Renungan
"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21)
BEKERJA di Harakah dan sebuah akhbar harian nasional memberi peluang kepada saya mengembara dan bertugas di beberapa negara asing - jauh dan dekat. Malah saya berpeluang membuat liputan Sidang Kemuncak Pertubuhan Persidangan (kini Kerjasama) Islam (OIC) di Teheran, Iran pada hujung tahun 1997.
Mengikuti sidang kemuncak itu menyerlahkan komitmen OIC untuk menghulurkan bantuan kepada umat Islam sedunia - daripada kumpulan minoriti Muslim di selatan Filipina kepada orang Palestin yang dizalimi di tanah air mereka sendiri.
Dari banyak segi, OIC kurang mampu menangani permasalahan yang membabitkan politik terutama jika krisis bersangkutan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat (misalnya isu Palestin), Rusia (isu republik Muslim seperti Chechnya), China (isu Muslim Uighur) dan India (isu Muslim Kashmir) tetapi peluang terbuka untuk melebarkan bantuan kemanusiaan kepada ummah yang menderita dan teraniaya.
Kini puluhan ribu, mungkin ratusan ribu Muslim Rohingya diusir dari negara asal mereka, Myanmar (Burma) dan sesetengahnya 'terkapai-kapai' di tengah-tengah lautan (Laut Andaman) namun belum kedengaran setakat ini OIC bergegas memberi bantuan.
Namun amat melegakan apabila sebuah negara anggota kanan OIC iaitu Turki menghulurkan bantuan termasuk menghantar kapal perangnya ke sana. Ini adalah atas inisiatif pemimpin Turki yang berjiwa Islamik dan ia tidak ada kena mengena langsung dengan OIC, organisasi dunia disertai hampir 60 negara dan mendakwa menjadi payung kepada umat Islam sedunia.
Ya, tidak sukar memahami mengapa OIC keberatan terbabit dalam konflik berkaitan politik membabitkan kuasa besar dunia seperti isu Bosnia tidak lama dulu tetapi mengapa dalam isu kemanusiaan membantu Muslim Rohingya pun dapat dirasakan 'ketidaksudian' mereka?
Kira-kira 20 tahun lalu, dunia Islam menangisi tragedi berdarah di Bosnia Herzegovina. Dilaporkan puluhan ribu orang Islam menjadi mangsa kerakusan gerila Serb dan pemimpin Serbia-Montenegro seperti Slobodan Milosevic yang gila mahu menghidupkan negara Yugoslavia.
Penderitaan ummah di negara Balkan itu seolah-olah tidak didengari oleh kebanyakan negara dan umat Islam lain. Hal ini difahami kerana Bosnia dan jirannya yang mempunyai majoriti umat Islam - Albania - terletak di tengah-tengah benua Eropah.
Nama Bosnia pun begitu asing kepada kebanyakan umat Islam sehingga tercetusnya peristiwa pahit itu yang menyedarkan ummah bahawa ada saudara mereka hidup tersepit di kalangan bangsa Eropah lain.
Sekalipun tragedi Bosnia adalah antara peristiwa hitam paling pahit dialami umat Islam, pembabitan OIC adalah pada tahap minimum. Kumpulan Penghubung OIC yang turut dianggotai oleh Malaysia ketika itu, sekalipun bekerja keras membantu memulihkan keadaan di Bosnia terutama pada peringkat akhir konflik, pembabitannya terhalang antara lain disebabkan pengaruh kuasa besar dunia Amerika Syarikat dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dalam isu berkenaan.
Amerika dan Nato terbabit dalam percaturan politik Eropah yang ketika itu masih merasai kesan kehancuran Soviet Union dan blok komunis Eropah Timur. Sebarang campur tangan dalam krisis Bosnia dilihat sebagai terbabit dalam konflik era pasca keruntuhan Soviet Union yang memungkinkan Amerika menjadi kuasa tunggal dunia.
Berdasarkan situasai berkenaan, kita tidak hairan jika OIC 'tidak habis-habis dengan agenda pertemuan pemimpinnya di meja bulat' untuk membincangkan isu Balkan tetapi tanpa melakukan tindakan yang boleh dibanggakan.
Sejak beberapa tahun lalu pula, OIC juga difahami tidak berupaya menangani isu keganasan antarabangsa yang akhirnya membawa kepada pencerobohan negara Afghanistan dan Iraq oleh Amerika kerana ia dianggap konflik politik. Dalam percaturan politik 'yang berkuasa itulah yang benar', oleh itu pihak lain langsung tidak berani bersuara.
OIC juga 'diam membisu' dalam isu beberapa negara Arab seperti Syria, Libya malah Mesir (kezaliman rejim perampas kuasa Abdel Fattah As-Sisi semakin menjadi-jadi apabila mengarahkan hukuman mati ke atas pemimpin Ikhwan Muslimin termasuk Presiden Mohamad Morsi serta tokoh ulama kontemporari Dr Sheikh Yusuf al-Qaradhawi) dan terkini serangan Arab Saudi dan kuncu-kuncunya ke atas Yaman.
Kita tidak hairan dengan 'sandiwara' ini kerana ketika ini OIC 'dikuasai' negara Arab Teluk dengan Setiausaha Agungnya Iyad Amin Madani adalah dari Arab Saudi, tetapi 'kebisuan dan kebutaannya' terhadap kesengsaraan umat Islam minoriti seperti Rohingya sudah sampai ke peringkat 'terlalu melampau'!
No comments:
Post a Comment