Renungan
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri kamu, kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” - Surah al-Taubah, ayat 24
SUDAH tiga bulan berlalu sejak Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dikuatkuasakan. Ya, pada ketika iklim politik semakin panas, rakyat kian tertekan mengharungi kehidupan, lepas Aidilfitri ini ramai 'merana' kerana poket mereka telah kosong!
Harap-harap derita rakyat dapat pembelaan segera; kepada pemimpin parti politik tolong fahami bahawa kesengsaraan rakyat awam sudah sampai ke kemuncak jadi kepada yang masih berkuasa hentikan kezaliman ke atas mereka (ingat rakyat sudah terbeban dengan banyak cukai daripada cukai tanah, cukai jalan, cukai pintu dan terbaharu GST) dan kepada yang bercita-cita ke puncak kuasa, hentikan sengketa untuk berpadu tenaga 'mensejahterakan rakyat'.
Satu kajian ke atas pengguna oleh Inovasi dan Strategi BBDO Malaysia Sdn Bhd (BBDO Malaysia) baru-baru ini mendakwa bahawa orang ramai sudah dapat menyesuaikan perbelanjaan masing-masing selepas cukai kepenggunaan itu dilaksanakan mulai 1 April 2015.
Kajian itu menunjukkan perbelanjaan pengguna kembali stabil malah kecenderungan itu dijangka lebih baik dalam tempoh enam bulan akan datang. Ia mengenal pasti dua kategori utama perbelanjaan dalam realiti ekonomi baharu Malaysia.
Kelompok pertama membabitkan golongan yang mengekalkan gaya hidup namun sanggup berkompromi manakala yang kedua terdiri daripada individu yang mengurangkan secara drastik atau menghentikan belian tertentu.
Berdasarkan tinjauan berkenaan, rakyat Malaysia sememangnya mengurangkan pembelian sebaik mungkin bagi berjimat. Tinjauan itu mendapati 62 peratus responden memaklumkan mereka mengurangkan amalan makan di luar manakala 48 peratus mengurangkan pembelian pakaian.
Sambutan Aidilfitri lalu menunjukkan betapa 'tertekan'nya rakyat. Kuasa beli sebahagian besar daripada mereka begitu rendah sehinggakan banyak bazar Ramadan, pusat membeli belah lengang dan kasihan sungguh ada yang terpaksa 'terkebil-kebil' biji mata mereka tatkala membeli barangan mentah keperluan juadah hari raya kerana harganya tersangat mahal. Mana tak melampau kerana harga sekilogram daging lembu mencecah RM28 - RM30 manakala udang jenis sederhana tidak kurang daripada RM30 sekilogram!
Hidup sebahagian besar rakyat sebenarnya sudah lama tertekan tetapi 'dengan hadirnya GST' ia menambahkan tekanan itu. Tidak hairanlah sekarang ini apabila kita menatap akhbar, ada saja kisah orang berpenyakit mental dengan perlakuan dahsyat yang jarang kita dengar sebelum ini seperti suami menghentak kepala isteri dengan tukul besi sampai mati manakala anak-anak didera dengan kejam. Sebahagiannya berpunca daripada 'tekanan kewangan'...ya wang di tangan rakyat tidak cukup hatta untuk menikmati hidup 'cukup makan dan pakai sekalipun'!
Sekalipun tertekan, kehidupan perlu diteruskan - yang hidup perlu makan dan minum, yang mati perlu dibereskan urusan pengkebumiannya manakala si anak yang dulunya kecil sekarang sudah menginjak dewasa dan ada naluri biologi untuk berkahwin. Subhanallah, bercakap mengenai perkahwinan ini, kosnya dalam 'era GST' terasa terlalu amat membebankan.
Hantaran agak sederhana pun mencecah belasan ribu ringgit, majlis jamuan meningkat sehingga puluhan ribu ringgit (kerana barangan mentah sangat mahal), jadi mana mampu hendak ditanggung oleh anak-anak muda kita? Ya, mana mampu mereka sediakan RM30,000 hingga RM50,000 kerana mereka baru keluar 'U' dan terpaksa pula membayar balik wang pinjaman pelajaran, membereskan ansuran kereta, membayar sewa rumah dan pelbagai urusan lagi!
Itulah hidup ini penuh 'tension'. Namun 'tension' kita bertambah 'parah' apabila pemimpin dengan gaya 'tersenyum mengejek' memperli rakyat misalnya apabila harga gula dinaikkan mendakwa ia bagi menjaga kesihatan rakyat. Kata mereka, selama ini rakyat sudah terlalu banyak makan gula, maka ramai yang 'kena' kencing manis, jadi penghapusan subsidi gula (menaikkan harga gulalah tu) adalah untuk mengurangkan pengambilan gula mereka.
Malah PM Najib Razak menambah 'tension' kita apabila pada konvensyen tahunan Parti Gerakan tidak lama dulu, 'memperli' rakyat kononnya pengambilan gula berlebihan akan mengurangkan tenaga batin!
Nampaknya, 'lawak' ini sudah 'over'! Yang sebenarnya, wahai pemimpin, 'barang' rakyat tak naik (para suami tahulah ni) kerana terlalu 'tension' memikirkan masalah yang kamu bebankan ke bahu mereka! Kalau dah terlalu 'tension' mana boleh naik! Demikian juga dengan nasib anak muda...mana boleh 'naik' kalau tak dapat kahwin!
No comments:
Post a Comment