Saturday, August 8, 2015

Dari UKM ke Harakah (26): Menyuntik semangat pembaca tunai haji

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***

SYAWAL adalah bulan permulaan haji. Bulan berikutnya adalah Zulkaedah seterusnya Zulhijah yang merupakan bulan kemuncak haji. Jemaah haji berhimpun bagi berwukuf (rukun paling penting dalam ibadat haji) di Arafah pada tanggal 9 Zulhijah seterusnya bermalam di Mina dan melontar batu di jamrah pada tanggal 10 (Hari Raya HajI), 11, 12 dan 13 Zulhijah (hari-hari Tasyrik).

Berceloteh mengenai haji, teringat saya bagaimana bermulanya kolum 'Kisah Dari Tanah Suci' yang termuat dalam akhbar Harakah setiap minggu sejak awal tahun 2002 tetapi 'amat menyedihkan' apabila pada akhir 2014, ia 'berkubur tanpa nesan' bersama-sama dengan 'pemergian' saya sebagai pekerja di Harakah.

"Kisah Dari Tanah Suci' dimulakan dengan sejumlah catatan saya sendiri selepas pulang daripada menunaikan haji pada Mac 2002 dan kemudian diisi dengan tulisan sumbangan penulis yang pernah ke Tanah Suci sama ada dalam menunaikan haji atau umrah.

Sebagai pencetus dan pengelola kolum itu selama 12 tahun tentunya banyak catatan dan kenangan pahit manis dialami, namun apa yang mahu celotehkan di sini mengenai 'penangan' artikel sejumlah penulis di kalangan pembaca sendiri yang berjaya menyuntik semangat orang ramai ke Tanah Suci.

Malah Ketua Pengarang Harakah (kini bekas), Zulkifli Sulung pada 18 Ogos 2003 dalam buku 'Bunga Jatuh Ke Dalam Telapak Tangan Di Raudhah' iaitu himpunan kisah-kisah dari Tanah Suci yang pernah disiarkan oleh Harakah, dalam kata pengantarnya antara lain mencatatkan: "Pada 2002, saya dan isteri membuka akaun Tabung Haji. Ini menandakan hasrat kami secara terbuka untuk menunaikan haji.

"Kami mengambil langkah itu ketika institusi berkenaan diselubungi pelbagai masalah tetapi hasrat kami tetap utuh. Mungkin ini kesan mendalam tulisan-tulisan dalam ruangan 'Kisah dari Tanah Suci' yang dikelolakan oleh Saudara LanH.

"Semua insan beriman bercita-cita ke Tanah Suci. Mereka mahu beribadat di depan Kaabah, bersembahyang di Masjid Nabawi dan melakukan ibadat-ibadat lain."

Ya, alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Illahi, bekas Ketua Pengarang Harakah itu kini bergelar haji manakala isterinya, hajah!

Syabas diucapkan kepada Haji Zulkifli Sulung dan isteri kerana dapat menunaikan haji dalam usia 'agak muda' (belum sampai 50 tahun). 

Galakan menunaikan  haji pada usia muda adalah antara tujuan utama saya memulakan penyiaran kisah-kisah dari Tanah Suci dan alhamdulillah sekarang ini begitu ramai 'orang muda' menunaikan haji sedangkan dulu haji adalah sinonim dengan orang tua termasuk yang sudah pencen.

Rangsangan mengalakkan pembaca menunaikan Rukun Islam kelima ini datang selepas saya melihat pada badan sebuah bas jemaah Indonesia di Mina ketika saya menunaikan haji pada 2002 ditulis: "Saudaraku jemaah haji, kami berharap anda memberi kesempatan untuk selain anda supaya bisa (dapat) melaksanakan syariah haji."

Kata-kata perangsang ini amat bermakna bagi menyuntik semangat orang ramai termasuk golongan muda agar merancang pemergian mereka ke Tanah Suci.

Umat Islam tidak boleh lalai dalam menyedia serta menyiapkan diri serta bekalan untuk ke Tanah Suci. Salah satu keperluannya adalah dari segi kewangan, oleh itu saya mengesyorkan agar anak muda mula menyimpan sejumlah wang secara tetap misalnya RM100 setiap bulan apabila sudah bekerja.

Insya-Allah jika dilakukan pada usia 23 tahun (selepas bekerja apabila tamat pengajian universiti dengan ijazah pertama) dengan membuka akaun di Tabung Haji (ramai generasi muda sudah ada akuan sejak kanak-kanak kerana ada kesedaran di kalangan ibu bapa) seterusnya memuat pendaftaran menunaikan haji dengan jumlah simpanan minuman RM1,300; insya-Allah dalam tempoh 10 tahun (jika menyimpan RM100 sebulan) kita sudah ada cukup wang untuk menunaikan haji.

Namun perlu diingat, tahun pemergian ke Tanah Suci adalah berdasarkan giliran selepas kita membuat pendaftaran haji di Tabung Haji. Seorang anak yang saya daftarkan namanya pada tahun lalu (2014) sebagai hadiah keputusan SPM-nya yang baik diberi giliran menunaikan haji pada 2070...masya-Allah.

No comments: