Tuesday, August 25, 2015

Dari UKM ke Harakah (28): Senandung Langkawi gamit memori lama...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Demi masa sesungguh manusia itu dalam kerugian kecuali orang beriman, beramal salih, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. (Al-Asr 1-4)

UNTUK pergi kerja di Harakah dan belajar di UKM kadang-kadang saya menaiki Komuter KTM (Keretapi Tanah Melayu). Berceloteh pasal KTM terpanggil saya mengimbau pemergian saya bersendirian ke Pulau Langkawi pada 10-13 Ogos lalu.

Tentunya saya tidak menaiki kereta api sepenuhnya ke Langkawi. Bagi 'orang KL' yang mahu ke Langkawi dengan kereta api, mereka boleh menaikinya di KL Sentral dan turun di Alor Star; kemudian menaiki teksi atau bas ke Kuala Kedah sebelum menaiki feri ke Kuah, Langkawi. Mereka juga boleh turun di Arau, kemudian menaiki kenderaan awam ke Kuala Perlis seterusnya menaiki feri ke Langkawi,

Apa yang saya ingin celotehkan ada pasal kereta api malam bernama Senandung Langkawi yang saya naiki jam 9.30 malam di KL Sentral dan tiba di Alor Setar kira-kira jam 7.30 pagi. Sekarang ini ada perkhidmatan kereta api laju ke utara, ETS (electric train service) yang membolehkan seseorang penumpang yang bertolak dari KL Sentral sampai ke Padang Besar (Perlis) atau sebaliknya dalam tempoh tidak sampai lima jam.

Namun perjalanan menggunakan ETS ini perlu ditempah; saya yang gagal mendapatkan tiket ETS terpaksa berpuas hati dengan Senandung Langkawi. Kereta api malam ini mengingatkan saya bahawa kira-kira 40 tahun lalu saya yang ketika itu belajar di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuala Kangsar, Perak adalah 'profesor serba tahu' mengenai perjalanan kereta api.

Setiap kali cuti penggal sekolah pelajar balik kampung dan datang semula dengan kereta api. Selepas puluhan tahun tidak menaiki kereta api, terasa kelainan ketika menaiki Senandung Langkawi - kocnya cantik dan berhawa dingin dengan tempat duduk yang selesa. Setiap tiket tertera nombor kerusinya. Hampir semua stesen kereta api adalah baharu dengan seni bina kontemporari sekali gus mengikis sama sekali pengalaman lama saya menaiki kereta api.

Teringat kisah lama - menaiki kereta api malam yang penuh sesak dengan penumpang; ada kalanya saya dan rakan-rakan 'terlantar' di mana-mana ruang kosong termasuk di depan pintu tandas dan ada yang 'menyelitkan diri' di tempat letak barang 'di atas kepala' untuk tidur! 

Ada rakan-rakan (termasuk saya) yang berani duduk berlonggok-longgok berhampiran pintu yang sengaja kami buka sedangkan kereta api bergerak laju! Suatu ketika, selipar saya terjatuh dan lesap dalam kegelapan malam. Dalam salah satu perjalanan, saya yang mendapat tempat duduk 'menjulurkan kaki' di celah kerusi keras tempat duduk penumpang di depan; si penumpang itu 'menangkap' selipar saya dan melemparkannya ke dada saya membuatkan saya 'terkejut dan malu besar'!

Ada kalanya, bukan saja penumpang tidak dapat tempat duduk, malah tiada ruang kosong untuk melabuhkan punggung, jadi terpaksalah berdiri dalam perjalanan. Bayangkan betapa letihnya terpaksa berdiri pada malam hari dalam perjalanan dari Kuala Kangsar ke Kuala Lumpur. Apabila kereta api tiba di stesen-stesen besar seperti Ipoh dan Tanjung Malim berdoalah kami agar ramai yang turun agar kami dapat duduk. Berdiri dalam perjalanan ini jarang berlaku tetapi pernah terjadi misalnya menjelang cuti Aidilfitri atau Tahun Baharu Cina.

Bagi saya, ketika menaiki Senandung Langkawi tempoh hari, terasa tiada meriah apabila kereta api menghampiri sesebuah stesen. Terkenang saya, dulu sebaik saja kereta api memasuki stesen, sejumlah penjaja akan berlari-lari anak-anak menjerit; "Nasi lemak, nasi lemak; mi goreng, mi goreng; karipap, karipap; kopi panas, kopi panas; teh panas, teh panas" dan sebagainya. Sebaik kereta api berhenti, mereka berlumba-lumba memasuki koc dan mendendangkan lagu yang sama..."nasi lemak, nasi lemak..."

Menaiki kereta api dalam jangka waktu yang lama, perut terasa lapar pula. Sekalipun nostalgia teriakan "nasi lemak, nasi lemak" tiada lagi, Senandung Langkawi ada kantin. Namun harga barangan jualan, subhanallah...mahal; kopi '0' saja sudah RM2.50; makanan usah ceritalah. Selain itu ada petugas yang menolak troli, menjual makanan dan minuman, 'alah yang macam dalam Air Asia tu'.

Apabila masuk waktu subuh, terdengar saya laungan azan - ya fikir saya mungkin Senandung Langkawi melalui kawasan kampung yang suara azan berkumandang dari masjidnya - namun suara azan itu tidak hilang dengan cepat akibat perjalanan kereta api; akhirnya saya tahu bahawa suara azan itu adalah dari dalam kereta api sendiri - ya sekarang ini dalam kereta api ada surau lengkap dengan tempat wuduknya; jadi tidak ada alasan untuk seseorang penumpang culas dalam menunaikan kewajipannya kepada Yang Maha Kuasa!

No comments: