Friday, August 28, 2015

Kepada GHB, sertai KEADILAN, jangan tubuh parti baru, kata Iskandar Md Akin


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang beriman, beramal salih, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. - Surah Al-Asr 1-3


PAGI Selasa 4 Ogos, menjadi rezeki saya untuk bertemu Naib Presiden KEADILAN, Iskandar Md Akin. Saya mahu ke kebun di Kampung Tun Razak, Bukit Katil manakala ahli Parlimen Bukit Katil itu singgah di sebuah kedai makan di kampung itu.

Sekalipun 'berpakaian orang berkebun' saya tidak mahu melepaskan peluang mewawancara Ketua KEADILAN Melaka itu. Sambil menikmati teh tarik dan roti canai telurnya, Iskandar berkongsi ceritanya bersama saya untuk disampaikan kepada pembaca.


Senario semasa 'Pakatan Rakyat' 

Iskandar mengakui 'Pakatan Rakyat' (pakatan KEADILAN, PAS dan DAP) secara rasminya 'sudah mati'. Amat sedih, katanya. Beliau berusaha 'menjadi orang tengah' - mendamai dan mendekatkan pihak-pihak bersengketa - sekalipun usahanya itu tidak disenangi sesetengah pihak.

Naib Presiden KEADILAN itu mengakui setiap parti ada masalah masing-masing. Parti teras pemerintah Umno pun mempunyai masalah besar. Malah amat kronik. Demikian juga MIC dan MCA. Semuanya bermasalah besar. 

Pada ketika semua parti bermasalah, Iskandar berpendapat 'inilah masa terbaik' untuk 'Pakatan Rakyat' kembali ke perjuangan sebelum ini -  buang yang keruh ambil yang jernih - demi untuk membela rakyat yang amat sengsara ditekan pelbagai himpitan seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Iskandar mengakui rakyat sebenarnya sudah terlalu bosan dengan Umno Barisan Nasional (BN) mahu ia segera digantikan. Buktinya dalam pilihan raya umum lalu (2013) undi popular kepada Umno BN merosot teruk manakala Pakatan Rakyat meraih lebih 51 peratus undi. Bukti sudah ada, Pakatan Rakyat sudah hampir menjejaki Putrajaya...tetapi mengapa harapan rakyat ini mahu dimusnahkan?

Kepada pemimpin PAS dan DAP yang memilih untuk 'menjarakkan' parti masing-masing (membakar jambatan), Iskandar mengingatkan satu peristiwa menjelang pilihan raya lalu di mana DAP bermasalah dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS), PAS dengan 'sikap setiakawannya' menawarkan kepada DAP 'bertanding di bawah lambangnya'. DAP pula menyambut baik tawaran PAS. Ya, mana pergi sikap saling kerjasama itu?

Iskandar berkata 'mungkin' segelintir pemimpin 'keras' dengan pendirian masing-masing; "tetapi saya akan berusaha menjadi 'orang tengah', jika pemimpin tidak dapat terima (dan marah dengan usaha ini), saya akan cuba mempengaruhi ahli-ahli parti. Misalnya DAP itu bukankah bermaksud Parti Demokratik Rakyat iaitu sebuah parti demokratik di mana ahli ada hak bersuara, Jadi kalau ramai ahli sudah nyatakan sesuatu pandangan kepada pemimpin, pemimpin mesti menerima suara majoriti...itu baru namanya demokratik."

Masalah PAS

Berbicara mengenai 'perpecahan' PAS mutakhir ini sejak berakhirnya Muktamar Tahunannya yang ke-61 di Kuala Selangor Jun lalu di mana parti itu kini 'dikuasai sepenuhnya' oleh GU (Geng Ustaz terdiri daripada ulama dan ustaz) menyebabkan sebahagian besar golongan profesional 'terasa tersisih' lantas menubuhkan gagasan Kumpulan 18 (G18) dan Gerakan Harapan Baharu (GHB), Iskandar mengimbau pandangan tokoh PAS terdahulu seperti Allahyarham Ustaz Fadzil Mohd Nor mengenai penubuhan parti baru.

Dakwanya, ketika zaman awal Reformasi lalu (1998),  Anwar Ibrahim mahu menubuhkan sebuah parti baru tetapi dinasihatkan oleh Ustaz Fadzil supaya tidak berbuat demikian. Iskandar mendakwa Ustaz Fadzil tidak mahu 'ada dua parti Islam' - setahun dua kemudian barulah muncul Parti KEADILAN Rakyat yang terbuka keahlian kepada semua anggota masyarakat tanpa mengira agama, kaum dan sebagainya.

"Ingatlah, kita tidak mampu ada dua parti Islam. Jika ada dua parti Islam, masyarakat akan bertanya...mana satu yang betul. Jika yang satu betul, yang satu lagi pasti salah...jadi pada pandangan saya jangan tubuh sebuah parti Islam yang baru..."

Bagi Iskandar, individu atau kumpulan yang tidak berpuas hati termasuk bercanggah pendapat dan pendekatan dengan kepimpinan PAS sekarang ini bolehlah bergerak dalam pertubuhan bukan kerajaan misalnya...tetapi janganlah mewujudkan sebuah parti Islam yang baru.

Kepada mereka yang 'hendak berparti juga', Naib Presiden KEADILAN itu berkata individu atau kumpulan itu bolehlah beramai-ramai menyertai KEADILAN..."saya membuat tawaran terbuka sekarang ini. Kita berjuang bersama-sama dalam KEADILAN..." 

1 comment:

Unknown said...

Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.

Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)