DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari)
KETIKA mengatur langkah dalam terik matahari bersama-sama ribuan peserta membantah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dari Masjid Negara ke Dataran Merdeka seterusnya ke KLCC 1 Mei lalu, terdengar di telinga saya seorang pemuda berkata: "Kalaulah aku tahu macam ni (sausana aman), aku bawak sama isteri dan anak-anak aku!"
Ya, semacam ada suatu kelainan demonstrasi di ibu kota sejak akhir-akhir ini - tiada pengawasan ketat anggota polis berpakaian seragam, jarang kelihatan kelibat trak dan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan paling ketara tiada semburan gas pemedih mata dan air berkimia. Malah tiada lagi adegan pembantah dihambat dan dibantai dengan cota oleh anggota pasukan keselamatan.
Demonstrasi di jalan raya tanggal 1 Mei lalu ternyata 'berlawanan' daripada yang pernah saya sertai sebelum ini. Misalnya, dalam perhimpunan anti-Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), penambahbaikan proses pilihan raya dan demokrasi (BERSIH) malah membantah serangan ke atas Afghanistan oleh Amerika dengan bergerak ke Kedutaan Amerika, penunjuk perasaan 'dibantai' tanpa belas kasihan oleh pasukan keselamatan.
Ketika itu bukan saja perarakan dihujani gas pemedih mata, apabila mula berhimpun saja pun orang ramai sudah dihambat dan dipukul oleh anggota polis. Dalam banyak kejadian, orang ramai yang cuba memulakan bantahan misalnya dengan berhimpun berhampiran Masjid Jamek dan Dataran Maybank awal-awal lagi mereka sudah 'ditembak' dengan gas pemedih mata. Maka bertempiaranlah mereka lari, susup sasap di celah-celah bangunan, memanjat pagar, mendaki bukit, merempuh belukar dan terjun kolam air pancutan kerana tidak tahan kesan air kimia terhadap mata dan kulit.
Maka benarlah ungkapan rakan pembantah kita pada 1 Mei lalu - rugi dia tidak membawa anak isteri - kerana demonstrasi kali ini berlangsung secara santai; bukan saja golongan muda bersemangat berarak di jalan raya tetapi juga golongan veteran dan orang kurang upaya (OKU) yang ada ditolak dalam kerusi roda. Pembantah yang sebahagian besarnya berpakaian merah dan hitam tidak diganggu langsung oleh pihak keselamatan sepanjang perjalanan mereka dari pelbagai lokasi seperti Masjid Negara, Masjid Jamek, Pasar Seni, Dataran Maybank dan pusat membeli belah Sogo untuk berhimpun berdekatan Dataran Merdeka sebelum menuju KLCC.
Malah perjalanan pembantah yang dianggarkan antara 30,000 hingga 40,000 orang berjalan lancar dengan pengawasan anggota Unit Amal PAS dan pasukan sukarela lain. Lalu lintas juga berjalan lancar kecuali di beberapa lokasi. Pengunjung luar termasuk pelancong asing dalam bas persiaran serta 'Hop in hop out' kelihatan ceria dengan ramai daripada mereka melambai-lambai tangan dan menunjukkan tanda bagus.
Laluan perjalanan 'adalah terlalu jauh' (kira-kira 10 kilometer) bagi golongan veteran, OKU dan wanita, maka sesetengahnya berjalan 'seadanya' - ramai daripada mereka berhenti untuk berehat di tepi jalan - ada yang membasahkan tekak, menikmati sedikit makanan dan berbual-bual dengan kenalan lama dan baru. Wajah mereka ceria, seolah-olah tiada kerisauan di hati kerana tiada kelihatan kenderaan dan anggota FRU di sepanjang perjalanan.
Penulis yang boleh 'dikelaskan sebagai golongan veteran' kerap berhenti dan ketika berehat di satu lokasi di Jalan Raja Laut, berasa seronok terserempak dengan bekas Timbalan Presiden KEADILAN, Dr Syed Husin Ali yang berjalan secara santai bersama-sama beberapa rakannya. Beliau mengulurkan tangan untuk bersalaman dengan penulis; kami sama-sama ketawa kerana sedar perjalanan ke KLCC masih 'terlalu jauh lagi'.
Antara golongan paling untung apabila demonstrasi berlangsung tanpa gangguan pasukan keselamatan ini adalah peniaga. Di Dataran Masjid Negara, puluhan gerai - daripada yang menjual cenderamata kepada nasi kerabu - penuh dengan pelanggan. Peniaga ais krim yang bermotosikal dan penjual air botol dalam kereta tolak ternyata bijak 'merebut rezeki' kerana mereka boleh bergerak mengikut perjalanan pembantah. Sepanjang perjalanan penjual menjerit "air, air" - ternyata usaha mereka berbaloi kerana dalam cuaca panas itu, orang ramai tiada pilihan, mereka terpaksa membeli air minuman sekalipun ada yang meletakkan sehingga RM2 sebotol.
Demikianlah banyak 'keuntungan' diraih pelbagai pihak jika demonstrasi dibiarkan berlangsung secara aman. Tidak timbul persoalan lalu lintas terhalang, pekedai rugi, kemudahan awam dirosakkan dan sebagainya. Namun tidaklah diketahui sama ada pendekatan membiarkan demonstrasi berlangsung secara aman ini adalah taktik baru pemerintah dalam menghadapi bantahan dan kemarahan rakyat. Mungkin pakar-pakar strateginya sudah menunjukkan jalan supaya digantikan kaedah konfrontasi dengan pendekatan lain.
Apa pun, penguasa rejim Umno-BN dalam usaha mereka mengekalkan kuasa 'dulu, kini dan selamanya' tetap BERTINDAK SERUPA cuma pendekatannya sudah berbeza. Kali ini "awak berdemostrasilah sepuas hati awak, awak balik nanti, kami akan tangkap awak seorang demi seorang!" Buktinya pada demonstrasi anti-GST 1 Mei lalu, lebih 30 pemimpin dan aktivis ditangkap - ya apabila ditangkap banyak kali di bawah akta tertentu dan didenda ribuan atau puluhan ribu ringgit (seperti dialami kartunis Zunar)..."awak tak serik lagikah?"
No comments:
Post a Comment