Saturday, September 5, 2015

Dari UKM ke Harakah (29): Berpuitis dalam bahasa; terima kasih Allahyarham Cikgu M Amin

*************
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
***************
Renungan
"...Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba'), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. Di dalam masjid itu ada orag-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih." (Maksud Ayat 108 Surah At-Taubah)
****************

SEBAGAI kolumnis yang menulis dalam bahasa Melayu dan Inggeris di Harakah, sesekali saya menerima komen daripada pembaca. Pada tulisan kali, saya hanya menyentuh komen mengenai bahasa - ada pembaca mendakwa kaedah penulisan saya yang sesekali mengetengahkan bahasa puitis seperti penggunaan pantun menarik perhatian mereka dan ada pula yang mengkritik keras menyatakan bahasa saya terlalu 'simple' (mudah) terutama dalam ruangan bahasa Inggeris yang dakwa mereka tidak layak dimuatkan dalam akhbar 'berprestij' seperti Harakah.

Saya menerima komen-komen ini 'seadanya' - ya setiap orang bebas memberi pandangan 'dalam dunia demokrasi' ini. Saya berpendirian akan terus menulis selagi kudrat masih ada dan 'orang masih memerlukan kita' - kalau 'mereka' tidak menyukai kolum ini dan meminta saya berhenti, maka 'tamatlah riwayat' penulisan saya di akhbar ini.

Dalam ruangan ini, kali ini saya ingin terus menyentuh mengenai soal bahasa...mungkin bahasa saya adalah 'stail lama', tidak menarik perhatian anak-anak muda. Baru-baru ini ketika mengunjungi sebuah kedai buku saya tertarik untuk membeli buku tulisan seorang anak muda bertajuk 'Catatan Matluthfi' yang berada di puncak carta buku-buku terlaris MPH dan Popular berminggu-minggu lamanya.

Apa yang istimewa buku 'Catatan Matlutfi' ini sehingga anak remaja saya yang berusia 21 tahun turut mengesyorkan saya membeli dan membacanya. Membaca helaian-helaian awalnya memeningkan saya, membuatkan saya membuat andaian bahawa betapa kacau dan tidak tersusunnya pemikiran dan bahasa anak-anak kita. Ya itu andaian saya, anak-anak muda pula mungkin menyenangi bahasa Matlutfi yang agak saya berusia dalam usia 20-an dan ketika membuat catatan untuk bahan buku ini sedang menuntut di Australia.

Perhatikan bahasa tulisan Matlutfi ini: "Tadi nampak mamat ini duduk dekat Blue Carpet level. Aku ingat dia tidoq. Aku pi dekat rupanya dia tengah meditasi macam yoga. Jari-jadi dia dalam postur ala Buddha. Aku kata, "Weh mana buleh ibadat sini, ni bangunan Kristian." Dia bangun dan minta maaf. Dia ingat ni ruang awam. Tadak ah memain ja. Aku tak teguq pun. Dosa kot kacau orang mayang."

Ya, anak muda dengan gaya bahasa mereka. Sekarang zaman baharu, kita yang 'tua' ini mengalahlah. Berceloteh mengenai bahasa saya yang kata sesetengah orang bersifat puitis, teringat saya akan seorang guru bahasa Melayu saya ketika tingkatan empat di Kolej Melayu Kuala Kangsar pada tahun 1978 dulu. Beliau adalah Cikgu Muhammad Amin Alang Endut yang baru-baru ini saya terbaca catatan mengenainya yang baru meninggal dunia oleh anakandanya sendiri, Azamin yang bertugas di Harakah.

Teringat saya Cikgu Muhammad Amin bersemangat berkobar-kobar mengajar kami berpantun dan berpuisi dan suatu ketika Allahyarham mengajak semua anak-anak murid kelasnya 'berpuisi dan berpantun' di bawah pokok. 

Puisi dan pantun lama menjadi hafalan kami; bagi yang kreatif akan memasukkan bait-bait puisi dan pantun ini dalam karangan mereka. Tidak tahulah saya sama ada dengan berbuat demikian akan menyebabkan markah karangan bertambah tinggi, tetapi tidaklah 'malu' untuk saya menyatakan saya dapat A1 untuk mata pelajaran Bahasa Malaysia SPM!

Mempelajari ilmu termasuk teknik karang mengarang daripada seorang guru berdikasi seperti Allahyarham Cikgu Muhammad Amin menyebabkan pelajarnya sentiasa berusaha menambah dan mempertingkatkan penguasaan perbendaharaan kata - menghafal banyak simpulan bahasa, peribahasa, kata-kata hikmah, petikan hadis, pantun dan puisi untuk dimuatkan dalam karangan dan ucapan pada tempat dan ketika dirasakan sesuai.

Terima kasih Cikgu Muhammad Amin; Pisang emas dibawa belayar, masak sebiji di atas peti, hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati. Sesungguhnya jasa Cikgu Muhammad Amin Alang Endut kepada anak-anak muridnya termasuk saya tersangat banyak; hanya yang mampu saya lakukan adalah berdoa agar Allahyarham mendapat keredaan Illahi di alam sana. Semoga Allah SWT merahmati dan menempatkan cikguku ini di kalangan syuhada, sadikan dan salihin. Al-Fatihah!

No comments: