang menghalangnya; tetapi kita mesti ingat ada pepatah Melayu berbunyi - tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain.
Nabi kita Muhammad s.a.w. adalah contoh ikutan terbaik - baginda s.a.w. berhijrah ke Madinah selepas 12 tahun berdakwah di Makkah tanpa hasil memberangsangkan tetapi selepas 10 tahun di Madinah, baginda s.a.w. kembali semula ke tanah airnya yang tercinta, Makkah...lokasi dakwah berbeza tetapi perjuangan baginda tetap sama...iaitu meletakkan seluruh manusia tunduk hanya kepada Yang Maha Kuasa!
Click here to Reply, Reply to all, or Forward
|
No comments:
Post a Comment